Syahz Tak Mahu Toleh Ke Belakang


Ewah ewah, semakin hari semakin ramai penyanyi berbakat ada di negara kita. Tetapi, dalam masa sama ada yang tidak mendapat peluang untuk maju ke hadapan. Tidak tahu di mana silapnya, mungkin soal rezeki yang mungkin berbeza nasibnya. Begitu juga dengan penyanyi lelaki yang EE temui sewaktu rakaman program hiburan di RTM ini. Dikenali sebagai Syahz Mohamad atau nama sebenarnya Mohamad Syahrul Mohamad, nampaknya lebih pihak perlu membantu penyanyi ini memandangkan dia bukan sahaja bagus menyanyi, tetapi juga juara dalam pertandingan Juara Pujaan yang dianjurkan RTM sendiri.

Bagaimana pun, hal ini bukanlah sesuatu yang membuatkan lelaki berusia 28 tahun ini menyerah kalah, sebaliknya terus berjuang menempatkan diri sebaris dengan penyanyi sedia ada walaupun sudah sembilan tahun bergiat aktif dalam dunia nyanyian. Pernah muncul dengan lagu Krisis ciptaan Abele dan lirik ditulisnya sendiri, Syahz tetap optimis dalam usahanya.


Krisis lagu yang pernah dirakamkan Syahz bersama Abele

"Saya tak pernah putus asa walaupun kurang mendapat peluang untuk pergi lebih jauh. Memang ramai yang nampak bakat saya dalam dunia nyanyian, tetapi saya sendiri tak tahu di mana silapnya. Mungkin saya perlu terus berusaha dan tidak mempedulikan dugaan dalam dunia nyanyian ini," katanya yang pernah bernaung bawah sebuah syarikat rakaman milik seorang komposer terkenal sedikit masa dulu serta pernah menyertai Vokal Bukan Sekadar Rupa musim kedua.

Katanya, selepas memenangi Juara Pujaan, hanya RTM sering memberi peluang kepadanya untuk membuat persembahan. Antaranya acara Rock Orkestra, Konsert Alumni Bintang dan Dendang Rakyat. Malah, pihak RTM juga sedang merancang untuk menerbitkan sebuah lagu pimpinan maestro berpengalaman, Datuk Mokhzani. Bagaimana pun, projek ini bergantung kepada kelulusan daripada pihak kewangan RTM.


"Saya memang teringin untuk muncul di stesen lain, tetapi mungkin selepas lagu saya diterima ramai. Sebelum ini saya pernah cuba merakamkan sebuah lagu tetapi menurut beberapa pihak, lagu yang berentak Pop Funky itu bukanlah bentuk lagu yang diterima pendengar radio masa kini," ujar Syahz yang mengidolakan Dato' Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir yang sering meninggalkan kesan kepada pendengar dalam setiap persembahan.

Berasal dari Shah Alam, Selangor, Syahz juga terus menulis lagu. Antara lagu yang dihasilkan termasuk 'Kata Terakhir' dan liriknya ditulis oleh Hafiz. Artis residen Majlis Bandaraya Shah Alam ini juga kini mengintai peluang untuk bernaung bawah mana-mana syarikat rakaman jika diberi kesempatan. 
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan