Johara Pagi Era Bergelak Sakan Dengan Wartawan


Ewah ewah, bukan main seronok penggiat media tempatan bergelak ketawa bersama penyampai radio Era FM sambil ke udara. Sesuatu yang jarang dilakukan mana-mana stesen radio sebelum ini, radio nombor satu negara ini mengambil inisiatif meraikan rakan wartawan sama ada media cetak dan elektronik dalam satu acara bertemoat di Teh Tarik Place, pusat membeli belah Nu Sentral, Kuala Lumpur. Dijayakan dengan tajaan jenama produk makanan dari Timur Tengah, Yusuf Taiyoob, trio Johara yang menggabungkan Johan, Ray dan Haniff bersiaran dari luar studio bersama-sama tetamu sambil bersarapan pagi.

Sempena ulang tahun kelima ke udara bersama-sama, rancangan Johara Pagi Era yang berjaya menarik sebanyak 2.6 juta pendengar setiap minggu itu selalunya mengundang selebriti tempatan untuk menyerikan rancangan mereka. Namun, kali ini wartawan hiburan pula berpeluang bergelak ketawa dengan gelagat Johara yang sememangnya dinantikan setiap pendengar setia stesen itu bermula jam 6 hingga 10 pagi.

Penyanyi Hanie Soraya turut membuat persembahan akustik

Pengarah Urusan Yusuf Taiyoob Sdn Bhd, Dato’ Seri Yusuf Taiyoob juga kelihatan ceria apabila bersama pihak media yang rata-rata tidak pernah mengenali empunya nama di sebalik jenama berkenaan.  Malah, kesediaan pihak Yusuf Taiyoob memberi cenderahati kepada wartawan juga sangat dihargai.

“Johara Pagi Era adalah segmen popular di kalangan rakyat Malaysia. Sebagai penaja segmen ini, kami berharap agar Pati Buah Delima Yusuf Taiyoob boleh menambat hati dan jiwa pendengar Era FM sama seperti pendengar jatuh cinta kepada pengemudi rancangan sarapan pagi Johara iaitu Johan, Haniff dan Ray. Selain itu, kerjasama yang diberikan pihak Astro Radio turut membuatkan kami ingin melaksanakan sesuatu yang lebih mesra dan santai seperti mengadakan sesi sarapan pada hari ini bersama eman media selaku pihak yang memainkan peranan menyokong kejayaan stesen ini," ujar Dato' Seri Yusuf Taiyoob.

Johara bersama Dato' Seri Yusuf Taiyoob

Sekilas mengenai Johara Pagi Era, segmen ini pernah memenangi Anugerah Program Radio Meletop pada Anugerah Meletop Era untuk dua tahun berturut-turut iaitu 2014 dan 2015, Segmen Radio Paling Digemari Shout Award! tahun 2013, selain anugerah Segmen Radio Paling Popular, Anugerah Lawak Warna 2013 dan 2015. Penyampai Era FM, Johan juga pernah memenangi anugerah Penyampai Radio Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (2013 dan 2014) dan Penyampai Radio Meletop, Anugerah Meletop Era 2015.

Segmen ini juga menampilkan beberapa bahagian yang sering dinantikan pendengar seperti Sketsa Johara, Spontan Era, Teka Lagu Era dan Gosip Mosip Mak Jemah. Bagi Spontan ERA, bahagian ini dibawa khas daripada sebuah program televisyen ke radio. Pendengar boleh bermain tiga permainan bersama Johara - Pantun Dua Kerat, Soal Menyoal dan Ayat Penyata. Manakala, Sketsa Johara pula adalah masa untuk pendengar memberi idea lucu untuk Johara lakonkan semula melalui corong radio.

Johara bergelak ketawa bersama wartawan hiburan

Menurut Pengurus Kanan Kandungan Era FM, Nazri Noran, penghargaan kepada wartawan hiburan diterjemahkan menerusi aktiviti seperti perbualan topik isu dan gosip semasa, khususnya mengenai perkembangan hiburan terkini selain berkongsi pengalaman mereka yang bekerja sebagai wartawan hiburan. Ini bertujuan menaikkan martabat wartawan hiburan negara yang sememangnya menjadi penyumbang kejayaan selebriti tanah air.

“Suasana pagi Johara kali ini begitu meriah apabila diserikan dengan kehadiran wartawan hiburan yang sangat sporting. Jutaan terima kasih kepada pihak media yang sentiasa menyokong segala aktiviti yang dilaksanakan oleh stesen kami. Diharapkan agar aktiviti sebegini dapat merapatkan lagi hubungan silaturahim antara penyampai serta warga kerja Era FM  dan media Malaysia,” kata Nazri.

Nazri Noran (paling kiri) bersama tetamu dan trio Johara

Bercakap mengenai perkembangan Era FM, bagi stesen ini mereka menghadapi cabaran untuk mengekalkan takhta sbegai radio nombor satu negara. Gabungan Johara pula adalah gandingan paling lama bertahan menerusi stesen berkenaan, membuatkan setiap masa mereka sentiasa mencari rencah baru dalam penyampaian mengikut selera pendengar apatah lagi dengan persaingan dengan stesen lain semakin meningkat.

"Salah satu cara kami ialah dengan mengadakan siaran luar seperti hari ini. Kita juga mula meluaskan fokus kepada kepada kumpulan pendengar yang lebih besar. Pandangan orang ramai sering kami titik beratkan selain membawa bersama isu semasa dalam setiap segmen. Sebagai contoh, kami bawakan Dato' Ong Kim Swee iaitu jurulatih bola sepak kebangsaan sempena perubahan nama Harimau Malaya kepada Harimau Malaysia. Kita selalu mahu jadi yang pertama dalam apa hal sekali pun," katanya lagi.

Menyentuh soal gabungan Johara, baginya sebagai pengemudi Era FM dia tidak mahu Johan, Ray dan Haniff menjadi orang yang berbeza sesama sendiri baik semasa di konti mahu pun ketika luar waktu bekerja. Menurutnya, keserasian antara mereka adalah kerana mereka tidak buat-buat ketika ke udara. Sebagaimana hubungan mereka bagaikan keluarga yang selalu bergurau senda atau sikap ketika menghabiskan masa santai bersama-sama di luar, begitulah juga cara mereka ketika bekerja. 

"Saya tak mahu mengubah mereka menjadi orang lain supaya pendengar lebih merasai ketulusan mereka ketika bergurau senda atau berinteraksi sesama sendiri. Memang benar kami fokus pada Johara kerana mereka orang penting yang boleh meredakan pendengar yang mungkin dalam keadaan tertekan sewaktu hendak ke tempat kerja atau kolej. Menggembirakan pendengar adalah satu tugas utama supaya Era FM terus relevan untuk semua golongan khususnya orang muda," kata Nazri yang tidak menolak untuk menganjurkan siaran luar yang lebih mencabar pada masa mendatang.

Johan dan isteri, Ozlynn Wati bersama pendengar yang tidak melepaskan peluang bergambar


Bagi pendengar yang ingin mendengar celoteh Johara Pagi Era, dengarkan mereka menerusi frekuensi 103.3 di Lembah Klang dan ikuti segala aktiviti Johara menerusi laman sosial Era FM iaitu Twitter, Facebook dan Instagram.
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan