Video Muzik Bimasakti, 'Dirimu' Papar Sinematografi Indah



Ewahewah, hati peminat muzik tempatan pastinya terusik dengan video muzik kumpulan yang baru saja bernaung bawah syarikat rakaman Rusa Music ini. Berlatar belakang lagu pop balada mendayu sesuai dengan jalan cerita, pasti ada yang terimbau kenangan silam waktu percintaan zaman persekolahan membawa ke alam dewasa. Klip video yang hasil kreatif Aminovic Production ini digarap dengan menarik, malah sinematografinya cukup menarik apatah lagi beberapa bahagian dirakamkan dari udara bandaraya Kuala Lumpur.

Namun, ramai masih belum mendengar lagu berjudul Dirimu yang dicipta sebuah band yang dikenali sebagai Bimasakti ini. Terdiri daripada tiga pemuzik tetap iaitu vokalis, Mohd Nurazimullah Abu Bakar atau Jim, 27, pemain gitar, Abdul Hafiz Maidin Salimuddin (Hafiz, 32) dan Dasharimi Shahriman Daud (Dash) sebagai pemain dram, sebenarnya sudah lama bergiat aktif dalam dunia muzik tanah air sebagai pemuzik bebas. Malah, Dirimu ini sebenarnya lagu ketiga mereka selepas Cinta Jangan Pergi yang pernah menjadi runut bunyi drama Tabir Zulaikha serta lagu berjudul Maryam.

Klip Video Bimasakti - Dirimu

Menurut Jim, sebelum menandatangai kontrak bersama Rusa Music, perjalanan seni mereka dipimpin syarikat Seventeen Eleven yang dipelopori Azahari Jaafar sehinggalah kedua-dua belah pihak bersetuju untuk membuat haluan sendiri setelah Bimasakti mendapat peluang bersama syarikat pengurusan baru mereka. Malah, hala tuju muzik mereka juga adalah idea Azahari yang mencadangkan supaya mereka tampil dengan band yang membawakan muzik berentak pop dramatik yang akhirnya menjadi nadi perjalanan mereka.

"Kami pergi ke Rusa Music membawa salinan lagu dan klip video yang sudah siap, syukur jalan kami dipermudahkan kerana syarikat ini bersetuju untuk mambawa kami bernaung bersama mereka. Pop dramatik adalah ideologi muzik yang kami bawa, dan kami yakin hasil usaha kami ini dapat diterima dengan mudah oleh pendengar," kata Jim.

Dari kiri: Dash, Hafiz dan Jim

Menurutnya lagi, kehadiran mereka di persada seni muzik tanah air bukan sebagai pemuzik semata-mata, malah menjadi penghibur kepada khalayak. Bagi mereka, jika mereka berkeras untuk memainkan muzik kegemaran peribadi mungkin hanya segelintir sahaja yang akan menerima Bimasakti. Sebaliknya, tanggungjawab sebagai penghibur adalah untuk memberi kepuasan kepada sebanyak mungkin pendengar muzik.

Bagi Hafiz pula, mereka cukup sedar apa yang sepatutnya dipertaruhkan memandangkan begitu ramai penggiat muzik tanah air masa kini dan mereka perlu mencari kelainan supa mudah dikenali. Oleh yang demikian, mereka lebih menumpukan aspek pembikinan lagu supaya menggamit khalayak untuk terus mendengar karya mereka. Selebihnya, mereka berserah dengan takdir dengan bertawakal.

"Walaupun nama kami mungkin masih kecil pada umum, tetapi kami mendapat banyak maklum balas positif sehingga ada peminat yang sanggup berkorban demi kami. Ada suatu ketika yang mana seorang pengikut kami menerusi laman sosial Instagram dari Cheras yang tertunggu-tunggu peluang melihat kami beraksi di pentas. Malah, dia juga yang selalu mengongsikan aktiviti kami menerusi laman sosial sehingga membawa anak dan isterinya melihat persembahan kami.

Jim juga pernah diminta untuk bergambar bersama sewaktu pulang ke kampung isterinya di Kelantan. Ini bermakna kami masih ada pengikut tanpa kami sedar," cerita Hafiz yang ditemui sewaktu majlis berbuka puasa anjuran Rusa Music dan MVM.
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan