Fareez Sah Juara Mentor Milenia


Ewah ewah, bukan main seronok lagi peminat protege kepada Hazama ini, Fareez setelah dinobatkan sebagai juara Mentor Milenia yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam malam tadi. Fareez atau nama sebenarnya Muhammad Fareez Hazwan Mohd Fauzi membawa pulang wang tunai RM100,000 serta trofi, sekali gus menewaskan dua lagi peserta yang juga protege kepada Black Hanifah, Rossaidi Abdul Rani atau Qody dan Nurul Syazwanie Mohd Basri yang popular dengan nama pentas Wanie.

Persembahan penuh aksi oleh Fareez dan Hazama

Fareez yang juga anak kepada pelakon Fauzi Nawawi itu berjaya menarik perhatian penonton dan juri dengan konsep persembahan ala teater. Dia yang menggabungkan elemen drama, magis dan seni mempertahankan diri menerusi lagu Drama King dan Hilang Naluri bersama Hazama serta Apokalips dan Aku Juga Manusia secara solo turut dianugerahkan 17 peratus undian daripada juri awam. 

Tempat kedua pula dimenangi Qody walaupun menerima undian tertinggi sebanyak 18 peratus daripada juri awam selepas menyampaikan persembahan bertenaga menerusi lagu Jerangkung Dalam Almari bersama mentornya, Black dan Hanya NamaMu secara solo. Anak kelahiran Kedah itu membawa pulang wang tunai RM50,000 serta sebuah trofi.

Wanie pula selesa pada tempat ketiga selepas berjaya menarik perhatian pengundi menerusi lagu medley Malam dan Merisik Khabar, selain persembahan bersama Black dengan lagu Tanya Sama Hati dan Tiada Kata Secantik Bahasa. Mendapat undian juri awam sebanyak 17 peratus, undian juri profesional dan penonton membantu Wanie memenangi wang tunai RM20,000 serta trofi.

Gabungan mantap Qody dan Black menerusi lagu Jerangkung Dalam Almari

Gaya klasik Wanie dan Black

Menurut Hazama, kejayaan Fareez adalah usahasama dia dan pasukannya yang dikenali sebagai Team Hazama yang berhempas pulas memberikan sepenuh perhatian terhadap perkembangan protegenya itu memandangkan Fareez sering kali dianggap sebagai peserta 'underdog'. Bagaimana pun, kejayaan ini membuktikan kerja keras pasukannya benar-benar mendatangkan hasil apatah lagi dia sendiri tidak pernah berputus asa bagi memastikan anak didiknya memberikan persembahan terbaik saban minggu.


"Saya dan Team Hazama sentiasa mencari ruang terbaik dalam membentuk persembahan Fareez setiap minggu selain memperbaiki kelemahan yang ada padanya. Malah, kami tidak pernah meletakkan sebarang harapan untuk bergelar juara, sebaliknya misi saya adalah memastikan persembahan Fareez diingati ramai. Saya tahu dia bukanlah sempurna dari semua sisi, tetapi keistimewaan yang ada padanya ialah dia tidak pernah berhenti belajar walaupun sering kali ditegur. Inilah hasilnya," kata Hazama.

Fareez sebak setelah diumum juara Mentor Milenia

Fauzi Nawawi dan isteri, Lisdawati turut hadir beri sokongan

Bagi Fareez, dia juga tidak menyangka kemenangan berpihak padanya apatah lagi protege lain sering disebut-sebut sebagai calon juara berbanding dirinya. Malah, dia yang kelihatan sebak sebaik saja diumum juara Mentor Milenia sendiri terkejut dengan keputusan yang diumum pengacara Marsha Londoh dan Issey.

"Saya banyak belajar daripada Hazama khususnya dari segi disiplin dalam kerja dan menanam rasa ikhlas setiap kali melakukan persembahan. Kejayaan ini bukanlah milik saya seorang, tetapi kejayaan sepasukan. Saya amat berterima kasih kepada Team Hazama kerana tidak pernah jemu membantu saya sehingga dianugerahkan tempat sebagai juara," ujar anak muda berusia 19 tahun ini.

Persembahan semua protege dengan lagu tema Tunjuk Ajarku Sifu dengan gubahan muzik terkini

Selain Hazama dan Black, dua lagi mentor iaitu Akim Ahmad dan Azlan turut hadir walaupun semua protege mereka, Han, Ebba, Nuri dan Zetty gagal menempatkan diri pada peringkat akhir. Juri profesional pula adalah komposer Azmeer dan Ajai, selain penyanyi Amy Search yang didatangkan khas untuk peringkat akhir malam ini, mewakili 50 peratus markah keseluruhan, selain 30 peratus daripada undian penonton secara atas talian dan 20 peratus lagi daripada juri awam. Mentor Milenia 2016 dibawakan Pamoga Qu Puteh sebagai penaja utama.


Saat kemenangan Fareez


Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan