Shae Sembang Dengan Peminat 23 Mac Ini


Ewah ewah, pasti ramai yang masih ingat penyanyi berdarah kacukan Australia dan Indonesia yang pernah popular dengan lagu Sayang sedikit masa dulu sehingga berjaya mencapai kejayaan dari segi jualan muat turun nada dering mencecah jumlah dua juta sehingga dinobatkan sebagai muat turun terbanyak tahun 2014/2015 di Malaysia. Kini, penyanyi Shae kembali menghasilkan sebuah lagu yang pasti ‘meletup’ tahun 2016 ini yang diberi nama Seperti Magic. Lagu ini turut dimuatkan dalam album keduanya yang bertajuk sama. Lagu ini dicipta Posan Tobing, individu sama yang bertanggungjawab menghasilkan lagu Sayang, komposer yang mencetus penglibatan Shae di dalam industri muzik.

Jika lagu Sayang lebih menampilkan unsur kebahagiaan, Seperti Magic pula bermula dengan luahan kesedihan hati seorang kekasih yang masih mencintai namun kecewa apabila mendapat tahu kekasihnya menduakan cintanya. Masih mengekalkan tema cinta dalam nyanyian, Shae yang memperjuangkan muzik bergenre pop balada bagi lagu ini tampil mendayu-dayu yang pastinya menarik kembali perhatian ramai untuk mendengar alunan suaranya yang syahdu.


Ada sepuluh lagu dimuatkan dalam album Seperti Magic ini yang mana empat daripadanya boleh didengar menerusi perisian iTunes. Antaranya, Seperti Magic, Dream, Aku Suka Kamu dan Gojigo (K.A.M.U). Lagu Dream adalah lagu yang diadaptasi daripada lagu hit Sayang dalam versi Bahasa Inggeris dengan rentak EDM. Lagu ini dinyanyikan Shae bersama dengan Jessica Reynoso, penyanyi Filipina yang namanya meningkat naik sejurus memenangi pertandingan The Voice Philippines. Istimewanya, lagu Dream dihasilkan oleh Apl.De.Ap, penyanyi rap kumpulan tersohor antarabangsa, Black Eyed Peas. Selain itu, Shae turut menyumbangkan hasil nukilannya bagi menjayakan album ini dengan menghasilkan dua lagu berjudul Pecah dan Cantik.

Album Seperti Magic bakal dilancarkan secara digital mulai 18 Mac 2016 ini. Pada 23 Mac pula, Shae dijadualkan mengadakan sesi soal jawab bersama peminat menerusi laman rasmi Facebook Shae pada jam 6 petang waktu Malaysia. Peminat dan #SobatShae boleh bertanya apa sahaja kepada Shae ketika itu. 

Album ini diedarkan Warner Music (M) Sdn Bhd.


Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan