Anda Peminat Search? Buktikan!


Ewah ewah, meriah sungguh majlis pelancaran Konsert Search 35 Tahun baru-baru ini yang diadakan di Kompleks Redland Terminal Centre and Hangar, Subang. Selain daripada disambut dengan laluan ala landasan kapal terbang, tetamu juga disajikan dengan makanan dan minuman dikelilingi pesawat pelbagai rupa termasuk sebuah pesawat ringan yang dihias khas dengan nama Search. Afjets Sdn Bhd selaku penganjur benar-benar meraikan kumpulan rock legenda itu seperti mana yang sepatutnya dilakukan ramai khususnya peminat setia mereka. Namun, sejauh mana kita sebagai masyarakat yang rata-rata dibesarkan dengan karya mereka sejak diperkenalkan pada 1981 itu?

Pesawat dengan stiker Search

Saya sebagai salah seorang daripada peminat muzik memang tidak lari daripada mendengar lagu Search, khususnya Isabella yang menjadi siulan ramai pada 1989. Masih teringat saat di bangku sekolah rendah, rakan sekolah mendendangkan lagu itu tanpa mengira masa, sama seperti saya sendiri. Pendek kata, tidak ada yang tidak kenal dengan Search. Walaupun anggota kumpulan ini bertukar ganti sepanjang tempoh 35 tahun, Suhaimi Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Amy tetap menjadi orang paling depan yang diingati kerana cukup sinonim dengan Search. Begitu juga dengan Yazid, Kid, Nasir dan Noordin, juga bekas anggota seperti Zainal Rampa, Hillary Ang, Amran, Moq, Sham, Lola dan Man Kidal, semuanya ada keistimewaan masing-masing. Bersatu, berpecah dan bersatu semula, bukanlah sesuatu yang perlu dipandang berat, sebaliknya jenama Search itu sendiri patut diberi penekanan semua.

Anak Amy, pelakon Nabila Huda hadir pada acara yang dihos Zainal Alam Kadir

Bapa Akim Ahmad, Ahmad Suleiman yang juga rakan sekelas Amy turut hadir 

Sebelum ini, Search pernah mengadakan konsert pada ulang tahun ke-30 mereka yang diadakan di beberapa tempat bagi meraikan peminat. Namun, konsert meraikan ulang tahun ke-35 ini dilihat sebagai satu acara yang perlu mendapat sokongan ramai. 35 tahun bukanlah satu masa singkat, malah untuk mempertahankan jenamanya lebih tiga dekad bukanlah perkara mudah tanpa sokongan ramai. Ini bagaikan satu titik tolak bagi mendapatkan jawapan sama ada kumpulan ini kekal relevan atau bakal berkubur sekali lagi di persada dunia seni. Bukan memberi tekanan, tetapi siapalah mereka tanpa sokongan kita semua? Adakah kita tidak malu untuk mengaku peminat Search tetapi sekadar mahu menonton persembahan mereka secara percuma tanpa membeli tiket sebagai tanda kasih terhadap kumpulan ini?

Upacara memotong kek sempena Search ke-35 tahun

Saya terkesan juga dengan kata-kata Yazid pada malam berkenaan, yang meluah rasa mengenai pengorbanan mereka sebagai anak seni selama ini. Katanya, berjuta-juta ringgit dikeluarkan untuk mengekalkan Search dalam industri muzik, apatah lagi keringat mereka dan dugaan yang ditempuh selama ini. Jujur, bukan mudah sebenarnya untuk kekal diingati. Malah, tanpa hidangan baru buat peminat, tidak akan ada anak seni yang terus kekal diterima khalayak. Bayangkan, Yazid yang terlalu lama menghadapi masalah kesihatan, tetap bersemangat demi konsert ini. Inilah anak seni, tidak berhenti berjuang walaupun melalui seribu kepayahan.

Media turut diraikan pada acara berkenaan

Pihak Afjets Sdn Bhd dengan bangganya membawakan kegemilangan Search pada 9 April 2016 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur di mana lagu popular mereka bakal berkumandang. Malah,  Ketua Pegawai Eksekutif Afjets Sdn Bhd, Amrul Nizar Anuar menjanjikan penampilan sesuatu di luar jangkaan untuk peminat kumpulan legenda ini yang sentiasa menyokong. Berlainan daripada konsert sebelum ini, beberapa aktiviti berbentuk imbauan semula bersama peminat Search juga dirancang selain hadiah menarik bagi tujuan promosi. Bukan hanya sekadar menggamit kenangan, konsert ini bakal menjadi tanda aras tersendiri.

Antara penyanyi muda yang memberi sokongan

Kemunculan anak muda seperti Bunkface, Hazama, Akim & The Majistret serta Pitahati pada malam pelancaran dengan persembahan lagu popular Search juga dilihat sebagai satu kesinambungan generasi penggiat muzik. Siapa tidak bangga melihat genearsi baru benar-benar mencintai lagu lama yang mekar sehingga kini? Satu masa nanti, mereka juga bakal melalui apa yang pernah dirasa Search sepanjang 35 tahun jika mereka kental dalam melayari badai industri muzik tempatan yang ada pasang surut. Apa yang penting, kita semua mesti memberi sokongan supaya irama tempatan kekal bertakhta di persada hati masyarakat. Buktikanlah anda peminat Search sebenar!

Penulis berpengalaman menulis di beberapa majalah termasuk majalah URS dan iRemaja sebelum bertugas sebagai Penulis Kanan di Majalah Aksi Akademi Fantasia, sebelum menyertai Selebriti Metro Ahad sebagai penulis sambilan. Penulis juga berpengalaman menjadi penulis skrip untuk beberapa program televisyen termasuk One In A Million dan Katanya.. Akademi Fantasia serta bertugas di belakang tabir untuk beberapa program televisyen, selain pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Rumpun Records - Universal Music Malaysia. Kini penulis bertindak sebagai Ketua Editor di ewahewahdotcom.
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan