Kisah Remaja Gila Bola


Ewah ewah, nampaknya bola sepak dan masyarakat memang tidak boleh dipisahkan. Kalau negara sedang demam dengan filem yang memaparkan semangat juang pemain sukan berkenaan, saluran TV3 juga tidak ketinggalan menayangkan sebuah telefilem yang memaparkan kisah pemain bola sepak sempena Tahun Baru Cina yang mendatang. Drama arahan Yeop Hitler ini menggandingkan pelakon seperti Syafie Naswip, Aedy Ashraf, Kamarul Haji Yusuff, Fimie Don, Mawar Rashid dan Ku Fridah. 



Telefilem berjudul Reza, Arman dan Bill ini mengisahkan Reza, 21, seorang pemuda yang gilakan bola sepak. Hari-harinya tidak lengkap tanpa membincangkan soal bola sepak apatah lagi dia memiliki prestasi sebagai pemain amatur hebat terutama dalam permainan futsal. Bagaimana pun dia mengalami kecederaan yang mana insiden itu sebenarnya disengajakan musuhnya, Arman yang juga sebaya dengannya. 


Disebabkan kecederaan itu, Reza tidak mampu bermain bola sepak lagi sehingga menyebabkan perasaannya untuk terus bermain bola sepak juga lenyap sama sekali. Perasaan itu ditambah lagi dengan sikap Arman dan rakan-rakan lain yang sering mengganggunya. Reza mula digelar kaki bangku oleh mereka dan sering menerima ejekan.


Pada suatu hari, Reza dibuli dengan teruk sehinggalah seorang pemain bola sepak yang menyedari kejadian berkenaan datang menyelamatkannya. Lelaki itu menghadiahi sepasang kasut khas untuk bermain bola sepak kepada Reza. Kasut itu dikatakan mampu membantu Reza kembali bermain bola sepak dengan baik, namun dengan syaratnya kasut itu mesti dijaga dengan baik dan tidak boleh dihilangkan. Ini kerana kasut itulah yang bakal menentukan nasib Reza.


Telefilem terbitan Country & Universal Sdn Bhd ini bakal ditayang pada Sabtu, 13 Februari 2016, jam 9 malam menerusi TV3.
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan