Fareez Adnan Tolak Pihak Mahu Ambil Kesempatan


Ewah ewah, macam-macam cerita yang dikongsi anak muda ini. Siapa sangka, macam-macam cabaran diterimanya dalam meneruskan langkah dalam dunia seni tanah air. Bagaimana pun, ternyata jejaka berusia 21 tahun tidak cepat mengalah malah usahanya untuk terus berdiri sebagai penyanyi menampakkan sinar apabila dipelawa menyertai sebuah syarikat pengurusan muzik yang dimiliki selebriti terkenal. Muhammad Fareezuan Adnan atau kini dikenali sebagai Fareez Adnan kini bernaung bawah Suka Sucre Creative milik Dato' Dr Fazley Yaakob.

"Saya bersyukur kerana peluang saya untuk pergi lebih jauh dalam bidang nyanyian kini terbuka luas selepas Dato' Dr Fazley memberi peluang kepada saya untuk menjadi artis bawah naungannya. Buat masa ini saya masih lagi dalam proses rakaman lagu baru yang dicipta bersama Dato' Dr Fazley dan Imran Ajmain. Tetapi apa yang saya peroleh kini bukanlah perkara mudah. Saya juga melalui tapisan ketat kerana pihak pengurusan terlebih dulu menjejak laman sosial saya seperti Twitter dan Instagram untuk melihat sendiri siapa diri saya yang sebenar," cerita Fareez.


Dia yang kini melanjutkan pelajar ke Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dalam jurusan Diploma Kejuruteraan ini mengakui tahap pelajaran juga salah satu kriteria yang ditetapkan untuk menjadi artis naungan syarikat itu, menyebabkan dia perlu mencontohi Dato' Dr Fazley dalam soal akademik. Malah, usai Akademi Fantasia 2014 (AF2014) yang disertainya dulu dia juga berusaha keras untuk memastikan dirinya tidak ketinggalan dalam soal pelajaran.

"Ketika mula-mula tersingkir semasa AF2014, saya dilepaskan pihak Astro untuk bergerak sendiri dalam dunia seni. Jujur saya katakan yang saya ketika itu hidup terkontang-kanting sehingga terpaksa menyanyi pada majlis perkahwinan dan undangan persembahan berskala kecil. Tetapi saya tidak kisah asalkan saya dapat menyara diri saya sendiri sehinggalah saya ditawarkan peluang berlakon dalam beberapa telefilem dan drama," katanya.

Antara drama dan telefilem lakonannya termasuk Husin Peninglah, Adam Dan Hawa Bertemu Salleh, Ketupat Jantung Hati dan Pelita Panjut Untuk Mertua sebagai pelakon tambahan dan pembantu. Malah, dia juga berkesempatan muncul dalam iklan komersial seperti jenama Watson, KFC dan Cadbury bersama Dato' Siti Nurhaliza. Bagaimana pun, anak bongsu daripada dua beradik ini tidak terlepas daripada menjadi mangsa penipuan.

"Tahun 2015 memang tahun yang sangat mencabar untuk saya apabila ditipu satu pihak yang menjanjikan rakaman lagu. Tiga bulan saya luangkan masa, kononnya dia ingin menerbitkan lagu tanpa apa-apa bayaran. Akhirnya, saya terpaksa keluar belanja untuk menampung kos seperti yang dimaklumkan. Tiba-tiba, lagu yang diberikan tidak menepati citarasa saya dan saya terpaksa menarik diri walaupun sudah mengeluarkan belanja. Malah, dia juga tidak memberi ruang kepada saya untuk beri pendapat berkenaan bentuk lagu yang saya mahukan," ujarnya lagi.


Selain itu, ketika aktif dalam bidang lakonan dia juga hampir terjerat dengan pihak yang ingin mengambil kesempatan terhadap dirinya. Ditawarkan tempat dalam beberapa produksi terbitan syarikat pihak berkenaan, Fareez bagaimana pun terpaksa menolak setelah di sebalik tawaran itu rupa-rupanya ada niat yang tidak baik. Tidak mahu terbabit dalam perkara negatif, Fareez akhirnya mengundur diri secara baik dan terpaksa melupakan hasratnya untuk pergi jauh dalam dunia lakonan.

"Saya mudah mesra dengan sesiapa saja, tetapi itu tidak bermakna pihak berkenaan boleh ambil kesempatan terhadap diri saya. Saya ikhlas mencari rezeki halal untuk menampung hidup. Saya bukan anak orang senang, malah saya mesti sara hidup sendiri memandangkan ibu bapa saya tidak lagi bekerja. Mujurlah saya tidak mudah terbuai dengan pujuk rayu sesiapa saja," jelas anak kelahiran Kuala Lumpur ini lagi.

Berdarah campuran Thai-Melayu, dia tidak segan mengakui pernah berasa tinggi diri selepas bergelar bintang AF2014. Namun dia cepat tersedar daripada kelalaiannya itu, malah berusaha berubah menjadi lebih matang setelah ada pihak yang menganggapnya seorang yang sombong dan susah didekati. Pengalaman itu membuatkan dia malu sendiri dan ujian yang diterimanya membuatkan dia mula realistik dalam perjalanan hidupnya.

"Ada antara kami juga yang mula bersaing secara tidak sihat sedangkan pada awalnya masing-masing berjanji tidak akan berpecah. Saya juga pernah terkena kejutan budaya apabila mula dikenali orang. Jadi, saya ambil langkah untuk berubah menjadi seorang yang lebih fokus dan tidak mahu dicop sebagai seorang yang mudah lupa diri. Saya juga mula mengambil berat soal penampilan dan berusaha menguruskan badan untuk tampil lebih sempurna," katanya yang juga boleh menyanyi lagu Thai dan Melayu asli.
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan