Sepahtu, Mark Adam Buat Orang Sungai Petani Pecah Perut


Ewah ewah, bukan main gembira lagi orang Sungai Petani dengan kedatangan penyampai radio Sinar FM ke tempat mereka baru-baru ini. Tambah lagi, kehadiran pelawak Sepahtu yang juga penyampai Sinar Pagi sempena jelajah Jalan Jalan Sepahtu Sinar bersama penyanyi Mark Adam menambah lagi kekecohan di ruang legar utama pusat membeli belah Amanjaya Mall di sini. Apa tidaknya, masing-masing 'lepas laku' dengan lawak spontan ketika pertandingan karaoke yang dianjurkan stesen radio terkenal itu.

Uji bakat pertandingan karaoke dapat sambutan hangat

Bermula jam 10 pagi, ramai peserta uji bakat pertandingan berkenaan beratur sejak awal lagi untuk menjadi 30 orang pertama yang layak disaring. Bagaimana pun, akhirnya pihak Sinar FM bersetuju membuka lagi peluang kepada orang ramai atas permintaan mereka yang pada awalnya hampa kerana hadir sedikit lewat. Dalam uji bakat yang diadakan, sebanyak 63 peserta diuji bakatnya dan lima yang terbaik berjaya meloloskan diri ke peringkat akhir bersama lima lagi peserta yang disaring terlebih awal ketika Sinar FM bersiaran. Malah, ada peserta sanggup datang dari jauh termasuk dari Johor Bahru untuk merebut hadiah utama bernilai RM3,000.

Penyampai Sinar FM dan peserta pertandingan karaoke

Selain Sepahtu dan Mark Adam, acara turut disertai penyampai Sinar FM yang tidak asing lagi iaitu Jamal Jamaludin dan Abby Fana yang bertidak sebagai pengacara. Sebelum Sungai Petani, program ini berjaya mendapat sambutan hangat di Johor Bahru yang turut disertai juara program Gegar Vaganza musim kedua, Siti Nordiana.

Pengurus Kandungan Sinar FM, Shidah Khasim yang turut berada di lokasi tidak menyangka sambutan orang ramai terhadap program ini begitu menggalakkan apatah lagi ini kali pertama membawa jenama Sepahtu kepada orang ramai secara langsung.

Shidah Khasim (tengah) mengendalikan proses uji bakat

"Tujuan kami menganjurkan Jalan Jalan Sepahtu Sinar adalah untuk bertemu dengan pendengar di lapangan secara suka-suka yang menggabungkan elemen komedi dan hiburan santai, tak sangka pula sambutan orang ramai begitu menggalakkan. Mungkin program seperti ini diteruskan pada masa mendatang memandangkan kejayaan pada cubaan pertama kami ini. Sepahtu juga kelihatan gembira kerana pendengar suka acara seperti ini, apatah lagi pendengar kami juga suka menyanyi. Ini salah satu cara untuk kami perkenalkan Sepahtu sebagai penyampai Sinar FM dan nampaknya misi kami berjaya," katanya.

Sinar FM juga kini tampil dengan format baru bertepatan dengan slogan Menyinari Hidupmu yang pengisiannya lebih dekat dengan pendengar dan berkait dengan kehidupan sebenar. Begitu juga dengan pemilihan lagu yang diputarkan lebih menyentuh kenangan dan ada cerita di sebalik setiap lagu yang dipilih untuk dimuatkan dalam setiap segmen menerusi radio berkenaan.

Mark Adam gembira bertemu pendengar Sinar FM

Mark Adam yang baru saja memenangi tempat keempat dalam program Juara Parodi bersama Shuib Sepahtu turut meluahkan rasa teruja apabila dapat bersama Sepahtu yang dianggap sebagai idola dalam arena humor tanah air. Dia yang juga ahli Selamba Blur ternyata boleh berlawak dan ramai yang 'pecah perut' dengan gelagat spontannya di pentas.

"Saya seronok menyertai Jalan Jalan Sepahtu Sinar dan Sinar FM sendiri kerana mereka sering menyokong penyanyi seperti saya.  Kalau dulu saya sering kali terdedah dengan genre komedi sejak kecil, kini saya juga rasa bahagia apabila dapat buat orang tertawa. Mengenai pertandingan karaoke yang mana saya juga bertindak sebagai juri, saya pilih pemenang dari segi vokal, penampilan dan pergerakan atas pentas. Rupa-rupanya ramai bakat baru yang boleh diketengahkan menerusi program seperti ini," kata Mark.

Jep dan Abby Fana

Anggota Sepahtu, Jep yang juga penyampai Sinar Pagi bersama Shuib dan Rahim Sepahtu sememangnya teruja sedari awal untuk bertemu pendengar. Apabila Sinar FM bersetuju untuk membawa mereka turun padang bertemu pendengar, dia begitu bersemangat memandangkan mereka baru saja mengendalikan segmen Sinar Pagi selama dua bulan menggantikan gabungan Salih Yaacob, Raja Azura dan Khairil Rashid yang sebelum ini menghiburkan pendengar waktu pagi selama lebih tujuh tahun.

Sepahtu teruja jadi penyampai Sinar FM

"Ini adalah satu perkara baru bagi kami dan membuatkan kami teruja untuk melakukannya. Kedua-dua lokasi Jalan Jalan Sepahtu Sinar mendapat sambutan luar jangkaan. Walaupun di Johor Bahru lokasinya luas berbanding di Sungai Petani, namun kehadiran pendengar membuat kawasan depan pentas penuh sesak. Ini menaikkan semangat kami untuk mempertingkatkan usaha kami dalam memberi khidmat terbaik sebagai penyampai radio. Alhamdulillah segalanya dipermudahkan," kata Jep.


Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan