Fauzi Nawawi Curah Ilmu Demi Anak


Ewah ewah, akhirnya program Mentor Milenia sampai ke kemuncaknya malam ini menyaksikan tiga protege bertarung bagi merebut gelaran juara sekali gus membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000. Bakal berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, pertarungan peringkat akhir ini turut memaparkan dua mentor bersaing sesama sendiri setelah dua lagi mentor kecundang pada peringkat awal dan separuh akhir. Mereka yang mara ke final adalah kedua-dua protege penyanyi Black Hanifah, Wanie dan Qody, selain protege kepada Hazama iaitu Fareez. Protege kepada Akim Ahmad iaitu Han dan Ebba serta protege Azlan, Nuri dan Zetty akur dengan keputusan yang tidak menyebelahi mereka.

Apa yang dilihat, nyata percaturan Hazama kali ini dianggap kritikal kerana protegenya, Fareez sering dianggap sebagai peserta 'underdog' namun menunjukkan peningkatan minggu demi minggu sehingga melayakkan diri ke peringkat akhir. Cabaran berkenaan dilihat semakin sukar memandangkan kedua-dua protege Black begitu konsisten setiap minggu, apatah lagi Qody berjaya dinobatkan juara mingguan setiap minggu. Wanie juga tidak kurang hebat kerana sering memberi cabaran kepada peserta lain saban minggu.

Debaran Hazama sebenarnya turut dikongsi bapa Fareez, pelakon Fauzi Nawawi yang saban minggu berada di auditorium bagi memberikan sokongan kepada anak bujangnya itu. Namun, sebagai bapa lain dia juga tidak terlepas daripada memikul tanggungjawab khususnya dalam memberi tunjuk ajar dari segi persembahan pentas. Boleh dianggap sebagai satu kelebihan, namun suami kepada pelakon Lisdawati ini memohon agar penonton dan pengundi menerima Fareez sebagai seorang anak muda yang masih mentah dan perlukan sokongan ramai.

Fauzi tekad pastikan anak menjadi penyanyi serba boleh

"Saya faham, dalam bidang ini ada peminat suka dan ada juga yang tak suka. Kami tak boleh puaskan hati semua orang tetapi saya minta sangat penonton dan pengkritik agar tidak melihat Fareez hanya secara fizikal. Anak saya memang tinggi dan nampak dewasa, tetapi hakikatnya dia masih muda, ubun-ubun pun masih lembut lagi. Remaja sepertinya mestilah diberi peluang. Mohon jangan pandang Fareez sebagai anak seorang artis tetapi pandanglah dia sebagai peserta Mentor Milenia. Usah anggap anak artis ada jalan pintas untuk menyertai rancangan ini kerana anak seorang artis sekali pun akan tersingkir awal jika tidak mampu menunjukkan bakatnya," kata Fauzi sewaktu ditemui sewaktu sesi latihan di studio milik pengarah muzik Genervie Kam di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Kata Fauzi, dia mula serius mengambil tahu corak persembahan Fareez apabila anaknya itu melangkah ke minggu ketiga selepas melihat persembahan anaknya pada minggu pertama dan kedua bagaikan tiada jiwa.  Setelah berbincang dengan Hazama, dia bersetuju menjadi tenaga pengajar kepada anaknya sendiri khususnya dari segi penghayatan pentas. Menggunakan pengalaman selama 20 tahun dalam bidang lakonan, dia menekankan soal keikhlasan dalam persembahan tanpa memikirkan soal populariti kepada Fareez. Malah, baginya setiap penyanyi juga perlu ada keikhlasan dalam nyanyian.

"Sebelum ini saya memang ada rancangan untuk membawa Fareez ke dalam dunia seni, apatah lagi sebelum ini dia pernah menyertai rancangan Macam Macam Aznil musim baru dan memenangi tempat kedua dalam pertandingan nyanyian menerusi program sama. Kemudian, dia pernah menjadi juara dalam pertandingan yang melibatkan komposer Adnan Abu Hassan sebagai juri, tetapi saya langsung tidak tahu menahu mengenai tindakannya menyertai uji bakat Mentor Milenia kerana sebelum ini dia hanya meminta izin kepada saya untuk belajar seni mempertahankan diri. Bagaimana pun, saya larang dia menyertai mana-mana pertandingan melibatkan seni mempertahankan diri untuk mengelakkan dia mengalami kecederaan fizikal," kata Fauzi yang ingin membentuk anaknya menjadi seorang penyanyi yang membawa konsep gabungan nyanyian dan seni mempertahankan diri seiring dengan artis zaman milenium.

Hazama tekun memberi tunjuk ajar kepada protegenya

Bagi Hazama pula, kejayaan Fareez ke peringkat akhir sudah dianggap sebagai satu kemenangan memandangkan Fareez berjaya dibentuk walaupun ramai yang kurang yakin dengan persembahannya setiap minggu. Malah, tindakan TV3 selaku penerbit rancangan ini membawa masuk juri profesional ketika peringkat separuh akhir setelah mendapat kritikan ramai dianggap tepat kerana khalayak beranggapan setiap protege tidak diberikan penjurian tepat memandangkan keputusan penyingkiran sebelum ini terletak pada undian juri awam sebanyak 30 peratus dan undian atas talian mewakili 70 peratus markah.

"Sebenarnya bagi pasukan saya, kejayaan Fareez memasuki peringkat akhir sudah cukup menggembirakan kerana pada mulanya kami sendiri resah dengan pencapaian Fareez setiap minggu yang kurang konsisten. Namun, kami tidak menyangka dia begitu berusaha dan terus belajar walaupun ada kalanya mengalami masalah dalam persembahannya. Malah, persembahannya ketika peringkat separuh akhir mengejutkan kami kerana dia melakukan peningkatan begitu drastik sehingga berjaya ke final," kata Hazama.

Ternyata, usaha Hazama dan pasukannya berbaloi walaupun terpaksa mengambil keputusan 'membawa lari' Fareez daripada kesibukan kota dan melakukan latihan di Pulau Perhentian, Terengganu beberapa hari sebelum peringkat separuh akhir berlangsung. Malah, di sana Fareez tampak lebih tenang tanpa tekanan untuk berlatih, apatah lagi cabaran dalam Mentor Milenia bukan kepalang.


Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan