Akira Intai Peluang


Ewah ewah, pasti ramai yang tertanya-tanya siapakah pemilik tubuh sasa yang menyertai rancangan Seiras Seirama baru-baru ini dan berjuang atas ikon Hafiz Suip. Walaupun tidak berjaya memenanginya, anak muda berusia 24 tahun ini sebenarnya bukanlah baru dalam arena seni suara. Pernah bernaung bawah syarikat rakaman KRU Music, anak kelahiran Perak ini sebelum ini popular dengan lagu My Crush dan Hey Kamu bersama rakan duonya dalam kumpulan Hashtag, Hez Hazmi. Kini, Akira Shukri atau nama sebenarnya Ahmad Shukri Zakaria optimis meneruskan perjuangan dalam bidang seni suara. Tetapi, mengapa agaknya lepasan Diploma Filem dan Teater, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam ini memilih Seiras Seirama sebagai tapak meneruskan langkahnya?

"Sebenarnya, saya mencari peluang untuk terus dikenali sebagai penyanyi selepas Hashtag kurang mendapat sambutan walaupun pernah muncul dengan dua lagu. Mungkin saya kurang sesuai tampil secara duo dan ingin dikenali sebagai penyanyi solo pula. Rakan duo saya yang juga kawan baik saya sejak kecil, Hez Hazmi kini mendapat peluang bernaung bawah Octave Records bersama DJ Fuzz. Walaupun menerusi laman YouTube lagu kami mendapat sambutan sehingga 500 ribu pelayar, sudah sampai masanya kami membawa haluan sendiri," kata Akira.

  

Tambahnya lagi, sebelum ini ketika menghadiri uji bakat beberapa program realiti televisyen, dia sering kali dikatakan mempunyai suara seakan-akan Hafiz Suip dan terbukti dia diterima Hafiz bagi mewakili ikon penyanyi itu. Dia sendiri tidak menyangka juara Akademi Fantasia musim ketujuh itu memilihnya lalu bersaing pada peringkat akhir Seiras Seirama yang dihos Dato' Aznil Nawawi. Walaupun tewas, dia berpuas hati dengan pencapaiannya setakat ini.

"Seiras Seirama adalah tapak untuk saya bergerak kembali. Setakat ini saya belum ada perancangan untuk langkah seterusnya, tetapi jika ada pihak yang percayakan bakat saya, saya betul-betul ingin merakamkan lagu secara solo. Jika bersama Hashtag saya berjuang menerusi genre Pop Catchy, saya ingin meneruskan minat saya dalam lagu berentak Pop Balada yang menguji kuasa vokal," ujar anak kedua daripada lima beradik ini. 

Klip video hey Kamu oleh Hashtag

Bermula sebagai penyanyi yang memuat naik video nyanyian menerusi laman sesawang YouTube, ramai yang tidak menyangka jejaka ini adalah Akira yang dikenali memandangkan tubuhnya semakin sasa berbanding ketika bersama Hashtag. Malah, wajahnya juga kelihatan berbeza lantaran senaman yang dilakukannya secara intensif.

"Saya sebenarnya aktif dalam dunia bina badan sebelum tampil bersama Hashtag lagi tetapi tidaklah sebesar sekarang. Saya memang cukup aktif bersenam di gimnasium dan lama-kelamaan tubuh saya seperti yang semua lihat hari ini. Apa pun, saya selesa dan cuba mendapatkan bentuk tubuh ideal seperti yang dimahukan," kata Akira lagi.
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan