De Fam Tak Mahu Jual Rupa


Ewah ewah, siapa sangka nama tiga gadis ini acap kali meniti di ingatan pendengar muzik Malaysia masa kini selepas muncul dengan lagu pertama mereka Supergirls. Sering lagu berkenaan dimainkan menerusi corong radio tempatan, sebenarnya mereka yang dikenali sebagai De Fam bukanlah asing di kalangan penonton laman video YouTube. Muncul dengan lagu saduran Black Widow sedikit masa lalu, Sophia Liana atau Fya, Azira Shafinaz (Azira) dan Cik Manggis (Manggis) boleh berbangga dengan pencapaian mereka setelah tercalon dalam kategori Artis Duo/Berkumpulan Meletop dalam Anugerah Meletop Era 2016. 

Setelah itu, kali ini mereka muncul pula dengan lagu kedua mereka With You yang menggabungkan mereka dengan Brandon Beal. Kerjasama antara Tune Studios yang juga label naungan mereka dengan Universal Music Malaysia ini ternyata membawa mereka ke satu peringkat lebih tinggi. Namun, pastinya ada yang berbisik-bisik mengenai kemampuan sebenar mereka dalam dunia nyanyian. Apa pun, mereka menganggapnya sebagai satu cabaran yang mesti ditempuh apatah lagi mereka masih mentah dalam dunia seni.

De Fam menampilkan Brandon Beal dalam With You

"Memang banyak cabaran yang kami hadapi, apatah lagi kami bermula sebagai penari yang sering kali mengiringi persembahan artis popular. Oleh yang demikian, peminat ingin melihat kami menyanyi sambil menari dan itu bukan satu perkara yang mudah," ujar mereka ketika ditemui.

Tidak malu mengakui masih mempunyai kelemahan dari segi vokal, mereka menganggap cabaran itu suatu perkara yang positif kerana itu bermakna mereka perlu berusaha keras untuk terus diterima pendengar. Malah, lagu mereka yang kebanyakannya menuntut mereka menyanyi dalam nada tinggi memerlukan tahap kecergasan maksimum serta perlu menjalani latihan intensif setiap kali sebelum mengadakan persembahan. Ini kerana mereka tidak mahu dilabel sebagai penyanyi yang hanya mempertaruhkan rupa semata-mata.

De Fam tercalon dalam Anugerah Meletop Era 2016

"Selepas kami muncul dengan lagu saduran Black Widow, kami dilamar Tune Studios melalui Adib Khalid. Jadi kami sedar yang kami mempertaruhkan bakat dan bukan rupa. Kami akui kami bukanlah yang terbaik tetapi akan terus cuba buat sebaik mungkin asalkan pendengar gembira melihat persembahan kami," ujar mereka lagi.

Apa pun, diharapkan kemunculan De Fam di persada seni suara tanah air dapat menambah warna gemilang industri hiburan.
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan