Demi Keluarga, Naz Don Tak Fikir Soal Rumahtangga


Ewahewah, jarang sekali kita melihat lelaki bertubuh sasa menjadi penyanyi. Pertama kali bertemu dengan jejaka ini ketika majlis pra-pelancaran Ewahewah.com yang diadakan di Patiniers, Restoran Temerloh Catering yang terletak di Wangsa Maju. Ketika itu, dia sempat mendendangkan lagu terbarunya berjudul Biar ciptaan sepenuhnya penyanyi dan komposer Asfan Shah. Bagaimana pun, artis naungan MVM ini tidak menafikan bekerja keras bagi mempromosikan lagu dan dirinya sebagai penyanyi.

Naz atau nama sebenarnya Mohd Nazri Mohd Don, 30, sempat menceritakan kepayahannya setelah dua tahun bergiat aktif dalam arena seni suara. Baginya, dia menggunakan segala macam cara termasuk mempromosikan dirinya sendiri menerusi laman sosial Instagram dan Facebook.

Biar, lagu kedua Naz Don yang dicipta Asfan Shah

"Saya sentiasa membuat hebahan menggunakan 'hashtag' dalam setiap perkongsian yang saya lakukan, tidak kiralah apa saja aktiviti yang saya lakukan pasti saya akan selitkan mengenai lagu saya. Saya perlu berbuat demikian supaya pengikut saya sentiasa ingat dan mengenali lagu berkenaan," ujar Naz ketika ditemui pada sebuah majlis anjuran syarikat rakamannya Jumaat lalu.


Bagaimana pun, Naz sentiasa mengelak daripada sebarang kontroversi walaupun mengakui ada pihak yang mencipta kontroversi bagi menaikkan nama sendiri. Baginya, dia memilih untuk dikenali berdasarkan bakat yang dimilikinya, apatah lagi kontroversi hanya menaikkan nama seseorang dalam masa singkat dan terus dilupakan juga dalam tempoh pendek. Tambah lagi, sebagai anggota badan beruniform dia perlu berjaga-jaga dari segi imej supaya tidak mengganggu kerjayanya.

Untuk melebarkan kerjaya seninya lagi, sebuah lagi lagu bakal dirakamkan November depan, juga hasil sentuhan Asfan Shah.

Naz Don bersama Asfan Shah (sumber Facebook Naz Don)

Bercerita soal peribadi, dia yang mengikat kontrak bersama MVM sejak November 2016 mengakui terpaksa menambah pendapatan melalui bidang seni untuk menampung perbelanjaan keluarga, apatah  lagi setelah kehilangan bapa sejak tiga tahun lalu. Malah, dia juga melupakan seketika hasrat untuk berumahtangga memandangkan tanggungjawabnya terlalu besar untuk dipikul.

"Saya anak kedua daripada sebelas adik beradik, tetapi sayalah anak sulung lelaki dalam keluarga. Empat daripada adik saya masih bersekolah, jadi saya benar-benar berharap kerjaya seni sedikit sebanyak dapat meringankan beban saya dalam membesarkan adik beradik. Mungkin jika adik sudah besar sedikit, saya akan fikirkan pula soal masa depan saya," kata Naz.

Aidilfitri tahun ini, Naz bersama keluarga akan pulang menziarahi pusara bapanya di Batu Pahat, Johor sebelum kembali berhari raya di Subang Jaya, Selangor.
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan