Tiada Penyingkiran, Protege Hazama Menang RM1,000


Ewah ewah, nampaknya perlumbaan empat mentor untuk bergelar juara dalam program realiti Mentor Milenia kini diteruskan menerusi konsert ketiga yang juga battle pertama yang menyaksikan lapan protege bersaing sesama sendiri malam Ahad lalu di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam. Dalam pertandingan antara bakat baru yang berusia antara 17 hingga 21 tahun itu, peserta dari Pahang, Nurul Amira Mat Nasir atau Mya yang juga protege penyanyi Hazama diangkat sebagai juara mingguan, membawa pulang wang tunai RM1,000 tajaan Pamoga Qu Puteh yang juga penaja utama rancangan berkenaan. Mya yang membawakan lagu Ikut Rentakku nyanyian asal Jaclyn Victor berjaya meyakinkan juri awam dan penonton menerusi persembahannya yang memukau.


Selain Mya, seorang lagi protege Hazama ialah Muhammad Fareez Hazwan yang juga anak kepada aktor Fauzi Nawawi. Enam lagi protege lain ialah bawah didikan Akim Ahmad iaitu Muhammad Afeeq Farhan Zulkifli (Han) dan Nur Saheeba Raja Iftikhar Ahmed Khan (Ebba), protege Azlan iaitu Sharifah Nurilmuhayati Syed Hussain (Nuri) dan Nur Izzati Mohd Rashid (Zetty), serta protege Black, Nurul Syazwanie Mohd Basri (Wanie) dan Rossaidi Abdul Rani (Qody).

Dua peserta bagaimana pun diumumkan sebagai peserta yang mendapat kedudukan dua paling bawah iaitu Han dan Fareez, bagaimana pun masing-masing terselamat apabila pengacara Issey Fazlisham dan Marsha Milan Londoh mengumumkan tiada penyingkiran dilakukan pada minggu berkenaan. Bermakna, semua peserta mendapat peluang seterusnya beraksi pada minggu seterusnya bagi merebut wang tunai RM100,000. Edisi kali ini, semua persembahan dinilai oleh juri awam mewakili 30 peratus daripada undian keseluruhan, selain 70 peratus lagi diundi penonton menerusi laman sesawang rasmi Mentor Milenia iaitu www.tv3.com.my/mentormilenia. Ini bermakna tiada juri profesional terbabit dalam sebarang pemilihan bergelar juara.


Dalam konsert ketiga, juara Anugerah Juara Lagu Ke-30, Akim & The Majistret membuka tirai dengan persembahan lagu medley lagu Potret dan Mewangi. Ternyata, kemunculan kumpulan ini mendapat sorakan bergema daripada penonton apatah lagi mereka baru saja memenangi anugerah berprestij itu. Malah, pemilihan kumpulan berkenaan membuat persembahan dirasakan tepat memandangkan Akim juga adalah salah seorang daripada mentor yang terbabit dalam Mentor Milenia.


Pertandingan antara protege dimulakan dengan persembahan Wanie dengan lagu Hanya Satu nyanyian asal Nora. Memandangkan persembahan setiap protege hanya berdurasi kurang daripada tiga minit setiap seorang, ternyata agak sukar bagi seorang penyanyi yang sudah terbiasa dengan lagu berdurasi penuh menyampaikannya. Tambah pula, difahamkan Wanie kurang sihat dan tidak dapat menyampaikan lagu berkenaan dengan kekuatan sebenar. Bagaimana pun, Black selaku mentor bijak menyusun atur corak persembahan Wanie sehingga beberapa kekurangan dapat diselindung menyebabkan gadis itu memperoleh 26 peratus markah undian juri awam.


Persembahan Fareez yang membawakan lagu Wanita Seluruh Dunia nyanyian asal Projek Pistol mengambil alih pentas. Menggunakan hanya tiang mikrofon sebagai prop, Fareez kelihatan begitu berusaha untuk menarik perhatian penonton. Bagaimana pun, nyanyian jejaka ini bagaikan ada kekurangan pada beberapa bahagian menyebabkan juri awam memberikan markah paling rendah iaitu sebanyak 20 peratus sahaja. Nyata, jejaka ini perlu berbuat sesuatu dalam persembahan seterusnya untuk mendapatkan keyakinan penonton.


Anak muda dari Jitra, Kedah yang juga protege Akim Ahmad, Han, membawakan lagu yang pernah dipopularkan Spider iaitu Kasih Latifah. Menariknya, rentak lagu ini ditukar kepada genre Broadway yang mana memberinya satu ujian besar kepadanya yang lebih selesa dengan irama rock. Ternyata, Han kelihatan kekok dalam persembahannya. Apa yang boleh dipuji, Han tampak berusaha membawakan lagu ini dengan tarian dan lenggok tubuh seiring rentak. Namun, juri awam tidak melihat persembahan berkenaan sesuatu yang boleh menarik perhatian mereka dan memberikan markah hanya 22 peratus. Kekuatan vokal Han perlu digilap untuk minggu seterusnya untuk mengelakkan bakat besar seperti ini tersingkir daripada pertandingan.


Protege Azlan yang juga anak kelahiran Pahang, Zetty pula menarik minat ramai dengan persembahan lagu yang dipopularkan penyanyi bersuara lantang, Ziana Zain iaitu Putus Terpaksa. Susunan muziknya begitu menarik walaupun terpaksa memendekkan durasi lagunya, namun tetap memberi impak besar pada persembahannya. Walaupun tampak menjiwai persembahan, pergerakan tangan yang berlebihan dalam persembahan Zetty agak mengganggu sehingga ada kalanya kelihatan menjengkelkan. Mungkin Azlan selaku mentor harus berbuat sesuatu dari segi seni persembahan protegenya ini memandangkan Zetty mempunyai harapan cerah dalam pertandingan ini. Zetty menerima undian juri awam agak tinggi iaitu 27 peratus, meletakkannya sebagai penerima markah kedua tertinggi berbanding protege lain.


Pertandingan berehat seketika untuk memberi laluan kepada segmen persembahan selingan yang menampilkan Arob atau Yeop, anak kelahiran Felda Sungai Behrang yang pernah menjadi viral menerusi laman sosial menerusi video uji bakatnya bersama Black Hanifah. Penonton kelihatan terhibur dengan keletah peserta uji bakat dari Perak itu, malah ramai yang bersorak ketika jejaka itu menyampaikan lagu Aku Hanya Serangga nyanyian asal Bumipura Rockers atau BPR. Ternyata jejaka ini sebenarnya mempunyai keunikan tersendiri, selain pandai berjenaka dia juga dilihat mampu menjadi penghibur yang baik jika tidak dinilai menerusi vokalnya.


Seorang lagi peserta lelaki dalam Mentor Milenia, Qody meneruskan persembahan dengan lagu malar segar Pada Syurga Di Wajahmu nyanyian asal Nash. Sesuatu yang menarik mengenai jejaka ini, protege Black Hanifah ini mempunyai kekuatan vokal dan cara penyampaian yang baik. Namun, bagaikan ada sesuatu yang mengganggunya sehingga dia tidak dapat menonjolkan kekuatannya itu. Rupa-rupanya, Qody baru saja kehilangan ibu saudaranya seperti yang ditayangkan menerusi klip video. Apa pun, Black harus bijak dalam pemilihan lagu untuk Qody memandangkan peserta ini dilihat mampu menggugat kedudukan peserta lain dari segi vokal.


Pentas dikejutkan dengan persembahan Mya yang memperoleh undian juri awam tertinggi iaitu sebanyak 28 peratus. Menerusi lagu rancak Ikut Rentakku oleh Jaclyn Victor, gadis ini kelihatan begitu lincah di pentas dengan gerakan tarian yang pantas namun masih mengekalkan kawalan vokal yang baik. Ini menunjukkan Malaysia tidak kekurangan bakat dari segi nyanyian, malah jika diadili berdasarkan persembahan ini ternyata Mya mampu memperoleh kedudukan tiga teratas pada konsert akhir. Bagaimana pun, Hazama selaku mentor perlu menitik berat soal gaya dan seni persembahan pentas terhadap peserta ini supaya gadis ini dapat mengekalkan kecemerlangannya dan mengecap kejayaan pada konsert mendatang.


Lagu bernada tinggi, Mengapa nyanyian asal Nicky Astria disampaikan protege Azlan iaitu Nuri bagi meneruskan pertandingan berkenaan. Memulakan persembahan dengan bermain piano, bakat besar seperti ini nampaknya turut memberikan saingan hebat kepada peserta lain. Nuri kelihatan lebih baik dari segi penampilan, malah kekuatan vokalnya turut mencuri hari juri awam sehingga memberikan markah sebanyak 27 peratus. Bagaimana pun, Nuri harus segera mencungkil faktor-X yang tertanam dalam dirinya untuk kelihatan lebih menyerlah berbanding peserta lain.


Satu-satunya peserta yang berhijab dalam Mentor Milenia, Ebba yang juga protege Akim Ahmad melabuhkan tirai persembahan protege menerusi lagu Keliru yang pernah dipopularkan Nurul dan Ajain. Lagu ini pada asalnya berentak 4-4, namun ditukar Akim kepada 6-8 menjadikan lagu rancak ini menjadi balada. Ebba ternyata memiliki tona suara yang memukau, namun menerusi persembahan ini Ebba memberikan sensasi tangis atau crying sensation yang keterlaluan. Dia seharusnya bijak menyeimbangkan emosi lagu ini supaya tidak kedengaran menjengkelkan walaupun mahu menyuntik perasaan dalam setiap bait liriknya. Ebba menerima 25 peratus markah daripada juri awam.


Persembahan mentor ditutup dengan lagu tema filem Hindi popular, Dilwale iaitu Janam Janam.
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan