Syafeek Ikhwan Terkenang Beraya Di Perantauan


Ewahewah, terngiang-ngiang di kepala lagu Tanpa Arah yang juga lagu sulung yang memperkenalkan jejaka bertubuh kecil ini di persada seni suara tanah air. Pertama kali melihatnya membuat persembahan semasa majlis pra-pelancaran Ewahewah.com tidak lama dulu, kehadiran bekas peserta Juara Pujaan terbitan RTM ini semakin diterima ramai. Malah, ketika ditemui sewaktu majlis berbuka puasa bersama peminatnya di Taman Melawati baru-baru ini dia tampak positif walaupun bukan mudah bagi seorang artis baru untuk meletakkan diri sebagai penyanyi popular.

Bagi Syafeek Ikhwan, dia mengakui perjalanannya sebagai penyanyi bukan mudah, banyak cabaran yang perlu dihadapi untuk berjaya. Tapi baginya, cabaran sedia menanti dan dia akur dengan realiti itu sebelum melangkah masuk ke dalam industri lagi.

"Bagi saya, semua cabaran ini membuatkan saya jadi lebih kuat dan saya yakin keadaan ini membuat saya lebih bersyukur apabila mengecapi kejayaan kelak. Saya lebih suka melihat sesuatu dari sudut positif, jadi kebanyakan liku yang saya lalui akhirnya menjadi sesuatu yang manis untuk dikenang," kata Syafeek.


Bagaimana pun, baginya apa yang paling manis untuk pendatang baru sepertinya adalah apabila orang ramai dan peminat mula mengenali dirinya, malah ada beberapa ketika dia disapa individu yang tidak pernah dikenali sewaktu mengunjungi pusat membeli belah lalu diminta bergambar sama. Ada kalanya dia mengakui berasa segan skerana menyedari dirinya belum popular, namun dalam masa sama bersyukur kerana ada yang mula melihat bakatnya. Itu membuatkan dia rasa dihargai dan memberi lebih semangat baginya untuk terus berkarya dan mencipta nama.

Bercerita mengenai lagu Tanpa Arah, dia bersyukur kerana lagu itu diterima baik pendengar. Lebih manis, baru-baru ini lagu berkenaan dipilih sebagai lagu tema runut bunyi sebuah telefilem bertajuk Pondok Itu Rumahku yang ditayangkan menerusi stesen TV3 sempena Nuzul Quran. Bagi dirinya, itu satu penghargaan besar yang akan dikenang. Malah, penggambaran video muzik Tanpa Arah usai sebelum Ramadan lagi dan dijangka dimuat naik menerusi laman YouTube  selepas Syawal berakhir. Syafeek juga kini bernaung bawah syarikat rakaman baru, CQ Music Malaysia, yang merancang penerbitan sebuah album.

"Saya sebenarnya tidak menjangka langsung memperoleh tawaran sehebat ini memandangkan senario industri yang tika ini lebih memfokuskan pengeluaran lagu demi lagu berbanding album. Apabila mendapat tawaran seperti ini, saya tidak berfikir panjang untuk terus menerima peluang keemasan ini apatah lagi memiliki album sendiri adalah impian setiap penyanyi. Sepanjang bulan Ramadan, saya banyak menghabiskan masa di studio untuk proses rakaman lagu baru. Empat lagu baru telah saya rakamkan dan bakal dimuatkan bersama lagu Tanpa Arah dalam album sama," katanya lagi.

Album yang dijangka dilancarkan sekitar bulan Ogos depan mendapat sentuhan komposer terkenal, DJ Fuzz dan Lokman Aslam.


Syafeek Ikhwan seronok bersama peminat ketika majlis berbuka puasa

Bercerita mengenai Ramadan dan Syawal, Syafeek bersyukur kerana selain meluangkan masa merakam lagu selain tugasan di pejabat, dia juga berkesempatan memenuhi jemputan berbuka puasa dan program kebajikan bersama mereka yang memerlukan. Menurutnya, peluang seperti itu jarang diperoleh pada bulan lain, berkongsi tawa dan membantu setakat mana yang terdaya.

"Untuk Syawal pula, saya bersyukur kerana pakaian untuk keluarga siap disediakan, yang mana bagi saya keperluan mereka lebih saya utamakan. Menjelang penghujung Ramadan ini saya ada sedikit masa terluang untuk persediaan diri sendiri. Paling utama, saya bersama-sama keluarga pada hari raya nanti. Saya pernah beraya di perantauan selama empat tahun kerana melanjutkan pelajaran. Beraya tanpa keluarga di sisi adalah  perkara paling sukar untuk saya lalui. Jadi, peluang yang ada untuk bersama mereka kali ini tak mungkin akan saya sia-siakan," katanya yang mengakui mengambil cuti panjang sempena Aidilfitri 2016.
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan