Projector Band Kekal Bersederhana Untuk Raya


Ewahewah, semakin hari semakin meningkat maju kumpulan yang berasal dari Kuala Kubu Bharu ini walaupun berbekalkan hanya sebuah lagu yang menjadi fenomena rakyat Malaysia. Setiap hari, lagu mereka berkumandang tanpa henti menerusi corong radio tempatan, tidak lupa juga penggemar karaoke yang tidak akan lupa memilih lagu sama setiap kali menyanyi. Bagaimana pun, populariti yang mereka kecapi ternyata tidak menghanyutkan lima anak muda ini malah kekal merendah diri walaupun dikenali ramai.

Projector Band yang dianggotai Iskandar atau Is sebagai vokalis, Razif (Angah) sebagai pemain gitar utama, Isnaidi (Edi) pemain gitar kedua, Ahmad Khusairi (Mat) sebagai pemain bes dan Syafiq (Apit) sebagai pemain dram mengakui terkejut dengan perubahan yang dialami mereka, namun sedar di mana bumi yang mereka pijak, apatah lagi langit yang dijunjung. Tidak sombong, malah mereka yang terlebih dahulu menyapa pihak media sewaktu ditemui pada Majlis Berbuka Puasa MAPMUSIC Bersama Media yang berlangsung di Hotel Parkroyal, pada Khamis.

Projector Band menerima plak Avani Oxygen Water daripada Pengurus Jualan dan Pemasaran, Hazri Haidi

Pada majlis sama, kumpulan ini turut diumumkan sebagai duta produk minuman Avani Oxygen Water yang turut dianggap sebagai satu kejayaan besar bagi sebuah kumpulan yang baru bertapak dalam arena muzik tempatan dipilih sebagai jurucakap. Selain itu, mereka juga dengan bangganya mempersembahkan lagu raya yang diadaptasi lagu popular mereka yang diubah lirik dan susunan muziknya sempena Aidilfitri berjudul Sudah Ku Tahu Raya. Lagu ciptaan Angah ini juga kedengaran lebih rancak berbanding gubahan asal lagu berkenaan.

Sudah Ku Tahu Raya oleh Projector Band

Antara yang hadir pada majlis berkenaan termasuk artis naungan MAPMUSIC lain seperti Eka Sharif, Shambles Band dan Epy & Ardiv, selain Pengarah Urusan MAPMUSIC, Azri Osman, Pengarah Operasi MAPMUSIC, Teoh dan Pengurus Pemasaran dan Promosi MAPMUSIC, Emryll Tahir.

Artis dan kakitangan MAPMUSIC 

Projector Band turut berkongsi mengenai Ramadan dan persediaan Aidilfitri yang bakal menjelang.

Kata Angah:

"Saya merasakan perubahan paling ketara tahun ini memandangkan ini kali pertama saya menyambut raya sebagai artis. Bulan Ramadan ini saya selalu jadi segan apabila ramai peniaga di bazar Ramadan bersedekah makanan percuma buat saya walaupun tujuan saya ke bazar hanyalah untuk membeli minuman. Ada kalanya terlalu banyak makanan yang saya bawa pulang dan saya anggap itu sebagai rezeki. Akhirnya saya minta rakan saya untuk membelikan apa yang saya mahu kerana saya benar-benar segan untuk menerima juadah percuma lagi. Bukan saya menolak, tetapi saya rasa agak kekok.

Raya kali ini saya akan menyambutnya di Kuala Kubu Bharu bersama emak dan adik-beradik selepas ayah meninggal dunia pada tahun 2008. Kalau sebelum ini saya hanya belikan kuih raya, tahun ini saya sangat bangga kerana dapat belikan emak beberapa pasang baju."

Kata Mat:

"Kali ini saya akan menyambut raya bersama isteri tercinta yang saya kahwini Mac lalu di Kuala Kubu Bharu juga memandangkan isteri saya terpaksa bekerja sehinggalah pada hari raya keempat. Isteri saya seorang jururawat, jadi dia harus menjalankan tanggungjawabnya. Saya anggap kejayaan Projector Band adalah rezeki orang kahwin, dan isteri saya adalah orang yang banyak memberikan dorongan dan semangat sejak kami belum dikenali sesiapa."

Projector Band mempersembahkan lagu Sudah Ku Tahu Raya

Kata Edi:

"Raya kali ini saya ada lebih ramai kawan, lebih ramai kenalan berbanding dahulu. Saya juga akan beraya di Kuala Kubu Bharu bersama keluarga memandangkan saya tidak ada lagi datuk dan nenek yang berasal dari Kelantan, terengganu dan Negeri Sembilan. Tetapi ada kemungkinan kami menziarahi sanak saudara di Seremban. Sememangnya raya kali ini sangat berbeza kerana kami mula dikenali ramai. Dahulu saya bekerja di IKBN Peretak, tetapi kerana komitmen pada band saya terpaksa menumpukan sepenuhnya kepada dunia muzik."

Kata Apit:

"Saya ada lima beradik termasuk Angah, hanya yang bongsu sahaja perempuan jadi kami berempat bertanggungjawab untuk menyediakan kelengkapan raya selepas arwah ayah meninggal dunia. Sejujurnya saya masih belum buat persediaan sepenuhnya untuk beraya, mungkin pada saat akhir setelah undangan persembahan selesai kami akan beri tumpuan untuk melengkapkan persediaan Aidilfitri."

Kata Is:

"Saya masih mengekalkan cara sama dalam menyambut Aidilfitri seperti tahun lepas, cuma kali ini saya sediakan lebih pakaian memandangkan besar kemungkinan kami perlu menghadiri pelbagai program. Saya akan beraya di Batang Kali bersama keluarga."
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan