"Saya Romeo Paling Bertuah" - Akim


Ewah ewah, tahniah diucapkan kepada pasangan Afiq Hakim Ahmad dan Stracie Angie Anam yang bakal bernikah hari ini di sebuah hotel di Kota Kinabalu, Sabah. Semua maklum pasangan yang mengikat tali pertunangan pada 26 September 2015 di Johor Bahru adalah pasangan 'kekasih Akademi Fantasia' walaupun menyertainya dalam musim berbeza. Saya sebagai antara insan yang menganggap kedua-duanya lebih daripada kenalan dalam dunia hiburan tanah air sebenarnya cukup berbesar hati dengan penyatuan mereka, apatah lagi selepas Stacy dengan rela hati memeluk agama Islam dan menerima Akim sebagai suami.

Saya ingin berkongsi kisah perjalanan percintaan mereka yang tidak ada kurangnya seperti pasangan lain yang bercinta. Berkenalan sewaktu menjalankan sebuah persembahan di Pekan, Pahang, hati mereka terpaut antara satu sama lain begitu cepat. Ketika itu, Akim baru saja pulang dari penggambaran drama bersiri Kau Dan Aku yang diadakan di Indonesia. Ketika itu, Akim sememangnya dikenali sebagai remaja yang sering ingin menjadi lebih dewasa berbanding usianya. Kehadiran Stacy dalam hidupnya memang mengubahnya menjadi seorang yang lebih matang, malah perjalanan kerjaya seninya lebih teratur sejak kehadiran Stacy dalam hidupnya.

Foto sumber Facebook Akim Ahmad

Bayangkan, ketika itu Akim baru berusia 18 tahun dan Stacy baru 19 tahun. Bagi remaja seusia mereka, mungkin mereka masih memikirkan soal bergembira pada usia muda. Berbeza dengan Akim, dia seolah-olah nekad dengan keputusannya untuk menjalinkan hubungan cinta dengan Stacy. Saya sebenarnya antara orang terawal yang mengetahui hubungan cinta mereka. "Kita nak beritahu, kita sekarang ni dengan Stacy," kata Akim. Ketika itu saya dan dua lagi peminat paling rapat dengan Akim menghabiskan masa bersama-sama di sebuah restoran makanan segera di Kajang, berdekatan dengan kediaman ibu saudara Akim di mana penyanyi kesayangan ramai itu tinggal sebelum berpindah untuk berdikari. Ketika itu, kalau tidak silap Akim baru sahaja dua bulan bergelar graduan Akademi Fantasia musim ketujuh.

Saya tidak terkejut apabila Akim memaklumkan perkara itu, malah saya tersenyum kerana saya dapat merasakan pilihan Akim sebenarnya tepat. Ketika itu saya terbayang wajah Stacy yang beperwatakan kebudak-budakan, tetapi tegas dalam kerjayanya. Maklumlah, Stacy sendiri berkorban untuk keluarganya sekian lama mencari nafkah untuk membantu ibu bapanya dengan bekerja sebagai penyanyi kelab. Disebabkan itu jugalah hati kecil saya menyatakan rasa setuju kerana bagi saya, Akim perlu dibimbing seorang gadis yang cekal dan membuatkan Akim mampu mengikut kata-katanya. Maklumlah, Akim ini sebenarnya remaja yang cukup manja. Ada kalanya, saya dan rakan-rakan mengakui Akim lebih manja daripada adiknya, Arif.

Bertahun-tahun pihak media cuba menyiasat hubungan sebenar mereka, namun Akim dan Stacy tetap mengunci mulut. Tidak ada seorang pun antara mereka mengakui mereka dalam ikatan percintaan walaupun kemesraan mereka sering kali dihidu ramai. Saya sendiri lebih gemar menjawab dengan senyuman apabila ditanya rakan-rakan. Bagi saya, soal hubungan cinta seharusnya dijawab oleh yang empunya diri walaupun saya sedia maklum status hubungan mereka. Malah, saya ada juga beberapa kali menghabiskan masa bersama mereka yang mana sudah tentu Akim dan Stacy datang bersama-sama kereta Toyota Caldina kepunyaan Akim. Sungguh, berbeza dengan Akim yang saya kenali sewaktu Central Elimination, One In A Million musim ketiga yang mana Akim tersingkir pada cabaran Top 60, sifatnya yang kebudak-budakan langsung hilang. Memang mengejutkan!


Ada satu ketika menjelang Akademi Fantasia musim kelapan, saya bertindak sebagai penulis kanan di Majalah Aksi Akademi Fantasia. Puas saya fikirkan siapa patut saya tampilkan sebagai penghias kulit muka depan majalah berkenaan. Saya sebenarnya agak risau jika permintaan saya untuk menggandingkan kedua-duanya tidak dapat dipenuhi bagi melindungi hubungan mereka diketahui ramai. Tetapi, saya sungguh bersyukur kerana mereka bersetuju. Malah, saya tidak perlu sediakan pakaian atau jurusolek kerana mereka seolah-olah tahu pakaian apakah yang sesuai untuk mereka bergandingan. Malah, apabila diminta bergambar mesra mereka seolah-olah tidak ada masalah bahkan sungguh natural. Namun ada juga 'pesanan penaja' daripada mereka. "Janganlah keluarkan yang terlalu mesra itu. Malulah!" kata Stacy. Katanya, cukuplah 'kita-kita' saja tahu.

Gambar 'belakang tabir' sewaktu sesi fotografi

Saya sebenarnya tidak pernah ada masalah dengan Akim mahu pun Stacy, tetapi lama saya tidak berjumpa dengan mereka oleh kerana tuntutan kerjaya yang agak padat. Namun, Akim tahu saya sentiasa melihatnya dari jauh dan memastikan 'keselamatan' dirinya. Bukan sahaja Akim, keluarganya juga maklum yang saya sentiasa memerhatikan perjalanan kerjaya Akim. Saya juga sering mendapatkan maklumat daripada kelab penyokong Akim iaitu Gerakan Penyokong Afiq Hakim atau dikenali sebagai Gafimmers. Alhamdulillah, mereka langsung tidak pernah lokek berkongsi malah sering mengajak saya menyertai mereka. Namun, saya lebih pentingkan kerjaya Akim lebih daripada segala-galanya. Cukup sekadar saya tahu, dia buat sehabis baik.

Lagu Inilah Cinta itu sebenarnya memang dicipta khas untuk Stacy. Saya masih ingat, waktu itu jam menunjukkan pukul 4 pagi dan saya sedang sibuk membuat persiapan perkahwinan abang angkat saya. Tiba-tiba saya dapat panggilan daripada Akim. Rupa-rupanya dia hendak saya dengar lagu berkenaan sambil dia bermain gitar. Pada hemat saya, mungkin saya orang pertama yang mendengar lagu itu. Apabila ditanya adakah lagu itu ditujukan untuk Stacy, hanya bunyi gelak tawa kedengaran di hujung talian. Faham-faham sajalah.

Foto sumber Facebook Akim Ahmad

Percintaan mereka sebenarnya tidak mudah. Pasang surut dalam hubungan bukannya sedikit. Walaupun Akim tidak pernah meluahkan apa-apa, tetapi ada kalanya hati saya terdetik hanya dengan melihat raut wajahnya. Ketika Akim masih aktif menerusi WeChat, saya hanya bertanya serba sedikit sama ada dia okey atau tidak. Saya suka letakkan diri saya sebagai orang terakhir untuk menjadi rujukannya. Maklumlah, bukan semua perkara kita boleh kongsi dengan semua orang. Tetapi saya sentiasa yakin, Akim yang dididik Ayah (panggilan kepada bapa Akim) dan Ibu (panggilan kepada ibu Akim) dengan baik selain adik-beradiknya Along (terbaru popular sebagai penulis lirik Kamar Empayar), Angah dan Adik adalah manusia yang kuat. Jujur, hubungan keluarga Akim dengan penyokongnya sangat rapat bagaikan satu keluarga besar.

24 Ogos 2015 menjadi tarikh penting buat Stacy dan kekasihnya apabila dia ke pejabat Jabatan Agama Islam Johor untik memeluk Islam. Seperti yang dikongsikan Akim, pada mulanya dia langsung tidak menyangka Stacy tiba-tiba membuat keputusan untuk memeluk Islam. Sebenarnya, kehadiran Stacy ke Johor Bahru adalah untuk menyolek adik ipar Akim sempena pernikahan adiknya Arif. Kata Akim, dia cukup berbesar hati kerana Stacy sendiri yang menyolek adik iparnya. Namun dia tidak menyangka yang Stacy membuat keputusan berhijrah. Malah ketika dalam perjalanan ke pejabat agama dengan ditemani keluarga kedua-dua belah pihak, Akim langsung tidak berkata apa-apa. Katanya, dia hanya tersenyum panjang kerana saat itu sungguh membahagiakan.

Foto sumber Facebook Akim Ahmad

Selepas bertunang, ramai membuat spekulasi tarikh perkahwinan mereka. Saya sendiri tidak pernah bertanya tetapi seperti biasa, pasti ada yang memberitahu. Saya sungguh gembira kerana saya rasa sudah sampai masanya saya kembali menyertai keluarga besar kami. Malah Akim ada bercerita dengan saya mengenai keterujaannya untuk bergelar suami kepada Ummu Shaikhah Stacy Anam. Dari soal pemilihan cincin bermata lima yang ramai maklum sebagai simbolik untuk Stacy mengangati kewajipan solat, sehinggalah kesediaannya untuk memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Malah, nombor lima itu cukup bermakna kerana selain rukun Islam juga lima, mereka juga melangsungkan pernikahan pada 5 Februari 2016 dan hari kelima iaitu Jumaat.

Bagi Akim, dia sungguh bangga dalam mentransformasi dirinya sebagai orang Islam yang mana perkahwinan adalah sesuatu yang dituntut. Malah, majlis perkahwinannya juga dirancang rapi supaya tidak ada pembaziran apatah lagi dengan niat bermegah. Apa yang penting baginya dan keluarga, majlis perkahwinannya perlu bebas daripada perkara negatif kerana keberkatan adalah perkara yang diharapkan. Malah, ketika ingin memperisterikan Stacy, Akim sendiri membawa ibu bapanya bertemu wajah dengan keluarga Stacy secara terhormat untuk sesi peminangan mengikut adat.

Foto sumber Facebook Akim Ahmad

Bercerita mengenai Stacy, Akim mengakui kepada saya yang dia tidak pernah memaksa Stacy dalam apa pun jua keadaan. Dari segi berpakaian sehinggalah kepada tindakan Stacy memeluk Islam, semuanya adalah atas kerelaan Stacy sendiri. Perubahan pada Stacy juga semakin ketara apabila dia semakin romantik, malah mereka berjanji untuk mengamalkan solat berjemaah bagi mengukuhkan ikatan perhubungan mereka sebagai suami isteri. Bagi Akim, dia perlu mempercepatkan perkahwinan supaya dia dapat membimbing Stacy sebagai muslimah tanpa sebarang halangan.

"Doakanlah perkahwinan kami. Saya sangat berbangga kerana menjadi suami Stacy. Bagi saya, sayalah Romeo yang paling bertuah," cerita Akim kepada saya sebelum berangkat ke Kota Kinabalu.

Penulis berpengalaman menulis di beberapa majalah termasuk majalah URS dan iRemaja sebelum bertugas sebagai Penulis Kanan di Majalah Aksi Akademi Fantasia, sebelum menyertai Selebriti Metro Ahad sebagai penulis sambilan. Penulis juga berpengalaman menjadi penulis skrip untuk beberapa program televisyen termasuk One In A Million dan Katanya.. Akademi Fantasia serta bertugas di belakang tabir untuk beberapa program televisyen, selain pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Rumpun Records - Universal Music Malaysia. Kini penulis bertindak sebagai Ketua Editor di ewahewahdotcom.
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan