Dato' AC Mizal Lancar Karnival, Aplikasi Permainan Dan Haruman


Ewah ewah, siapa sangka pengacara, pelakon dan penyanyi popular ini boleh berbangga dengan status ahli perniagaan berjaya hari ini. Bermula dengan dunia seni suara menerusi kumpulan rap 4U2C yang popular dengan lagu Fiona, insan hebat ini tidak duduk diam untuk terus relevan dalam bidang seni. Popular dengan watak Inspektor Mazlan menerusi drama dan filem Gerak Khas, Dato' AC Mizal kini lebih popular bergelar pengacara. Malah keupayaannya sebagai hos Akademi Fantasia dan Maharaja Lawak sememangnya tidak boleh disangkal. Dalam masa sama, suami kepada Datin Emylia Rosnaida ini bukan calang-calang ahli perniagaan. Khabarnya, perniagaan miliknya bernilai jutaan ringgit termasuk memiliki beberapa hotel di luar negara!

Namun, sifatnya yang tidak mudah lupa daratan sangat dipuji, apatah lagi usahanya dalam membantu perkembangan industri seni tempatan dan usahawan tanah air benar-benar menunjukkan nilai peribadinya. Walaupun kadangkala sering dihambat kontroversi, namun pemilik stesen penyiaran atas talian Peaceyall.fm tetap teguh sebagai artis pertama memiliki stesen penyiaran sendiri di Asia. Kini, lelaki ini juga tekad mengangkat media atas talian ke aras lebih tinggi dengan memberi sokongan sepenuhnya terhadap media baru ini.


Bertempat di Hotel Pullman by Lakeside Putrajaya, pelancaran Karnival Peaceyall dan permainan aplikasi telefon pintar DAC Peaceyall diadakan. Karnival Peaceyall adalah sebuah karnival yang dianjurkan dengan kerjasama OMGFest Ventures bertujuan mempromosi dan meraikan pendengar Peaceyall.fm, radio atas talian yang berkonsepkan interaktif bermula 2 April 2016 di Dataran Ayer Keroh, Melaka. Malah, pada acara ini juga stesen ini juga dijadualkan mengadakan uji bakat mencari VJ Peaceyall.fm selain dipertontonkan secara langsung ke seluruh dunia. Malah, mereka juga bakal melakukan promosi berterusan di Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Johor dan berakhir di Kuala Lumpur. Promosi haruman terkini keluaran mereka, DAC dan DER turut dilakukan.

"Tujuan kami mengadakan karnival ini ialah untuk membantu peniaga tempatan mempromosi produk mereka, selain mendapat kerjasama daripada Peaceyall.fm dari segi promosi atas talian kerana dipancarkan secara langsung sepanjang dua hari acara berlangsung," kata Dato' AC selaku Presiden Peaceyall.fm.


Selain pelancaran karnival berkenaan, aplikasi permainan telefon pintar turut dilancarkan bagi memudahkan peminat berinteraksi dengan selebriti itu yang dinamakan DAC Peaceyall. Dicipta sebagai sebuah permainan alternatif peminat permainan video, permainan berasaskan karakter Dato' AC Mizal sendiri itu bukan saja menghiburkan, malah pengguna boleh membuat pesanan pembelian haruman DAC dan DER menerusi aplikasi itu.

Kedua-dua haruman dijual dengan harga RM39.90 sahaja.
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan