Fidz, Pedang Bergabung Untuk Rahsia Cinta


Ewahewah, nampaknya perjalanan seni kedua-dua anak seni ini semakin luas setelah bertahun-tahun berjuang menempatkan diri dalam arena seni muzik tanah air walaupun melalui liku-liku sukar sebelum ini. Ini kerana label tempatan, Rusa Music memberi ruang kepada mereka untuk merakamkan sebuah lagu yang lama terpendam bersama-sama syarikat yang turut menaungi nama besar seperti Mark Adam dan Asfan Shah. Lagu yang berjudul Rahsia Cinta itu bakal menerjah kepada khalayak selepas sambutan Aidilfitri ini.

Bagi vokalis hebat, Fidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidzuddin Roslan, 29 dan penyanyi rap Ahmad Farid Firdaus, 26, yang lebih mesra disapa sebagai Pedang, peluang yang diberikan tidak sesekali dipersiakan malah menganggapnya sebagai satu rezeki setelah berusaha keras menempatkan diri sebagai penyanyi. Malah, banyak pengorbanan dilakukan mereka seperti mana penyanyi lain.

Fidz yang pernah menyertai pelbagai pertandingan termasuk Juara Pujaan anjuran RTM mengakui Rahsia Cinta mampu membuat pendengar menitiskan air mata walaupun dari segi susunan muziknya bukanlah mengikut arus aliran muzik terkini. Ujarnya, gabungan irama rock dan penceritaan dalam baris rap akan memberikan kelainan kepada pendengar.

"Saya begitu opitimis dengan karya yang saya tulis bersama rakan saya, Aza ini. Pada asalnya susunan muziknya agak berbeza ketika dicipta dengan judul asal Cinta Terbakar. Setelah berbincang dengan penerbit, lanskap lagu ini ternyata memberikan suntikan berbeza dan kami menyesuaikan tajuknya dengan jiwa lagu ini," ujar bapa kepada tiga anak ini.

Fidz, anak kelahiran Jelebu, Negeri Sembilan ini banyak memuat naik video nyanyiannya menerusi laman YouTube turut menerima pelbagai komen membina daripada pengikut setianya. Malah, keupayaannya menyanyikan lagu bernada tinggi ternyata menarik minat ramai kerana menyampaikan lagu popular dengan susunan muzik tersendiri. Fidz juga pernah bekerjasama dengan Mixology Music sebelum ini.

Fidz (kiri) dan Pedang

Lain pula ceritanya dengan Pedang, graduan perubatan yang mengambil keputusan untuk beraksi dalam dunia seni secara serius tanpa memutuskan untuk terus berkhidmat sebagai doktor perubatan. Menurut Pedang yang aktif dalam dunia persilatan ini, minatnya dalam mengalunkan bait lirik dengan rap bermula sejak zaman persekolahan atas dorongan rakan-rakan. Bekas pelajar Management & Science University (MSU) ini tidak mahu menoleh ke belakang dan menunggu-nunggu penyanyi yang benar-benar sesuai untuk menjalinkan kerjasama dalam sebuah lagu.

"Saya mengambil keputusan untuk tidak meneruskan bidang perubatan kerana saya sedar yang saya tidak boleh melakukan dua perkara sekali gus memandangkan saya sering memperoleh idea tidak tentu masa. Apabila saya ditawarkan Fidz untuk bekerjasama dalam lagu Rahsia Cinta, saya langsung tidak menolak memandangkan keupayaan dan penghayatan Fidz sangat saya kagumi. Ketika merakamkan lagu ini, ada bahagian yangs aya ubah 30 minit sebelum proses rakaman untuk menyesuaikannnya dengan setiap lirik yang dinyanyikan Fidz," ujar Pedang yang berasal dari Shah Alam, Selangor.

Rahsia Cinta bakal menemui pendengar selepas sambutan Aidilfitri 2016 depan dan diedarkan oleh Rusa Music. Pendengar boleh juga mendengar nyanyian Fidz menerusi laman Facebooknya https://www.facebook.com/fidzmusic/
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan