Rayani Air - Tiket Murah, Layanan 'Mahal'


Ewah ewah, apabila nampak sahaja promosi harga syarikat penerbangan patuh syariah pertama di Malaysia, Rayani Air, kami terus melayari laman sesawang syarikat berkenaan untuk melihat apa benar tiket penerbangan ditawarkan semurah itu. Ketika itu dua destinasi ditawarkan iaitu ke Kota Bharu, Kelantan dan Pulau Langkawi, Kedah. Dalam kesibukan dengan tugas harian dan mencari berita untuk kami persembahankan menerusi portal ini, terasa ingin bercuti pula. Dan ternyata penerbangan ke pulau legenda menggamit. Menempah beberapa minggu sebelum penerbangan, kami berjaya mendapat tiket pergi balik dengan harga hanya RM119 sahaja. 

Setelah menunggu dengan tidak sabar untuk ke Pulau Langkawi, akhirnya tiba masanya untuk kami terbang bersama Rayani Air. Oleh kerana ini kali pertama menggunakan perkhidmatannya, kami bergegas awal ke lapangan terbang. Untuk pengetahuan, penerbangan ini menggunakan kemudahan di klia2 dan bukan di KLIA ya. Bukan apa, takut ramai yang tersilap pula. Buat masa ini, Rayani Air juga tidak menyediakan penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang. Seperti biasa, kami lebih suka berjimat dengan menggunakan perkhidmatan bas dari KL Sentral terus ke klia2 dengan bayaran hanya RM11 sahaja. 

Tiba di klia2, kami tercari-cari di manakah letaknya kaunter Rayani Air. Jenuh juga kami mencari kerana tidak ada sebarang papan tanda. Akhirnya, kami terus bertanya kepada kaunter penerangan yang berada di tengah-tengah klia2. Oh, rupa-rupanya kaunter berkenaan terletak di deretan kaunter daftar masuk S. Kami pun bergegas ke sana dan rupa-rupanya, kaunter berkenaan berhampiran dengan pintu masuk penerbangan domestik J dan K. Rayani Air diberikan ruang untuk menjalankan perkhidmatan jualan tiket di kaunter perkhidmatan barisan S juga. Hanya beberapa ‘bunting’ diletakkan di sana. Mengambil kira penerbangan ini baru saja beroperasi, tidak mengapalah. 


Kaunter daftar masuk Rayani Air di klia2

Kami menghampiri kaunter daftar masuk. Beberapa orang kakitangan Rayani Air berada di sana. Risau mereka tidak menyediakan perkhidmatan daftar masuk secara atas talian, kami terus membuat pertanyaan mengenainya. Dengan layanan mesra, jawapan yang diberikan juga memuaskan hati. Menurut kakitangan bertugas, penumpang cuma perlu datang terlebih awal sebelum penerbangan untuk daftar masuk. Setelah kaunter daftar masuk dibuka, kami terus kembali ke kaunter dan menjadi penumpang paling awal berbuat sedemikian. Terdengar pengumuman dibuat oleh kakitangan Rayani Air untuk semua penumpang agar mendaftar masuk. Apa yang menarik, setiap pengumuman dimulakan dengan kalimah Basmallah dan ucapan salam. Ternyata sejuk hati kami mendengarnya. Apatah lagi, ini kali pertama di sebuah negara yang agama rasminya Islam, pengumuman mengenai penerbangan berbunyi sedemikian. Proses daftar masuk juga mudah, asalkan beg untuk didaftar masuk tidak melebihi 20 kilogram seperti yang diberikan untuk kelas ekonomi, manakala 40 kg untuk kelas perniagaan. Dalam hati kami, untung juga kerana tidak perlu membuat penambahan bayaran untuk bagasi. Untuk beg yang dibawa masuk ke penerbangan, tidak boleh melebihi 7 kilogram setiap seorang penumpang.


Suasana di ruang menunggu

Oleh kerana penerbangan dari Kota Bharu tiba lewat sedikit, penerbangan yang sepatutnya dijadualkan pada 8.40 malam ditangguhkan selama 20 minit kepada jam 9.00 malam. Ini kerana cuaca tidak berapa mengizinkan, selain penerbangan dari Kota Bharu sememangnya penuh! Tetapi kelewatan seperti ini bukanlah sesuatu yang keterlaluan, sekurang-kurangnya mereka mengumumkannya dengan berhemah. Malah, kakitangan yang berada di lapangan terbang memberi tahu, mereka sedang membersihkan pesawat untuk memastikan kami selesa sebelum meneruskan perjalanan ke Pulau Langkawi. Tidak lama kemudian, kami dibenarkan masuk ke pesawat dengan ucapan dan senyuman yang tidak putus.


Perjalanan masuk pesawat dengan sapaan mesra


Tempat duduk kelas perniagaan juga disediakan

Berada dalam pesawat Rayani Air, kami langsung tidak berasa kekok. Sedia maklum mengenai pesawat Rayani Air adalah pesawat yang pernah digunakan syarikat lain sebelum ini, kami tidaklah mengharapkan pesawat baru dengan bahagian dalam yang serba moden. Tetapi asalkan kami selesa, kami cukup berpuas hati. Penerbangan kali ini dikendalikan oleh Kapten Amran dan Kapten Azaharudin yang kami yakin juruterbang berpengalaman. Begitu juga dengan anak kapal yang melayan kami iaitu pramugara Haziq dan pramugari Puteri. 


Dengarkan doa yang dibaca sebelum penerbangan bermula

Dalam pesawat, semua pengumuman juga dimulakan dengan kalimah Basmallah. Kami turut menantikan doa memulakan perjalanan seperti yang diperkatakan. Alhamdulillah, pramugara bertugas menyatakan doa yang dibacakan adalah doa yang pernah digunakan oleh baginda Rasulullah SAW. Malah, yang bukan beragama Islam juga digalakkan untuk berdoa mengikut kepercayaan sendiri. Ternyata, tiada penumpang yang akan berasa tidak selesa.


Snek percuma di dalam pesawat


Pemandangan dari tingkap


Anak kapal menyediakan makanan yang dijual dalam pesawat

Setelah itu, setiap daripada penumpang diberikan snek secara percuma dalam penerbangan. Berbanding penerbangan tambang murah lain, langkah Rayani Air memberi snek percuma dan minuman wajar dipuji. Setidak-tidaknya, nampak keikhlasan syarikat ini untuk memberikan perkhidmatan terbaik. Tidak ketinggalan, mereka juga ada menjual snek dan minuman lain untuk mereka yang mungkin kelaparan. Bagaimana pun, makanan berat tidak dijual dalam penerbangan singkat seperti ke Pulau Langkawi. Apa yang menarik, penumpang juga boleh mendapatkan cenderahati dengan harga yang berpatutan seperti kemeja-T dan replika pesawat Rayani Air. Kemeja-T dijual dengan harga RM40 dan replika pesawat dengan harga RM70. Barangan lain adalah seperti yang dinyatakan dalam gambar.



Senarai harga cenderahati dan makanan yang dijual dalam pesawat

 

Pramugara Haziq menunjukkan kemeja-T yang dijual serta replika pesawat Rayani Air

Kami sempat berbual-bual dengan anak kapal yang cukup mesra. Seperti sudah kenal lama, kami berbual mengenai pengalaman kami masing-masing. Kalau kami bercerita mengenai pengalaman kami sebagai penulis dan penggiat dunia seni, mereka pula bercerita mengenai pengalaman bertugas di beberapa penerbangan lain sebelum menyertai Rayani Air. Malah, barulah kami tahu tudung yang dipakai pramugari dan kakitangan Rayani Air adalah tajaan jurusolek Sheila Mohamad. Sungguh, kami begitu tertarik dengan penampilan anak kapal Rayani Air. Sejuk mata memandang. Kami percaya rakan bukan Islam juga tidak akan berasa kekok malah terasa kelainannya berbanding pesawat lain. Dalam pesawat, kami turut diberikan sebuah borang maklum balas untuk kami memberi sebarang komen atau cadangan untuk penambahbaikan perkhidmatan mereka.

Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Langkawi kurang daripada sejam. Dengan ucapan terima kasih yang tidak putus oleh kakitangan yang menyambut ketibaan kami, bagasi juga diterima dalam keadaan baik tanpa sebarang kerosakan. Alhamdulillah, pengalaman kali pertama terbang dengan Rayani Air sememangnya pengalaman yang cukup menarik. Yang penting, harga penerbangannya cukup murah dan berbaloi!
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

4 comments:

  1. Tuan patut join MEDIA fam trip mereka ke KK 1 feb nih. Jika berminat, saya boleh beri contact number M.D. rayani :D

    BalasPadam
  2. Tuan patut join MEDIA fam trip mereka ke KK 1 feb nih. Jika berminat, saya boleh beri contact number M.D. rayani :D

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih atas maklumat Tuan. Bagi kami, jika pihak pengurusan Rayani Air sudi pelawa, tapak tangan kami tadahkan. E-mel kami ialah ewahewah.com@gmail.com dan boleh juga hubungi kami menerusi talian 019-6148899. Terima kasih!

      Padam