Peluang Penggiat Seni Persembahan Ke Hollywood Kini Terbuka Luas


Ewah ewah, nampaknya ramai bakat dalam seni persembahan tanah air berpeluang untuk menunjukkan kehebatan mereka di pentas Hollywood. Mesti ramai yang tidak menyangka sesiapa saja mampu menonjolkan bakat terpendam mereka bukan saja di Malaysia, malah ke peringkat dunia hanya dengan menyertai uji bakat untuk ke kejohanan World Championship of Performing Arts atau lebih dikenali sebagai WCOPA. Mungkin ramai yang tidak tahu, ramai anak seni tempatan sebelum ini pernah memenangi pelbagai anugerah dalam beberapa bahagian sejak tahun 2005 lagi. Malah, ada antara mereka adalah selebriti tempatan yang masih unggul dalam perjalanan seni mereka buat masa ini.

Kontinjen 2014 bersama pingat yang dimenangi

Sekilas mengenai sejarah yang ditempa menerusi WCOPA oleh rakyat Malaysia, antara mereka yang pernah merangkul pingat termasuk Bob Yusof, Asmidar, Sarah Raissuddin dan Deja Moss, selain pemenang Grand Champion of The World seperti kumpulan penari Artistana dalam kategori kumpulan senior pada 2009, Duet Aswara (kategori kumpulan senior) dan Suhaili Michelin Kamil (tarian solo senior) pada 2010, Nisa Addina Taufik (instrumental junior) dan kumpulan D'Body (tarian senior) pada 2011, serta terbaru Nurul Aina Ghani (vokal senior) dan Zappo Youngsterz Crew (tarian junior) pada 2014. Malah, kontinjen Malaysia juga merangkul anugerah pakaian kebangsaan terbaik sebanyak lima kali iaitu pada 2008, 2009, 2010, 2012 dan 2013.

Setakat ini, seramai 107 peserta pernah melayakkan diri ke Hollywood dan tujuh daripadanya memenangi anugerah Grand Champion, pingat emas sebanyak 140, perak (115) dan gangsa (41). 102 peserta juga berjaya merangkul anugerah juara dunia (World Champion) dan lima daripada mereka berjaya memperoleh biasiswa daripada pihak WCOPA.

Zappo Youngsterz Crew menang pada 2014

Pada tahun ini, kejohanan WCOPA ke-20 bakal berlangsung di Long Beach Performing Arts Centre, California, Amerika Syarikat bermula 8 Julai hingga 17 Julai 2016. Lebih 150 penggiat seni ternama Hollywood terutamanya dari Hollywood, Nashville dan New York dijangka hadir sebagai pelatih dan pengadil kejohanan berkenaan. Peserta juga dapat menyertai bengkel yang dikelolakan pakar seni berkenaan bersama-sama lebih 80 ribu peserta dari lebih 50 negara yang hadir dari seluruh dunia.

Dengan penganjuran program Worldstars, Road To Hollywood oleh Matme Sdn Bhd yang juga pemegang lesen eksklusif di Malaysia dengan kerjasama Hormat Mulia Holdings Sdn Bhd, promosi akan dijalankan Parklane Productions Sdn Bhd menerusi siaran elektronik khususnya menerusi rangkaian televisyen tempatan. Penaja utama Worldstars tahun ini adalah K-Colly, produk makanan kesihatan terkenal negara.

Nurul Aina Ghani pemenang vokal senior 2014

Kepada mereka yang berminat menyertai uji bakat, warganegara dan pemastautin tetap Malaysia berumur antara 13 hingga 29 tahun hanya perlu membayar sebanyak RM90 untuk bertanding dalam satu atau lebih kategori tanpa dikenakan bayaran tambahan. Peserta diingatkan untuk membawa sendiri cakera padat lagu atau alat muzik masing-masing, sesuai dengan keperluan acara yang ingin ditandingi. Malah, peserta dinasihatkan membawa lebih daripada satu lagu bagi membuka jalan lebih luas untuk diterima. Kategori yang dipertandingan kali ini adalah vokal, tarian, peragaan (modeling), lakonan dan muzik.

Sebanyak lima lokasi uji bakat ditetapkan iaitu pada 5 hingga 6 Mac di Amanjaya Mall, Sungai Petani, Kedah; 12 hingga 13 Mac (Johor Bahru); 19 hingga 20 Mac (Suria Sabah, Kota Kinabalu); 26 hingga 27 Mac (Kuala Lumpur); serta 2 hingga 3 April di Plaza Merdeka, Kuching, Sarawak. Kepada mereka yang terpilih di peringkat saringan, pemilihan peringkat akhir bakal diadakan di Kuala Lumpur pada Sabtu, 9 April 2016.

Dato' Aziz Singah dan Pengarah JKKN, Mohd Sukarno Abdul Wahab menerima replika tajaan K-Colly

Menurut Penasihat Worldstars 2016, Dato' Aziz Singah, tugas mereka kali ini adalah untuk mencungkil bakat tanah air untuk dibawa ke peringkat dunia bersama-sama peserta dari negara seluruh dunia. Malah, kerjasama daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara yang menyokong pembabitan anak seni ke WCOPA sejak 2008 memberikan semangat kepada mereka untuk terus mengharumkan nama negara dalam arena seni persembahan.

"Jarang kita dengar bidang seni persembahan mempunyai 'olimpik'nya sendiri, apatah lagi mempertandingkan bakat seluruh dunia seperti mana yang kita lihat dalam dunia sukan. Ini adalah peluang keemasan untuk semua penggiat seni persembahan, tidak seperti generasi kami yang hanya berangan-angan untuk ke Hollywood. Generasi muda masa kini mempunyai peluang luas untuk ke sana menerusi program ini," kata Aziz yang dilantik sebagai penasihat Worldstars untuk 2016.

Romli Bidin (kanan) sedia bantu peserta WCOPA

Pengerusi Matme Sdn Bhd, Romli Bidin berkata, sebagai penganjur mereka begitu konsisten dalam membuka jalan kepada bakat seni persembahan untuk ke peringkat lebih tinggi. Bagaimana pun, mereka bukanlah pengurusan artis yang boleh menentukan hala tuju peserta jika mereka berjaya merangkul sebarang kejuaraan atau pingat dalam kejohanan berkenaan. Ini kerana mereka bukanlah penganjur seperti stesen televisyen yang mempunyai medium untuk memberikan promosi berterusan selepas berkahirnya WCOPA.

"Apabila mereka berjaya di sana, kita serahkan kepada mereka untuk menentukan sendiri jalan yang mereka pilih apabila pulang ke Malaysia. Bagaimana pun, kami sedia membantu sedaya upaya kami untuk memberi cadangan dan pandangan untuk mereka menggunakan kejayaan yang dirangkul untuk meneruskan kerjaya seni mereka," ujarnya.

Syafiq (kiri) ingin jadikan WCOPA lebih popular

Menurut Pegawai Pamasaran K-Colly Malaysia, Syafiq Asmy, semua perbelanjaan peserta yang berjaya pada peringkat akhir di Amerika Syarikat ditanggung sepenuhnya pihak mereka. Kali pertama bekerjasama dengan pihak Matme Sdn Bhd bagi menguruskan perjalanan peserta, pihaknya begitu positif dalam menyokong arena persembahan apatah lagi pertandingan ini bakal menonjolkan nama Malaysia ke mata dunia.

"Sebenarnya kami mengikuti perkembangan WCOPA dan pencapaiannya amat membanggakan walaupun tidak mendapat liputan menyeluruh. Jadi kali ini kami mahu membawa kejohanan ini ke peringkat lebih tinggi dan memperkenalkannya kepada khalayak. Kami semua teruja menantikan keputusan uji bakat nanti. Untuk perancangan selepas WCOPA, kita akan lihat perkembangan selepas tamatnya WCOPA di Amerika Syarikat dan akan merancang kesinambungan perjalanan peserta di tanah air kelak," katanya.

Alumni WCOPA berganding bahu tubuh persatuan

Mulai 2016, alumni WCOPA juga bersetuju menubuhkan persatuan bekas peserta bagi membantu ahli mereka dalam meneruskan cabaran sebenar dalam dunia seni. Antara mereka yang terbabit termasuk Deja Moss dan Bob Yusof.

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang http://www.worldstars.com.my
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan