Dato' Fazley Baca Sendiri Doa Pada Pengebumian Bapa


Ewah ewah, siapa sangka di sebalik individu bernama Dato' Ahmad Fazley Yaakob yang sering dilihat sebagai seorang penyanyi, pelakon dan kini bergelar chef selebriti, tersemat sifat kepimpinan yang sungguh luar biasa. Bertindak sebagai ketua keluarga pada saat-saat getir kehilangan bapa tercinta, terserlah keperibadiannya yang sungguh tinggi. Apatah lagi, dia langsung tidak kekok membacakan doa ketika upacara bacaan talkin selepas bapanya, Datuk Haji Yaakob Haji Mohammad, 66, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada jam 10.30 pagi. Malah sebelum itu, dia bersama adiknya Ahmad Faizal Yaakob, 31, turut memandikan, mengafankan dan mengebumikan bapa mereka seperti orang lain. Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar untuk dimandikan dan dikafankan sebelum disembahyangkan di masjid sama jam 9 pagi.

Dato' Fazley membuat ucapan sesudah solat jenazah selesai

Jenazah diusung keluar dari masjid

Bapa mereka yang pernah menjawat Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Dagangan Dunia Putra selama sepuluh tahun sejak 1985 sebelum bertugas sebagai Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan serta Pegawai Tadbir Diplomatik menghebuskan nafas terakhir jam 2 pagi ini di Hospital Pakar KPJ Damansara, Petaling Jaya, setelah hampir tiga minggu melakukan pemeriksaan kesihatan di pusat perubatan itu. Allahyarham yang berasal dari Alor Merah, Kedah difahamkan menghidap masalah serius pada paru-paru selama dua bulan sebelum keadaannya semakin kritikal malam semalam. 

Dato' Fazley ditemani adiknya, Faizal ditemubual media

Menurut Fazley, sebelum ini keadaan bapanya stabil walaupun pernah diserang masalah paru-paru berkenaan setahun lalu. Baru-baru ini, Allahyarham bapanya dimasukkan ke hospital selama dua hari sebelum dibenarkan pulang. Bagaimana pun, tanpa disedari bapanya mungkin menghadapi kesakitan tetapi Allahyarham enggan berkongsi dengan anak-anaknya.

"Malam tadi selepas solat Isyak, keadaan bapa saya masih stabil. Tiba-tiba pada jam 11 malam pihak hospital menghubungi kami dan meminta kami datang ke hospital kerana tekanan darah, degupan jantung dan kandungan oksigen dalam darah menurun secara tiba-tiba. Kami sekeluarga ke hospital untuk melawatnya sepeeti biasa dan tidak menjangkakan sebarang petanda buruk. Sejak jam 11 malam sehinggalah pada tepat jam 2.02 pagi kami bacakan surah Yasin dan Manzil, namun akhirnya bapa saya pergi buat selamanya. 

Dato' Fazley dan Faizal mengebumikan jenazah bapa ke liang lahad

Kasih sayang anak kepada ibu yang kesedihan

Balu Allahyarham menyiram air di pusara

"Saya sebenarnya tak ralat kerana kami puas dapat menjaga bapa walaupun masa begitu singkat sebelum dia pergi. Walaupun apabila kami sampai di hospital bapa tidak boleh bercakap lagi, tetapi sehari sebelum itu dia sering bertanya setiap daripada kami apabila salah seorang datang menjenguk," ceritanya lagi yang reda dengan pemergian bapanya.

Menganggap bapanya sebagai hero dalam keluarga dan pemimpin kepada ramai petugas yang bekerja bawah pengurusannya dahulu, Fazley sempat bercerita saat-saat akhir pemergian bapanya dia sempat menerima amanat penting. Antaranya, sebagai anak sulung dia dipesan agar mengambil alih tanggungjawab untuk menjaga ibu, adik beradik dan anak-anak. Diselangi dengan sebak, Fazley turut berkongsi yang bapanya sentiasa menganggap ibunya, Datin Umi Kalsom Abdol Latib, 64, sebagai bidadari hidupnya. 


Video: Dato' Fazley membacakan doa

"Bapa suruh saya jaga ibu yang juga permaisuri hidupnya. Ibu bapa saya baru saja menimang cucu ketujuh. Saya sebenarnya masih terkejut kerana selama ini bapa tidak pernah sakit waima masalah jantung atau tekanan darah tinggi. Mungkin pada umurnya sekarang bapa tidak boleh bertahan setelah kedua-dua belah paru-parunya diserang komplikasi. Apa pun saya minta semua yang mengenali bapa untuk terus mendoakan kesejahteraan roh bapa saya dan ampunkanlah dosanya," kata Fazley.

Penyanyi Imran Ajmain turut memberi penghormatan terakhir

Selain daripada keluarga Dato' Fazley, antara yang hadir memberikan penghormatan terakhir adalah penyanyi Imran Ajmain yang juga anak angkat Allahyarham yang bekerjasama dengan Fazley sebagai pengarah kreatif di Suka Sucre Creatives, syarikat milik penuh keluarga mereka.

Dato' Fazley bersama isteri dan anak menyiram pusara bapa

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan empat anak termasuk Dato' Fazley dan Faizal, selain Farahdilla, 34 dan Farahnadia, 18, dan tujuh cucu. Fazley sendiri mempunyai seorang isteri, Datin Azrene Soraya Abdul Aziz, 37 dan tiga anak.

Al-fatihah dan salam takziah daripada ewahewah.com
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan