Bagaimana Tundukkan 'Playboy'?


Ewah ewah, nampaknya sebuah lagi drama bersiri kini menjadi igauan ramai setiap Isnin hingga Khamis bermula jam 6.58 petang. Apa tidaknya, pasti ramai yang tertarik dengan 'playboy' kacak yang menjadi watak utama dalam Tundukkan Playboy Itu, drama yang diadaptasi daripada novel nukilan Anjell. Mula ditayangkan bermula 17 Februari lalu, kisah ini tampil sebanyak 30 episod dan diarahkan oleh Khairul Amri Haji Khalid atau Keoi, membawa penonton menjejaki kisah jejaka kasanova yang cuba memahami erti cinta selain mengangkat tema kekeluargaan. Teraju utama drama ini ialah Hafidz Roshdi dan Uqasha Senrose.


Tundukkan Playboy Itu mengisahkan Harraz Naufal (Hafidz Roshdi), seorang jejaka kaya yang suka bermain cinta dan membuang masa dengan hiburan. Perangainya pula sukar difahami sama ada sebagai seorang majikan mahu pun sebagai anak. Ada kalanya dia manja tetapi panas baran. Sikapnya berubah-ubah dan sukar difahami. Bagaimanapun, dia seorang yang bertanggungjawab apabila menerajui syarikat selaku Ketua Pegawai Eksekutif Harraz Holding. Dia sentiasa tepat pada masa dan berusaha menjayakan syarikatnya. Tan Sri Mukhriz (Ridzuan Hashim) dan Puan Sri Rosell (Maria Farida) sebagai ibu bapa Harraz yakin bahawa sudah tiba masanya untuk seseorang yang istimewa hadir dalam hidup Harraz bagi menundukkan sikap 'playboy' anak lelakinya itu.

Tan Sri Mukhriz bertemu Suffian (Mahmud Ali Bashah) rakan lamanya sekali gus bertemu Nurin Arissa (Uqasha Senrose), anak Suffian yang dirasakannya mempunyai sesuatu yang istimewa. Nurin yang baru tamat pengajian sarjana dalam bidang arkitek ditawarkan bekerja di syarikat Harraz. Nurin yang memang menunggu peluang kerja bersedia untuk ditemuduga Harraz namun kecewa apabila Harraz meletakkan syarat untuk dia membuka tudung sebelum diterima bekerja atas alasan syarikatnya bertaraf antarabangsa. Nurin tetap dengan pendiriannya dan walau berat hati dia menolak syarat Harraz.


Tan Sri Mukhriz yang cuba membela Nurin memaksa Harraz menerima Nurin sebagai arkitek baru di syarikat mereka. Harraz terpaksa akur dan dalam masa sama berasa marah terhadap ayahnya dan semakin membenci Nurin. Ada saja cubaan Harraz untuk menyusahkan Nurin di tempat kerja. Berbeza pula Farhan (Alif Satar), sepupu Harraz. Dia bagaikan jatuh cinta pandang pertama apabila melihat Nurin. Hanya Farhan sahaja yang membantu Nurin dalam pekerjaannya sambil merahsiakan hubungan persaudaraannya bersama Harraz.

Semakin lama Nurin berkhidmat di syarikat itu, Harraz mula menyedari bahawa Nurin sememangnya pekerja yang cekap dan berkebolehan. Hati Harraz mula berubah namun dia tidak faham akan apa yang dialaminya kerana gadis bertudung sememangnya bukan cita rasa Harraz.


Pada suatu hari, Nurin terpaksa membantu rakannya, Nashrain Lee (Ben Asri) seorang pereka fesyen yang kekurangan seorang model. Nurin memakai persalinan muslimah beserta niqab yang menutup sebahagian wajahnya. Majlis pertunjukkan fesyen itu turut dihadiri Harraz. Bagaikan magis, seiring Nurin melangkah ke pentas peragaan, Harraz terpaut dengan panahan mata Nurin tanpa menyedari bahawa itu sememangnya Nurin. Sejak dari itu, Harraz berusaha mengenali dan menjejaki model berkenaan. Dalam waktu sama hubungan Nurin dan Harraz semakin akrab dan berita itu tidak disenangi Elfira (Mawar Rashid) yang memburu cinta Harraz.


Mampukah Nurin menundukkan sikap 'playboy' Harraz? Adakah Harraz bakal memahami erti sebenar cinta? Dan apakah yang bakal Elfira lakukan bagi memusnahkan kerjaya Nurin? Tonton drama bersiri ‘Tundukkan Playboy Itu’ di slot Akasia setiap Isnin hingga Khamis jam 6.58 petang eksklusif di TV3.
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan