Tiru Ziana Zain, Azlin Menang RM20,000


Ewah ewah, nampaknya rancangan meniru gaya artis iaitu Seiras Seirama akhirnya menemui pemenang sulungnya setelah berlangsungnya peringkat akhir rancangan berkenaan secara langsung dari Studio 1, Astro Bukit Jalil dan ditayangkan menerusi Astro Ria dan Astro Ria HD. Klon Ziana Zain, Azlin Aziz berjaya merangkul kejuaraan mengenepikan enam lagi peserta yang juga peserta yang cuba menjadi klon penyanyi seperti Datuk Jamal Abdillah, Hafiz Suip, Mas Idayu, Ella, Faizal Tahir dan Misha Omar. Dengan kemenangan itu, peserta berusia 28 tahun itu membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 dan trofi.

Ditayangkan setiap Ahad, jam 9 mala bermula 13 Disember 2015, Seiras Sirama adalah program pencarian bakat nyanyian yang seakan-akan ikon terkenal tanah air. Setiap ikon diwakili empat peserta pada peringkat awal setiap minggu bagi merebut peluang beraksi di pentas akhir. Pemenang dipilih sendiri oleh ikon terbabit ketika pemilihan, berbeza pada peringkat akhir pemenang dipilih tiga juri termasuk pengarah terkenal Mamat Khalid, serta Datuk Khadijah Ibrahim dan Dato' AC Mizal. Program yang diacarakan Datuk Aznil Nawawi itu juga bersiaran secara langsung pada peringkat akhir, berbeza peringkat awal yang dirakamkan lebih dahulu sebelum disiarkan.


Menariknya dalam peringkat akhir program ini, persembahan dimulakan dengan kumpulan penyanyi yang juga peserta program nyanyian popular Gegar Vaganza musim kedua iaitu Faradhiya, Haiza dan Nasseir Wahab, selain Lan Kristal yang turut sama bergandingan dengan mereka menyampaikan lagu popular ikon yang terbabit dalam Seiras Seirama musim pertama ini. Aznil juga tidak kurang hebatnya meneruskan persembahan dengan lagu Mat Disko yang pernah dipopularkan Allahyarham Sudirman dengan iringan penari.


Azlin atau nama sebenarnya Azlina Aziz, peniaga berasal dari Negeri Sembilan membawakan lagu Ziana Zain, Tiada Kepastian dan Sangkar Cinta sebelum menyampaikan lagu hit Senja Nan Merah pada pusingan kedua bersama penyanyi rock Aweera. Ternyata faktor lagu dan kehadiran Aweera memberi kelebihan kepada juara ini kerana pada pusingan pertama, dia tidak memberikan persembahan yang benar-benar memukau. Bagaimana pun, pemilihan lagu bernada tinggi dan popular seperti ini mampu menarik perhatian penonton untuk bersorak. Malah, Mamat Khalid selaku juri turut bersetuju sukar mencari kesilapan Azlina dalam persembahan duet berkenaan.


Naib juara, Zila atau nama sebenarnya Fazilah Asmar, 27 dan berasal dari Sandakan, Sabah pula membawakan lagu daripada ikon pilihannya Ella berjudul Tiada Tangis Lagi dan Kesal. Dia juga bergandingan dengan juara Akademi Fantasia 2015, Sufi dalam lagu duet Dua Insan Bercinta. Ternyata kedua-duanya memberikan persembahan bertenaga walaupun ada beberapa bahagian kedengaran kurang menyerlah khususnya apabila Zila tidak mengikut tempo pada beberapa bahagian. Bagaimana pun, ternyata dia yang juga pemuzik berjaya memberi saingan hebat dalam pertandingan ini.


Bekas finalis Akademi Fantasia musim kesembilan, Mohd Azri Abdullah atau Azri mengejutkan ramai apabila turut menyertai program ini dan memilih ikon Faizal Tahir. Dia yang suatu ketika dahulu kerap disamakan dengan penyanyi terkenal itu terpilih ke peringkat akhir dan selesa pada tempat ketiga, membawakan lagu seperti Gemuruh dan Sampai Syurga. Jika Faizal Tahir berganding dengan Elizabeth Tan dalam lagu Setia yang turut dipilih sebagai lagu duet pusingan kedua, Azri bersama Aishah Aziz yang juga bintang Akademi Fantasia. Azri memilih untuk membuat persembahan dengan prop dan menonjolkan kelainana dalam persembahannya.


Peserta yang dikatakan pilihan ramai yang juga klon Datuk Jamal Abdillah, Nor Azri Zainuddin yang juga penyanyi sambilan membawakan lagu legenda hidup itu iaitu Bicara Cinta dan Aku Penghibur. Walaupun tidak kedengaran sama dengan ikon pilihannya pada pusingan pertama, gandingannya bersama juara Gegar Vaganza 2 iaitu Siti Nordiana menerusi lagu Kehebatan Cinta begitu menonjol. Tona suaranya kedengaran seperti ikon pilihan sehingga mendapat pujian juri. Bagaimana pun, harapan yang terlalu tinggi yang diletakkan mungkin menyebabkan peserta ini terlalu dibandingkan dengan Datuk Jamal Abdillah.


Seorang lagi peserta yang memilih ikon Hafiz Suip, Akira atau nama sebenarnya Ahmad Shukri Zakaria, 24 memilih lagu seperti Bahagiamu Deritaku dan Awan Nano, sebelum bergandingan dengan rakan duet Hafiz menerusi lagu berkenaan, Untuk Cinta iaitu Adira. Akira yang juga peniaga atas talian sebenarnya mempunyai potensi untuk pergi jauh dalam bidang seni suara, namun persembahannya agak kurang menyengat apatah lagi dia kelihatan begitu mencuba untuk meniru Hafiz. Ternyata, Hafiz bukanlah mudah untuk ditiru.


Penonton di studio begitu terhibur dengan gerak geri peserta yang memilih ikon Misha Omar untuk bersaing dalam Seiras Seirama, apatah lagi Misha sendiri kelihatan tidak berhenti ketawa melihat persembahan Tyka menerusi lagu Nafas Cahaya dan Dedebu Cinta. Tyka atau nama sebenarnya Nor Amierazatyka Ayob, 21 dan berasal dari Johor itu beraksi tidak ubah seperti Misha khususnya menggayakan cara 'angkat kaki' Misha ketika membuat persembahan. Dia juga berduet dengan Ezad Lazim menerusi lagu Sembunyi yang pernah dinyanyikan Misha dengan vokalis Flop Poppy, Andy.


Seiras Seirama peringkat akhir turut menyaksikan peserta veteran, Norya atau nama sebenarnya Noor Hayati Selamat. Wanita berusia 54 tahun dan berasal dari Perak itu memilih lagu ikon Mas Idayu seperti Senggol Senggolan Cubit Cubitan dan Goda Godaan dan membuat persembahan dengan bergelek. Malah, dalam lagu Cintaku 100% versi baru yang disampaikan bersama penyanyi rap Juzzthin dan Waris, Norya kelihatan lincah dan menghiburkan penonton.

Ikon turut membuat persembahan memeriahkan Seiras Seirama

Selain persembahan peserta, Faizal Tahir dan Hafiz turut berduet dalam lagu Inspirasi yang didekasi kepada penyanyi nombor satu negara, Dato' Siti Nurhaliza. Ikon lain turut membuat persembahan seperti Datuk Jamal Abdillah yang membawakan lagu ikon Ziana Zain, Kalau Mencari Teman. Misha Omar turut membawakan lagu Ella, dan Ella sendiri membuat persembahan dengan iringan gitar pemain gitar handal Man Keedal. Ziana Zain bagaimana pun tidak dapat membuat persembahan
kerana kurang sihat.

Persembahan ikon Ella

Menurut Azlin, dia mula menyanyi sejak sekolah menengah dan cukup menyukai Ziana Zain sejak dulu dan begitu teruja dapat mewakili ikon pilihannya. Dia juga teringin berduet dengan Ziana jika diberi kesempatan penyanyi itu. Malah, dia juga sangat terharu apabila Ziana sendiri ada datang ke studio milik abangnya untuk memberi tip dan nasihat. Bercakap mengenai saingan dalam Seiras Seirama pula, dia tidak menolak ada peserta memberikan saingan cukup sengit padanya.

"Walaupun semua peserta mempunyai kelebihan tersendiri, bagi saya saingan cukup sengit diberikan oleh Zila yang membawakan gaya ikon Ella. Saya cukup takut kerana Zila benar-benar memiliki persamaaan dengan Ella khususnya dari sedi tona suara," kata Azlin.

Bagi Ziana pula, dia memang meletakkan kepercayaan pada Azlin sejak sebelum uji bakat lagi setelah melihat video yang ditunjukkan pihak produksi padanya. Jika diikutkan, Azlin menolak untuk datang ke peringkat uji bakat memandangkan dia dimaklumkan pada saat-saat akhir dan tidak bersedia untuk menjalani pemilihan. Bagaimana pun, Ziana bertegas untuk Azlin menyertai peringkat uji bakat dan berjaya merangkul kejuaraan.

"Saya juga ada perancangan sendiri dan bersetuju rancangan ini dapat memberi ruang kepada Azlin untuk pergi jauh dalam dunia nyanyian, mungkin saya dapat memberi sumbangan dari segi idea memandangkan Azlin boleh menyanyi dengan baik. Jika ada syarikat rakaman ingin menyunting Azlin, itu lebih baik," kata Ziana.

Azlin berjaya mengungguli Seiras Seirama

Bagi juri profesional pula, rata-rata peserta memberikan saingan hebat namun adat pertandingan pastinya akan ada pemenang di kalangan yang terbaik. Bagi Datuk Khadijah Ibrahim, Azlin menunjukkan kesungguhan walaupun mencuba meniru Ziana Zai. baginya adalah mustahil bagi seseorang untuk meniru seratus peratus ikon yang dipilih. Mamat Khalid turut menyatakan yang dia cuba mencari kesilapan pada persembahan Azlin namun tidak dijumpai.

Debaran menanti keputusan

Nampaknya Seiras Seirama adalah satu tapak untuk lebih ramai bakat menunjukkan kehebatan. Bagaimana pun, pihak produksi seharusnya lebih berhati-hati khususnya pada bahagian audio yang sangat kurang memuaskan. Selain daripada mikrofon yang kerap kali tidak berfungsi bermula pada persembahan pembukaan sehingga beberapa kali ditegur ikon Mas Idayu, peserta seolah-olah tidak dapat mendengar pembesar suara monitor dengan baik sehingga ada yang terlari temponya ketika menyanyi. Penggunaan prop yang berlebihan juga dilihat kurang membantu persembahan kerana pentas kelihatan tidak ubah seperti persembahan teater walaupun sepatutnya soal vokal perlu lebih dititik beratkan.
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan