Syafiq Dharma Mengaku Tumpang Nama Bapa


Ewah ewah, ramai yang tertanya-tanya siapa agaknya gerangan jejaka berambut ikal ini. Memiliki susuk tubuh tinggi dan berwajah tampan, pastinya mampu menyaingi ramai pelakon lelaki sedia ada. Muncul ketika majlis tayangan perdana filem Kastil Tua yang turut menampilkan Josiah Hogan dan Samantha Ketih, selain pelakon Indonesia Kimberly Rider dan Ajun Perwira, nampak seperti lelaki ini punya watak dalam filem berkenaan.

Selepas didekati, ternyata benar telahan ramai apabila pemunya nama Syafiq Dharma ini turut dipanggil bergambar sama ketika sesi fotografi. Memegang peranan sebagai pelakon pembantu, jejaka berusia 27 tahun ini rupa-rupanya anak kedua pelakon yang pernah mencetuskan fenomena penghujung tahun 1970-an menerusi filem Adik Manja, Dharma Harun Al-Rashid. Malah, selepas bergiat secara langsung dalam pembikinan filem Adik Manja The Returns pada 2011, Syafiq terus mengambil keputusan untuk lebih serius dalam dunia lakonan dan pembikinan filem. Namun menurutnya, bergelar anak kepada seorang legenda bukanlah suatu perkara mudah jika tidak hadir sekali dengan bakat.

“Tipulah kalau saya tidak menggunakan nama bapa saya langsung untuk melangkah dalam dunia seni, tetapi bagi saya cukuplah sekadar satu batu loncatan untuk saya dikenali ramai. Apa yang perlu saya buktikan ialah kemampuan saya dalam bidang lakonan dan pengetahuan saya dalam bidang pembikinan filem dapat membantu memeriahkan lagi industri perfileman di Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas majlis Gala Premier Filem Kastil Tua di pawagam TGV Aeon AU2, Keramat.


Syafiq yang pernah muncul dalam semua filem pendek berjudul Coofie And Sexy Dress arahan Jaemin Park ini ternyata banyak mempelajari cara pengurusan pembikinan filem daripada bapanya, apatah lagi bertindak sebagai Penerbit Eksekutif filem Adik Manja The Returns. 

“Saya belajar secara langsung di belakang tabir pembikinan filem berkenaan, termasuk urusan kewangan yang memainkan peranan besar dalam kejayaan sesebuah filem. Untuk saya menjadi sehebat bapa saya sendiri yang selalu digelar legenda, saya langsung tidak mengharapkan untuk menjadi segah itu. Cukuplah jika saya berusaha ke arah itu, soal mampu menjadi sehebat bapa saya serahkan pada takdir,” kata anak muda yang mengakui tidak suka terlalu merancang secara keterlaluan dan lebih gemar mengikut arus ketentuan-Nya.

Bercerita mengenai rancangan terbaru dia dan bapanya, ramai peminat filem zaman 1980-an tentu teruja. Katanya, kemungkinan besar pembikinan sekuel filem komedi Sikit Punya Gila yang menggabungkan Dharma dan pelakon veteran Hamid Gurkha bakal menjadi kenyataan. Bagaimana pun, filem itu masih tidak ditetapkan judulnya namun kegemilangan dan babak popular filem popular itu pasti dikaitkan semula dalam beberapa babak.

“Pasti ramai yang masih ingat adegan ‘kuda longkang’ yang menjadi ingatan ramai. Walaupun tidak menyalin seratus peratus jalan cerita asal, kami akan membuat pembaharuan yang tidak lari daripada konsep asal cerita tetapi mengikut citarasa penonton hari ini,” kata Syafiq.

Filem pendek Coofie And Sexy Dress menampilkan Syafiq Dharma

Melihat lakonan jejaka ini dalam Kastil Tua, ternyata Syafiq mampu pergi jauh sebagai pelakon yang boleh diterima ramai. Walaupun babak yang melibatkannya hanya sedikit, tetapi impak yang diberikan membuatkan ramai yang tertarik dan mengingatinya. Malah, pengalaman berlakon dengan produksi arahan pengarah dari Indonesia turut memberi pengalaman baru padanya.

“Produksi Indonesia bekerja seperti semut, tidak berhenti walaupun ketika waktu rehat dan waktu makan. Pelakon mereka juga sangat dramatik dalam lakonan yang mana benar-benar memberi impak pada setiap babak,” katanya.
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan