Juzzthin 'Serik Dengan Cinta' Maya Karin?


Ewah ewah, siapa sangka pelakon drama bersiri Oh My English ini pernah menjalinkan hubungan dengan aktres Maya Karin? Bagaimana pun, khabarnya masing-masing serik dengan cinta yang tidak kesampaian. Tetapi sebenarnya hubungan antara Juzzthin dan Maya tidak lebih daripada sebagai rakan duet menerusi lagu Serik Dengan Cinta yang menggabungkan kedua-dua pelakon dan penyanyi itu. Malah lagu ini turut dimuatkan dalam album terbaru Juzzthin, Class Is In Session.

Jika ada yang masih tertanya-tanya siapakah jejaka ini, Juzzthin atau nama sebenarnya Mohamad Nazreen Norzali memulakan kerjayanya sebagai penyanyi rap pada umur 17 tahun. Bakatnya dikesan rakan-rakannya dan mempelawanya menyertai kumpulan hip-hop Tricky Tongue. Kumpulan ini terpilih sebagai juara rancangan realiti popular Blast Off musim ketiga pada 2007. Sejak itu, dia secara perlahan-lahan mula berlakon dan membuat persembahan secara solo. Lagu pertamanya Sunset Boulevard mendapat sambutan baik dan itulah titik permulaan dia ditemui DJ Fuzz dan dilamar Mixology Music pada 2012.

Mula menempah nama sebagai penyanyi rap dalam industri muzik tempatan selepas popular dengan lagu hasil kolaborasinya bersama Waris dalam lagu ‘Botingkek’, Juzzthin terus mendapat perhatian menerusi gabungan Waris dan Mas Idayu menerusi ‘100% Cintaku’. Namun tidak ramai tahu anak muda berusia 26 tahun ini mula terbabit dalam bidang lakonan sejak tahun 2010 menerusi sitkom Waktu Rehat menerusi saluran Disney dan kemudian muncul dalam drama bersiri Oh My English yang bersiaran melalui Astro TVIQ yang berjaya merekod lebih lapan juta tontonan sejak musim pertama.



Dalam album ini, dia dibantu beberapa rakan yang tidak asing lagi dalam dunia hip-hop seperti DJ Fuzz, Aziquebeats, Waris dan ramai lagi, sudah pasti memberi kepuasan pendengar terutama sekali bagi mereka yang meminati lagu berentak hip-hop dan rap yang mula bertapak di persada muzik tanah air sejak awal1990-an. Selain muzik rap, unsur-unsur R&B juga diperdengarkan dalam album ini seperti lagu Isi Puisi yang mana dia bekerjasama dengan Nabil Zamanhuri dan G. Lagu Bonda pula mempunyai nilai sentimental yang istimewa buat dirinya kerana lagu ini didedikasi khas untuk ibunya. Baginya, lagu berkenaan antara lagu paling susah untuk dikarang apatah lagi ibunya, Noraini Jamal bukanlah pendengar hip-hop.

"Dalam album ini, lagu Bonda adalah yang paling mencabar kerana buat lagu untuk ibu bukan mudah kerana membabitkan emosi sedangkan irama hip-hop selalunya bertemakan suka ria. Ibu saya sudah dengar tetapi dia belum komen apa-apa. Saya cuma berharap dia suka kerana sepanjang hidup saya, dia sangat menyokong apa saja yang saya buat. Cuma saya selalu ingat pesannya, jangan sombong dalam apa jua keadaan," katanya sewaktu ditemui pada majlis pelancaran album sulungnya itu.


Memandangkan ketika ini dia tidak aktif dalam bidang lakonan, masa yang diperuntukkan cukup untuk dia memperomosikan album ini. Baginya, album ini dianggap sebagai 'kelas pertamanya' dalam dunia nyanyian. Tidak mahu bertangguh, dia juga berterima kasih kepada DJ Fuzz yang sering memberi tekanan padanya untuk menyiapkan lagu. Dia juga seringkali keluar daripada zon selesanya untuk menghasilkan karya terbaik.

"Saya gembira sebagai pelakon, tetapi saya sebenarnya bermula dengan dunia hip-hop jadi saya memberikan sepenuh perhatian terhadap pembikinan album ini. Saya faham ramai yang memandang saya masih remaja disebabkan watak yang saya bawa menerusi drama untuk kanak-kanak, tetapi dalam masa sama itu menyebabkan saya ada pengikut daripada pelbagai golongan. Saya tak pernah memilih watak, tetapi watak remaja juga yang memberi saya punca rezeki. Saya tak mahu kejar watak lain hanya kerana populariti, tetapi saya tekankan soal kualiti," katanya yang popular dengan watak Zakaria Embong atau Zack dalam Oh My English.


Bercerita mengenai pembikinan klip video Serik Dengan Cinta, lagu ini membawa pendengar untuk tidak terus bersedih jika tewas dalam hubungan cinta. Berlatar belakangkan sebuah sarkas, klip video ini memaparkan pertemuan Juzzthin dan Maya yang sedang 'lari' daripada kesedihan. Gabungan ini juga bertepatan dengan nilai komersial lagu ini yang menggabungkan penyanyi hip-hop dan pop dalam sebuah lagu. Bagaimana pun, Juzzthin tidak risau jika ada pihak yang mengatakan pemilihan Maya adalah sebagai pelaris semata-mata.

"Ketika diberitahu Maya akan muncul sebagai artis undangan dalam lagu ini, saya sungguh gembira kerana DJ Fuzz juga tidak mahu saya terus bergandingan dengan penyanyi hip-hop dalam semua lagu. Saya tidak mahu menumpang populariti Maya, kami cuma bertukar frekuensi untuk menampilkan kelainan. Kami juga dapat bertukar-tukar peminat dalam masa sama," kata Juzzthin yang tidak kisah dilabel sebagai budak-budak walaupun sudah dewasa. Malah lagu Aku Ada Kelas ditujukan khas untuk pendengar yang masih di bangku sekolah.


Album ini mengandungi 12 trek termasuk Intro, Day 1 (menampilkan Muariffah), Drive (menampilkan AMPG), Isi Puisi (menampilkan Nabil Zamanhuri dan G), Serik Dengan Cinta (menampilkan Maya Karin), Sunset Boulevard, Bonda (menampilkan Alabbas), Off The Hook (menampilkan Mark Adam), Aku Ada Kelas, Make Me Feel, Poster dan Bounce (menampilkan Waris).
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan