'Lelaki Ini' Versi 5 Divo Janji Kelainan


Ewah ewah, meremang bulu roma semua yang berada di Stadium Malawati, Shah Alam ketika berlangsungnya sesi raptai Konsert 5 Divo yang menggandingkan lima bintang daripada tiga negara sehari sebelum berlangsungnya acara gilang-gemilang ini. Menampilkan Hazama dan Hafiz Suip daripada Malaysia, Taufik Batisah dari Singapura, serta Afgan dan Judika dari Indonesia, konsert ini sememangnya dinanti-nantikan ramai pihak memandangkan semua penyanyi terbabit mempunyai vokal cukup mantap dan mampu membuatkan penonton tidak berganjak dari tempat duduk. Paling menarik, lagu popular Anuar Zain iaitu Lelaki Ini bakal berkumandang gandingan kelima-lima mereka.

Dianjur Lough Out Loud Entertainment, konsert ini menjanjikan kepuasan kepada penonton kerana lima 'divo' berkenaan bakal menyanyikan himpunan lagu popular mereka khususnya di Malaysia. Menggunakan khidmat Dato' Ramli MS selaku pengarah muzik, rata-rata yang mendengar meluahkan rasa puas termasuk Judika yang merasakan persembahan kali ini cukup berbeza memandangkan tenaga yang dirasakan semasa berada di pentas ketika latihan benar-benar memberikan semangat kepadanya walaupun berdepan dengan masalah kesihatan sejak beberapa minggu sebelum konsert ini yang berlangsung 13 Februari 2016, jam 8.30 malam.

"Saya akan memastikan diri saya kurang bercakap sebelum persembahan bermula hari ini memandangkan itu yang memberi kemudaratan kepada vokal. Selain itu saya akan memastikan rehat yang mencukupi selain minum air dengan banyak," ujarnya sewaktu ditemui di belakang pentas sewaktu acara raptai berlangsung.


Seorang lagi penyanyi dari Indonesia, Afgan yang popular dengan lagu Jodoh Pasti Bertemu turut mengalami masalah kesihatan apabila diserang demam sehingga menjejaskan vokalnya kerana sering batuk. Namun, vokalnya sewaktu latihan masih mantap menyebabkan ramai menjangkakan konsert berkenaan pasti meninggalkan suatu kenangan indah pada mereka yang turut serta menyaksikannya. Apatah lagi, Afgan yang diangkat sebagai antara penyanyi yang memiliki kuasa vokal mantap juga menyampaikan lagu popularnya.

"Saya juga menjaga pemakanan, khususnya mengelak daripada makanan berminyak kerana kesan batuk selepas demam beberapa hari lalu agak mengganggu. Sebenarnya keluarga saya di Jakarta juga terkesan akibat cuaca yang tidak menentu, jadi saya perlu minum yang cukup. Mudah-mudahan ketika konsert berlangsung tidak ada sebarang gangguan pada nyanyian saya," kata Afgan.

 Suasana pentas ketika Afgan membuat latihan

Taufik Batisah yang turut ditemui juga teruja menjelang konsert berkenaan memandangkan dia juga terasa begitu berbesar hati dapat sepentas bersama nama besar lain. Malah, dia juga tidak menyangka masih ada yang ingat dengan lagu lamanya yang bakal dibawa ke pentas memandangkan sekian lama dia tidak muncul dengan lagu baru sebelum terbitnya lagu Awak Kat Mana yang kembali membawa nama penyanyi itu di persada dunia muzik Malaysia.

"Saya sedar pembabitan saya dalam industri muzik di Malaysia tidak begitu stabil. Ada kalanya barulah nama saya disebut-sebut khususnya apabila muncul ketika Anugerah Planet Muzik. Saya terkejut juga kerana mempunyai pengikut di Malaysia, dan saya ingin memberikan yang terbaik untuk konsert ini," ujar lelaki seberang tambak ini.

Selaku tuan rumah, Hafiz Suip dan Hazama juga kelihatan berkeyakinan setiap kali membuat persembahan ketika latihan. Malah, ada kejutan yang bakal dipersembahkan khususnya dalam segmen yang menggabungkan mereka dengan penyanyi lain.

Menurut Gadaffi Ismail Sabri yang juga pengasas syarikat penganjur turut meletakkan harapan tinggi menerusi konsert ini memandangkan kebanyakan tempat duduk terjual habis. Bagaimana pun, masih ada kekosongan pada satu dua bahagian dan tiket berkenaan masih boleh didapati di kaunter yang disediakan di luar stadium. Jadi, kepada mereka yang tidak mahu ketinggalan menyaksikan kehebatan Konsert 5 Divo bolehlah datang lebih awal dan dapatkan tiket secara terus di perkarangan Stadium Malawati, Shah Alam.
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan