Revodurah Perkenal Kaedah Baru Dalam Pementasan Fiksyen Dramatik


Ewah ewah, nampaknya perkembangan karya Indie masa kini semakin mendapat perhatian di kalangan generasi muda. Malah, kewujudan karya sebegini berjaya membuka ruang dan perspektif baru dalam konteks hala tuju dan nilai komersial hasil seni. Sama seperti penghasilan karya seni lain, individu yang terbabit dalam proses menyiapkan karya berkenaan pasti berdepan situasi imaginasi mencari kelainan. 

Akyem Samad, 25, aktivis seni Indie, pelakon dan pengarah, dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kajian Politik dan Pemerintahan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mengakui konflik situasi ini adalah satu cabaran indah yang perlu dialami sebagai anak seni.

Membuka tirai 2016, Akyem dan produksinya, El Hesh Indie Moving Production cuba mempertaruhkan hasil karya Indie berjudul Revodurah untuk dipentaskan kepada khalayak. Tujuan utama pementasan ini adalah untuk mendapatkan maklum balas penggemar teater, selain memperkenalkan barisan pelakon baru dan mendedahkan teknik persembahan pentas terkini seperti kaedah hologram yang mungkin belum pernah disaksikan.

Majoriti ahli yang terlibat dalam produksi ini sebagai unit pengurusan, kru produksi serta pelakon terdiri daripada gabungan alumni IPTA tempatan seperti UNIMAS, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM). Oleh itu, segala hasil pembelajaran dan pengalaman mereka di universiti masing-masing terutamanya daripada aspek pengarahan dan teknik persembahan pentas disatukan dalam pementasan Teater Eksperimental Revodurah ini.

Teater ini mengisahkan perihal kemanusiaan bangsa Melbon di Kota Merah selepas berakhirnya Perang Zairus. Nama Kota Merah sering disebut-sebut penduduk Bumi Selatan, Bumi Timur dan Bumi Barat kerana Kota Merah dikatakan memiliki hasil kekayaan sumber asli bumi terpenting di bumi iaitu platinum merah. Oleh kerana wujudnya sikap iri hati, Perang Zairus dilancar ke Bumi Utara dan Kota Merah mengakibatkan kemusnahan paling tragis. Sumber asli bumi itu menjadi buruan penduduk bumi lain dan satu ‘pesta’ rebutan manusia tercetus sehingga wujud pelbagai eksploitasi yang mengorbankan jutaan nyawa. 

Di sebalik kegawatan genting itu, muncul seorang lelaki yang mahu merampas kuasa ke atas penduduk Kota Merah dengan cara mengaku dirinya sebagai raja dan golongan lemah yang cuba ditakluk semakin terancam. Bagaimana pun, dalam kelemahan itu asih ada jiwa yang ingin bangkit memperjuangkan hak mereka sebagai penduduk asal Kota Merah.

Karya ini satu kisah fiksyen dramatik yang memaparkan elemen keinginan manusia dalam konteks meneruskan kelangsungan hidup. Penciptaan watak dalam pementasan ini simbolik kepada realiti yang mungkin pernah dilalui sesiapa saja. Teater eksperimental ini membariskan pelakon baru seperti Fakaruddin Attar, Mohd Suhaimi, Shahida Shamsuddin, Hawa Khadeejah, Fadzil Radzi, Paizan Hassan, Tony Abdul, Mustari Dahlan, Taufiq Apek, Ika Angah dan Fathi Radzi.

Teater Eksperimental Revodurah, arahan dan karya Akyem Samad dengan kerjasama Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) ini dipentaskan selama dua hari pada 29 dan 30 Januari 2016, jam 8.30 malam di Dewan Wisma ITBM, Seksyen 10, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Tiket dijual pada harga RM15.00 untuk orang awam (dewasa), manakala pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi, tiket boleh didapati dengan tawaran istimewa iaitu RM10.00. Tiket pementasan boleh dibeli di Kaunter Khidmat Pelanggan ITBM atau dengan menghubungi Unit Pemasaran dan Promosi El Hesh Indie Moving Production menerusi talian/Whatsapp 016-383 2834 (Amiera Othman) dan 019-362 0037 (Norma Nordin). Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut, orang awam boleh mendapatkannya melalui capaian e-mel ehim_production@yahoo.com atau laman Facebook rasmi di El Hesh Indie Moving Production.
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan