Astrid Rindu Peminat Di Malaysia


Ewah ewah, semakin hari semakin anggun penyanyi yang pernah menggegarkan Malaysia dengan lagu Tentang Rasa, Terpukau dan Mendua ini walaupun sibuk dengan kehidupan seharian setelah bergelar isteri dan ibu. Kini muncul dengan lagu terbaru berjudul Demi Kita, Astrid Sartiasari tampak selesa dengan perjalanan kerjaya muziknya di Indonesia. Malah, kelihatan suaminya yang juga penyanyi dan pemuzik, Arlan Djoewarsa sentiasa aktif membantu mempromosikan buah tangan terbaru penyanyi itu. Ikuti perbualan eksklusif bersama ibu kepada anak comel, Alec ini.

Sudah lama Astrid tidak muncul dengan lagu baru di Malaysia. Bila lagi Demi Kita akan dipasarkan di Malaysia? Tidak rindu dengan peminat di sini?

Sebenarnya saya rindu sekali dengan teman di Malaysia kerana setiap kali ke sana saya selalu memperoleh kenangan yang meninggalkan kesan menyenangkan. Teman media sangat ramah, peminat muzik juga sangat menghargai saya. Bagaimana pun untuk jadual pemasaran Demi Kita, jujur saya katakan yang saya masih belum tahu lagi kerana keputusan terletak pada pihak pengurusan di Malaysia. Saya berharap dapat berkunjung lagi ke Malaysia, apa lagi kalau boleh membuat persembahan di sana.

Lagu Demi Kita ini mengenai kisah apa dan siapa yang mencipta lagu ini?

Demi Kita dicipta oleh Alam Urbach. Saya memilih lagu ini kerana kisahnya sangat istimewa dan mempunyai mesej yang mendalam. Lagu ini menceritakan realiti hubungan cinta. Walaupun sudah bernikah, masalah dalam hubungan boleh menjadi berat. Sering kali kita dengar soal ketidaksesuaian walaupun pasangan itu sudah mendirikan rumah tangga yang mana akhirnya memutuskan untuk berpisah. Dalam lirik Demi Kita ini, saya sendiri mengingatkan diri saya dalam menjalani hubungan yang mana kita perlu menghadapi dan bukan menghindari masalah. Satu ketika dulu, saya pernah mendapat nasihat daripada orang tua. Katanya, tidak ada pasangan yang sempurna buat kita. Cinta tidak selalu mudah dan indah. Kita yang harus memperjuangkan sepenuhnya, bahkan dengan pengorbanan. Pesan inilah yang ingin saya sampaikan menerusi lirik lagu Demi Kita.


Ceritakan sedikit pembikinan klip video Demi Kita. Mengapa pilih lokasi di Paris?

Tahu atau tidak apa rasanya mengimpikan sesuatu sejak kecil dan akhirnya mimpi itu menjadi kenyataan?  Itu yang saya rasakan sewaktu beberapa hari mendapat kesempatan bertamu ke kota Paris, Perancis. Terima kasih untuk Mujahid Abdul Wahab, pengurus syarikat rakaman Rumpun Records - Universal Music Malaysia iaitu label yang mengedar beberapa lagu dan album saya beberapa tahun lalu di Malaysia kerana dialah yang memberikan hadiah tiket perjalanan ke Paris kepada saya dan juga suami tercinta. Alhamdulillah, hadiah berkenaan adalah kerana kejayaan lagu Tentang Rasa yang mendapat sambutan luar biasa di Malaysia, sama seperti di Indonesia. 

Klip video Demi Kita

Selama hampir seminggu saya berpeluang ke tempat yang selama ini hanya saya hanya boleh lihat menerusi buku dan filem, sebagai contoh Arc de Triomphe, Mussè du Louvre, Jardin du Luxembourgh, Pont de Arts (Bridge of Lovelocks), Notre Dame dan banyak lagi. Oleh yang demikian, saya mengambil kesempatan menjalankan penggambaran klip video di setiap tempat yang saya kunjungi. Hal ini memang sudah dirancang terlebih awal walaupun proses penggambaran agak meletihkan. Bagaimana pun, saya rasa seronok walaupun terpaksa bersolek sendiri setiap pagi. Terima kasih penata gaya Erich atas bantuan sehingga saya kelihatan sempurna di Paris, selain sahabat Saski dan Meyi yang banyak membantu proses penggambaran yang diarahkan sendiri oleh suami saya, Arlan.

Bagaimana sambutan Demi Kita di Indonesia?

Seperti biasa, sememangnya saya tidak terlalu berharap kerana bagi saya perkara paling penting adalah saya mampu berkarya dengan apa yang saya rasakan. Alhamdulillah, berdasarkan maklum balas menerusi media sosial, hampir seluruh radio di Indonesia memutarkan lagu Demi Kita setiap hari, bahkan sebahagian besar sudah masuk carta dan permintaan tertinggi.


Astrid dan suami, Arlan sewaktu di Kota Paris

Bagaimana Astrid membahagi masa antara kerjaya dan sebagai seorang ibu?

Bagi saya, keluarga tetap nombor satu. Saya mengutamakan keluarga walau dalam apa jua keadaan. Sesibuk mana pun saya,  saya selalu harus ada waktu untuk anak dan suami seperti menghantar dan menjemput anak dari sekolah, mengajaknya bermain ke taman permainan atau dengan rakan seusianya. Untuk suami, kami sama-sama ada hobi menonton filem. Sekurang-kurangnya seminggu sekali kami menonton filem terbaru, atau sekadar DVD di rumah.

Apa rahsia Astrid dalam menjaga kecantikan?

Gembira dan sihat! Rawatan dan solekan apa pun tidak akan mampu memberikan kecantikan jika kita tidak sihat dan bahagia. 

Apa harapan Astrid pada masa mendatang mengenai kerjaya Astrid di Malaysia?


Besar harapan saya untuk berkunjung dan memperdengarkan secara langsung karya terbaru kepada teman di Malaysia kerana selain Demi Kita, lagu dalam album terbaru nanti cukup banyak berbeza berbanding Tentang Rasa, Mendua dan Terpukau. Sama seperti di Indonesia, mungkin ada yang beranggapan gaya muzik saya berubah. Bagaimana pun, untuk mereka yang pernah yang mendengar nyanyian saya sejak tahun 2003, pasti akan mengingati siapa Astrid yang dulu walaupun dengan sentuhan baru. Masih ada rasa kelam, tapi penuh harapan.

Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan