Hyper Act Selesa Dengan Kecik


Ewah ewah, diam tak diam nampaknya kumpulan ini mendapat semangat baru untuk meneruskan perjuangan mereka dalam dunia seni muzik tanah air. Selepas berpisah dengan vokalis lama Ronnie Hussein yang kini bergerak solo, nampaknya kumpulan Hyper Act menemui pengganti barisan pertama mereka Selepas mengadakan uji bakat menerusi laman sosial Instagram dalam program Pencarian Vokalis Hyper Act. Malah, vokalis baru berkenaan berjaya mengenepikan 1260 peserta lain yang turut bersaing.

Mohamad Fauzi Kamarudin, 22 atau lebih dikenali sebagai Kecik kini bergelar vokalis kumpulan yang pernah popular dengan lagu Hanya Aku dan Harapan itu. Lebih manis, kini Hyper Act muncul dalam lagu terbaru berjudul Takkan Pergi dan mendapat sambutan menerusi laman YouTube lebih sejuta tontonan sejak dimuat naik 16 Oktober 2015. Kejayaan mereka ternyata perkembangan ini memberi semangat baru kepada kumpulan yang dianggotai Toi Nizam sebagai pemain bes dan vokalis gantian,  Beby (gitar utama), Etan (gitar kedua), Akir (keyboard) dan Labib (dram).

Klip video Takkan Pergi mendapat sambutan hangat

Menurut Toi, pemilihan yang dilakukan bukanlah mudah memandangkan kebanyakan peserta mempunyai keunikan tersendiri, apatah lagi lima peserta teratas juga mempunyai kelebihan masing masing termasuk dari segi penyampaian vokal dan pakej penampilan. Bagaimana pun, Kecik dilihat mempunyai merit tertinggi dan mereka bersetuju memilih anak kelahiran Jitra, Kedah itu sebagai vokalis baru.

"Kami turut meneliti laman sosial semua peserta peringkat akhir sebelum buat pilihan kerana kami mahukan yang terbaik. Apa yang dimiliki Kecik bertepatan dengan kehendak kami kerana dia mempunyai tona suara halus, sesuai dengan imej muzik yang Hyper Act bawakan. Dia juga mampu membawa emosi dalam penyampaian, lebih baik daripada peserta lain," kata Toi lagi.

Hyper Act terus positif

Selepas membuat keputusan menerima Kecik, anggota Hyper Act sendiri sudah menentukan konsep lagu yang sesuai dengan suara vokalis baru itu. Memandangkan usia Kecik yang masih muda, banyak perkara yang masih boleh dilentur terutamanya soal penyampaian, imej dan pembawaan diri dalam dunia seni. Malah, Rusa Music selaku syarikat rakaman yang dinaungi juga tidak mempunyai masalah untuk membantu Kecik dalam urusan kerjaya seninya.

Bagaimana pun, apabila bertukar vokalis pastinya peminat mula membandingkan Kecik dengan vokalis lama. Namun, kegusaran peminat Hyper Act terhenti setelah munculnya lagu terbaru Takkan Pergi nyanyian Kecik. Malah, ramai yang berpuas hati dan memuji persembahan Kecik dalam lagu berkenaan sehingga anggota kumpulan itu sendiri terkejut dengan sambutan luar jangkaan daripada peminat. Malah, lagu berkenaan mendapat sambutan kerana menjadi lagu tema drama bersiri Cinta Si Wedding Planner.

Kecik (tiga dari kiri) yakin diterima peminat

"Sebenarnya saya dan vokalis lama ada kelainan yang mana saya ada kelebihan tersendiri. Alhamdulillah peminat pun boleh terima berbanding sebelum lagu Takkan Pergi muncul di pasaran. Memang ada yang cuba membandingkan kami sebelum lagu itu diperdengarkan tetapi ada juga yang tak perasan Hyper Act sudah tukar vokalis. Akhirnya kami juga pelik kerana orang tidak lagi membuat perbandingan. Mungkin juga kerana imej muzik kami masih dikekalkan dari lagu terhadulu sehingga sekarang," kata Kecik yang pernah menghadiri uji bakat Bintang Mencari Bintang anjuran TV3 namun tidak berjaya satu ketika dulu.
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan