Dilema David Teo, P Ramlee Dan Anak Seni


Ewahewah, heboh satu Malaysia bermula semalam apabila penerbit terkenal, Mejar (K) David Teo yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth Pictures (MiG) dikatakan mengeluarkan kenyataan ‘menghina' perjalanan hidup Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee menerusi sebuah laman portal akhbar. Menurut laporan berkenaan, David dipetik berkata dia mahu anak seni lebih berdisiplin agar tidak menerima nasib sama dengan P Ramlee yang dikatakan hidup melarat pada penghujung hayatnya. Walaupun mengikut laporan sama dia tidak menyentuh langsung mengenai karya agung P Ramlee, kenyataan David menerima pelbagai reaksi, kebanyakannya negatif kerana seolah-olah merendah-rendahkan martabat P Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Putih. Antara yang memberi reaksi termasuk pengamal media, anak seni dan masyarakat, rata-rata memberikan kenyataan berbaur marah kerana kenyataan David dirasakan biadab dan tidak menghormati P Ramlee sebagai ikon muzik dan perfileman tanah air.

Saya berfikir panjang mengenai isu ini, sama ada untuk ikut serta ‘mengamuk’ menerusi laman sosial atau membiarkan sahaja isu ini berlalu pergi tanpa saya ambil endah. Bagaimana pun, dengan pengalaman yang saya masih rasa sedikit dalam dunia seni, saya terpanggil untuk memikir sejenak kebenaran dalam kepahitan yang saya nampak jelas dalam laporan portal berkenaan mengenai pendapat David. Saya tinggalkan untuk orang ramai meneliti semula laporan pelbagai sumber yang tersebar menerusi Internet dan laman sosial mengenai liku-liku yang dihadapi P Ramlee ketika penghujung kerjayanya. Kita dihidangkan dengan jelas siapa sebenarnya yang ‘membunuh’ dunia seni karyawan terulung itu ketika Allahyarham masih bernyawa.

Secara peribadi, saya tidak wujud lagi ketika P Ramlee dipinggirkan, malah karyanya dikatakan pengamal media ketika itu tidak mengikut arus aliran semasa. Walaupun ramai menuding jari kepada bekas majikannya sebagai punca kejatuhan P Ramlee yang juga sebangsa dengan David, namun dalam masa sama banyak laporan menunjukkan banyak pihak yang rata-rata sebangsa dengan P Ramlee turut menjadi dalang sehingga P Ramlee hampir putus asa dengan dunia seni. Tetapi, saya tidak mahu mengulas panjang mengenai perkara ini tetapi lebih cenderung untuk menyelami realiti kehidupan anak seni pada hari ini. Siapa yang sebenarnya membunuh anak seni kita pula?

Saya mulakan dengan dunia muzik kerana industri ini lebih rapat dengan diri saya. Seawal 2004, saya banyak belajar menerusi program popular, Akademi Fantasia yang melahirkan ramai bakat baru dalam industri muzik tanah air. Bayangkan, sehingga ke hari ini lebih seratus bintang dilahirkan menerusi program sama sejak diperkenalkan pada 2003. Selain tapak bertatih, program itu sebenarnya memberi harapan kepada ramai anak muda yang bercita-cita menjadi penghibur walaupun ada kalanya saya sendiri keliru apa kriteria sebenar yang menyebabkan peserta rancangan itu terpilih. Malah, ada yang dikatakan ‘tidak boleh dijual’ tiba-tiba muncul sebagai fenomena kepada dunia hiburan tanah air. Sebuah majalah yang tidak pernah meletakkan artis lelaki sebagai penghias kulit muka depan turut memecah tradisi apabila bintang berkenaan menjadi jejaka pertama muncul pada kulit depan.

Bagaimana pun, satu gelaran dilempar terhadap mereka - Artis Mi Segera. Ironinya, yang memberi gelaran bukanlah orang lain, sebaliknya artis senior dalam industri muzik tempatan juga. Saya ketika itu benar-benar keliru, apakah kehadiran mereka ini mengganggu periuk nasi mereka semata-mata atau sebenarnya mereka enggan mengubah lanskap industri muzik yang ketika itu semakin sayu dimakan usia?

Saya faham mereka sukar menerima tekanan akibat populariti mereka seakan-akan tenggelam dek populariti segera yang dikecapi bintang realiti televisyen. Segala usaha mereka untuk kekal relevan dalam dunia muzik bagaikan dilanda bah rancangan realiti televisyen seperti itu. Malah dalam satu temu bual ketika saya masih bertugas di sebuah majalah, seorang artis senior tanpa berselindung mengutuk bakat yang dimiliki bintang ciptaan berkenaan sedangkan masyarakat sememangnya dahagakan hero dan heroin baru dalam dunia seni suara selepas industri muzik didominasi artis tertentu beberapa tahun sebelum itu. Tanpa mereka sedar, ramai penyanyi yang memiliki kualiti tinggi tenggelam dek kecenderungan masyarakat memuja beberapa individu. Kesannya, ramai penyanyi hanya mampu bertahan dengan sebuah lagu tanpa sempat menerima peluang seterusnya untuk bergerak lebih maju.

Ini belum lagi kita bercerita mengenai banyak anak seni yang terdera dengan sikap pilih bulu stesen radio, media massa dan terkini - media atas talian. Mereka hanya disanjung apabila masyarakat mula sibuk memperkatakan mengenai karya mereka selepas muncul menerusi laman YouTube atau drama televisyen. Jika tiada pelayar berjumlah berjuta, atau tidak viral, maka tertanamlah hasil titik peluh mereka tanpa pembelaan walaupun kos bikin lagu bukannya sedikit. Ada antara mereka sanggup melabur ribuan ringgit untuk mendapatkan hasil terbaik, namun jika tidak disebut orang, tiada siapa mahu memberi peluang. Malah, langkah mereka tersadung awal oleh sikap pendokong industri sendiri. Belum lagi dengar rintihan pengurus dan pegawai perhubungan awam, masing-masing ada cerita sendiri di belakang.

Ramai tidak sedar, selain usaha tanpa jemu, soal belanja adalah isu paling besar untuk anak seni berkarya. Berapa kerat sangat anak miskin yang berjaya tanpa bantuan kewangan syarikat rakaman? Usah sebutlah mereka yang dilahirkan dalam keluarga berada. Usahkan lagu, konsert pun boleh diusahakan tanpa sebarang masalah. Namun, siapa yang sanggup memperjuangkan nasib bakat baru yang ingin mencuba nasib? Mereka juga seperti P Ramlee, berkarya tanpa memikirkan mahu jadi kaya pada penghujung usia. Tetapi adakah pihak yang simpati, atau setidak-tidaknya membantu memberi jalan kepada mereka untuk bertatih dan memberi sokongan moral? Paling menyedihkan, ada hasil karya mereka dicampak ke tepi ketika sesi penjurian sebuah majlis anugerah berlangsung hanya kerana mereka tiada nama. Ini diakui sendiri beberapa rakan yang sempat berada dalam kamar penjurian diiringi dengan gelak tawa ketika bercerita di kedai kopi!

Ini belum lagi jika kita sentuh mengenai sikap ‘jerung’ dalam industri muzik. Mentang-mentanglah sudah ada nama, ramai pihak ditipu hidup-hidup mengenai soal royalti memandangkan mereka bukanlah sesiapa. Menjadi nama kecil walaupun karyanya bukan calang-calang adalah suatu perkara paling menyakitkan. Begitu juga dengan mereka yang bukan berada di barisan hadapan, atau si pekerja belakang tabir yang bermati-matian berusaha atas nama karya. Si vokalis disanjung-sanjung, mana kala si pemain muzik di belakang bagaikan tunggul mati yang bila-bila masa saja boleh diganti baru sedangkan pada awalnya, sepeket mi segera dikongsi berlima. Begitu juga dengan beberapa komposer dan penulis lirik yang akhirnya menggigil menunggu bayaran royalti apabila mula dipandang sepi setelah usia lanjut. Adakah mereka juga tidak layak dibela persatuan yang bukan main marah apabila seniman kononnya diperlekehkan?

Menjadi anak wayang juga bukanlah mudah, malah ada yang mengadu seolah-olah digam stesen televisyen yang enggan wajah mereka menghiasi drama, atau dipinggir syarikat filem atas alasan ‘mahu wajah baru’. Asalkan berwajah ‘jambu’, tidak mengapa walaupun berlakon seperti kayu. Itu belum lagi dengan bisik-bisik di belakang mengenai penerbit yang ada agenda lain termasuk yang gemar ‘menyelam sambil minum air’. Kisah ‘ambil skrip di rumah’ jika mahu berlakon dengan produksi mereka bukanlah cerita baru menyebabkan ramai pelakon berasa serik dan lebih senang memendam rasa dan mula mencari rezeki menjual produk. Mujurlah banyak pengusaha jualan tapak gerai kenal, dapatlah berniaga secara percuma kerana boleh jual muka dengan menarik perhatian pengunjung. Kalau tidak ada nama, jawatan kosong masih banyak di luar sana. Bakat lakonan boleh diperam sehingga berkulat. Jika mahu popular semula, bikinlah kontroversi baru. Pasti ada pihak yang sudi menghubungi untuk ditemu ramah. Sanggup mengejar walaupun seawal pagi asalkan dapat jual cerita.

Itu kisah mereka di hadapan kamera. Bagaimana pula dengan pekerja perfileman belakang tabir termasuk penyunting, jurukamera, penulis skrip, juruteknik pencahayaan, jurusolek, pelakon babak ngeri dan ramai lagi? Mereka dibayar dengan harga tidak masuk akal, malah ramai yang hanya berhibur di depan televisyen mahu pun layar perak tidak ambil pusing pun dengan nasib mereka. Ada antara mereka meninggalkan anak isteri semata-mata mencari sesuap nasi, tetapi yang terus kaut untung adalah mereka yang kononnya memperjuangkan industri hiburan. Persatuan? Yang kelihatan adalah mereka yang kebanyakannya memikir poket dan populariti sendiri sedangkan ahli meratap nasib tanpa dipeduli. David Teo juga boleh jawab sama ada dia dan syarikatnya ada terbabit dalam perkara sebegini atau sebaliknya.

Jadi saya buat kesimpulan sendiri. Mungkin ramai yang marah kerana tiada anak seni kita hidup melarat sehingga ke hari ini.

Penulis berpengalaman menulis di beberapa majalah termasuk majalah URS dan iRemaja sebelum bertugas sebagai Penulis Kanan di Majalah Aksi Akademi Fantasia, sebelum menyertai Selebriti Metro Ahad sebagai penulis sambilan. Penulis juga berpengalaman menjadi penulis skrip untuk beberapa program televisyen termasuk One In A Million dan Katanya.. Akademi Fantasia serta bertugas di belakang tabir untuk beberapa program televisyen, selain pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Rumpun Records - Universal Music Malaysia. Kini penulis bertindak sebagai Ketua Editor di ewahewahdotcom.
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan