'Potret' Sah Juara Lagu Ke-30


Ewah ewah, tanda tanya peminat industri muzik tanah air untuk mengetahui siapakah yang merangkul kejuaraan menerusi Anugerah Juara lagu bagi tahun ke-30 (AJL30) akhirnya terjawab apabila lagu ciptaan komposer Hang Nadim dan lirik oleh Kamar Empayar, Potret dipilih pada acara muzik paling berprestij itu. Dipancarkan oleh Pamoga Qu Puteh dan bersiaran secara langsung dari Stadium Melawati, Shah Alam tepat jam 9.00 malam menerusi saluranTV3, lagu yang disampaikan Akim & The Majistret itu berjaya membawa pulang wang tunai RM50,000 beserta trofi, mengenepikan sebelas lagi lagu lain yang turut bersaing dalam acara sama. Lebih manis, band projek itu juga merangkul hadiah Kategori Persembahan Terbaik dihadiahkan wang tunai RM12,000 beserta trofi.


Ciptaan bersama Faizal Tahir, Mike Chan, Omar K, Ezra Kong dan Audi Mok menerusi lagu Assalamualaikum nyanyian  Faizal Tahir diangkat sebagai naib juara AJL30, menerima wang tunai RM35,000 dan trofi, selain lagu Hanya Namamu yang disampaikan Caliph Buskers, ciptaan sepenuhnya Edry Abdul Halim selesa pada tempat ketiga sekali gus memenangi wang tunai RM20,000 serta trofi.


Bukanlah suatu yang mengejutkan apabila penyanyi Dayang Nurfaizah diumumkan sebagai pemenang kategori Vokal Terbaik selepas menyampaikan lagu Tak Pernah Menyerah dengan begitu bertenaga. Pemenang bagi kategori sama dua tahun berturut-turiut itu menerima hadiah wang tunai RM12,000 beserta sebuah trofi. 


Malam kemuncak AJL30 menggarap elemen tema ’Tiga Dekad Mencipta Fenomena' dengan menginterpretasikan ‘Kegemilangan dan Kemeriahan 30 tahun AJL'. Penuh warna-warni, acara ini turut mengimbas kembali sejarah 30 tahun penganjurannya. Ini dibuktikan dengan persembahan istimewa yang menyemarakkan lagi AJL30 dengan beberapa buah lagu yang pernah bergelar Juara Lagu. Membuka tirai malam itu nanti adalah penyanyi nombor satu negara, Dato' Siti Nurhaliza bersama Datuk Jamal Abdillah dan Yassin dengan tema irama Malaysia. Mereka bakal membawakan lagu Cindai yang pernah memenangi AJL pada 1998, Ghazal Untuk Rabiah (1997) dan Mimpi Laila (2001).

Pertandingan bermula dengan lagu pertama Malam Ini Kita Punya oleh Bunkface, ciptaan sepenuhnya Sam Bunkface. Sememangnya persembahan kumpulan ini dikatakan antara yang paling layak memenangi persembahan terbaik, membawa bersama pemain api dan pasukan sorak ke pentas AJL30. Meletakkan lagu ini sebagai 'pembuka gelanggang' sememangnya tepat, tambah lagi dengan tenaga yang dijana atas pentas menimbulkan semangat kepada semua yang menonton. Lagu ini juga unik, bernafas segar serta antara yang disebut-sebut sebagai pencabar kepada semua peserta.



Noh Salleh mengambil tempat dengan lagu Angin Kencang yang dicipta sepenuhnya oleh penyanyi berasal dari Kuching, Sarawak itu. Membawakan persembahan yang sederhana namun memberi kesan, dia bijak menggunakan grafik yang dipancarkan menerusi skrin LCD lalu membawa mesej yang cukup abstrak namun indah. Ini membezakan Noh dengan ramai penyanyi lain yang mana jelas lelaki ini mempunya citarasa tersendiri dalam melakukan persembahan khususnya di pentas anugerah yang besar seperti AJL.



Lagu berentak rancak Knock Knock ciptaan Faizal Tahir dan Mike Chan meneruskan pertandingan menerusi nyanyian gadis Cina, Elizabeth Tan yang begitu popular menerusi laman YouTube. Walaupun lagu asal begitu rancak, untuk versi AJL30 nampaknya dia tampil sederhana dan memperlahankan tempo lagu ini seolah-oleh kedengaran begitu berbeza dengan lagu yang selalu bermain di telinga pendengar. Satu cubaan yang baik apabila rentak mula bertukar pada pertengahan lagu dan diiringi penari. Bagaimana pun, lagu ini seolah-oleh kehilangan serinya setelah diolah sedemikian rupa. Mungkin ada yang gemarkannya, namun mungkin juga dalam situasi penjurian agak sukar untuk menilai struktur lagu yang terlalu berubah-ubah.



Bukan Hal Aku nyanyian Kaka Azraff dan Alif pula mengambil tempat sebagai persembahan berikutnya, membawa imej futuristik dan moden. Lagu ciptaan sepenuhnya The Good Fellas itu sememangnya mudah diingati ramai, malah vokal Kaka juga semakin matang dan dijangka ramai yang sukakan tona suara anak saudara kepada penyanyi rock legenda, Ella itu. Mungkin sebagai artis baru, masih banyak yang perlu dipelajari Kaka untuk meninggalkan satu kesan mendalam kepada penonton dalam masa persembahan kurang daripada lima minit. Ternyata gadis ini mempunyai potensi untuk lebih maju ke depan.


Lagu ciptaan Omar K dan Audi Mok, Sampai Mati nyanyian Hazama juga memukau penonton di stadium. Lagu yang juga ditulis lirik Omar K itu disampaikan dengan cukup bertenaga, berlatar belakangkan imej dan video grafik berasaskan cuaca muram dan menggundahkan. Namun, ada beberapa bahagian nyanyian Hazama seolah-olah terganggu sehingga merencatkan sedikit keyakinan terhadap penyanyi yang diketahui mempunyai vokal yang cukup baik. Mungkin Hazama perlu lebih berhati-hati dalam melontar suara pada masa depan kerana ramai berharap jejaka ini mampu membawa pulang sesuatu pada AJL30.


Artis kelainan upaya, Caliph Busker meneruskan cabaran dengan membawakan lagu ciptaan sepenuhnya Edry Abdul Halim, Hanya Namamu selepas kali terakhir mencipta magis di AJL29 dengan menyampaikan lagu Romancinta sehingga memenangi kategori Persembahan Terbaik. Kali ini, persembahan mereka sekali lagi memukau apatah lagi dimulakan dengan kalimah memuji Tuhan yang disampaikan dengan penuh syahdu. Memakai serba putih, kumpulan ini turut diiringi Edry yang bermain keyboard.



Lagu Assalamualaikum kedengaran begitu mantap dengan susunan muzik yang begitu sederhana namun memberi kesan. Cukup dengan petikan gitar akustik dan bunyian strings yang memukau bawah pimpinan Datuk Ramli MS, kemunculan semula penyanyi yang pernah beberapa kali meniti pengalaman di pentas AJL kali ini dikatakan menjadi pilihan ramai untuk bergelar juara. Penggunaan grafik dan video yang memaparkan nasib malang ramai manusia yang menjadi korban peperangan menguatkan lagi mesej yang cuba disampaikan lagu ini. 



Persembahan selingan diselitkan bagi menambah lagi kemeriahan AJL30 dengan Hafiz Suip dan Jaclyn Victor yang membawakan Juara Lagu dengan genre balada seperti Sekadar Di Pinggiran juara 1986, Menaruh Harapan (1987), Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu (1988), Gemilang (2005) dan Awan Nano (2011). Memang tidak dinafikan persembahan mereka begitu memukau dan keserasian antara mereka di pentas juga mengujakan.


Persembahan yang ditunggu ramai menerusi lagu Biarkanlah oleh Drama Band terus memukau penonton dengan kemantapan suara vokalisnya Aepul. Lagu ciptaan Aepul Roza, Ammar Habir, Daus Srk dan Faeez Halim ini turut memberi saingan hebat kepada peserta lain, malah kemampuan mereka untuk melangkah lebih jauh dalam persada seni tanah air tidak boleh disangkal. Ternyata kumpulan ini begitu fokus dalam memberi persembahan tanpa terlalu memikirkan soal prop atau penambah rencah semata-mata. Dapat dilihat mereka lebih mementingkan soal vokal dan kemahiran mereka dalam muzik.



Seperti biasa, puteri tari Stacy tampil rancak malam ini menerusi lagu Not For Sale ciptaan Mike Chan, Omar K dan Altimet. Turut disertai Altimet, nampaknya juara Akademi Fantasia musim keenam itu masih mengekalkan kemampuannya bernyanyi sambil melontarkan vokal bernada tinggi walaupun dalam pergerakan yang mungkin susah bagi penghibur lain. Stacy tidak pernah gagal dalam membawakan konsep persembahan berbeza setiap kali berada di pentas AJL, malah kali ini dia membawa prop lebih besar dan tampak eksklusif sekali.



Lagu berentak balada ciptaan penuh komposer Ajai, Mana Mungkin turut menjadi perhatian malam ini selepas penyanyinya Black menyampaikan lagu itu di atas sebuah paltform yang disedia khas di tengah-tengah tempat duduk penonton di bahagian arena. Siapa pun terpukau dengan kemantapan vokal jejaka ini, malah dalam lagu ini Black benar-benar membuktikan dia salah seorang daripada penyanyi lelaki tanah air yang mempunyai vokal begitu mantap dan konsisten sehingga hari ini.



Akim & The Majistret meneruskan persembahan menerusi lagu Potret, menerima sorakan yang menggegarkan setelah kumpulan ini muncul dalam suasana seperti di dalam kamar perbicaraan di sebuah mahkamah. Menggunakan prop yang menarik dan nampak 'mahal', lagu ciptaan Hang Nadim dan lirik oleh Kamar Empayar ini disampaikan dengan begitu bertenaga oleh anak muda berusia 25 tahun itu. Menariknya, jejaka ini kelihatan begitu yakin berbanding persembahan yang sering ditunjukkan sebelum ini, membuktikan kualiti vokalnya semakin baik dan mampu menjadi seorang penyanyi dikagumi ramai.



Dayang Nurfaizah tampil hebat malam ini dengan lagu nukilan Akid dan lirik Poji Samad, Tak Pernah Menyerah dek susunan muziknya begitu moden dan boleh dikatakan bertaraf antarabangsa. Tidak dinafikan penyanyi ini mampu mempengaruhi pendengar untuk tidak menoleh ke tempat lain pada setiap bait lirik yang dilontarkan. Gayanya cukup memukau dan tidak hairanlah persembahannya begitu meninggalkan kesan walaupun lagu ini tidaklah disebut-sebut sebagai calon kegemaran bergelar juara kali ini.



Usai semua lagu yang dipertandingkan menunjukkan kehebatan, AJL30 terus diserikan dengan persembahan bertemakan ‘Rockestra' dengan kemunculan Rahmad Mega dan Azlan Typewriter yang membawakan Juara Lagu seperti Isabella (1989), Takdir dan Waktu (1991), Relaku Pujuk (2004), Itu Kamu (2007) dan Lagu Untukmu (2008). Nyata gabungan ini bukan calang-calang, malah menunjukkan industri muzik tanah air diyakini dapat dipulihkan dengan bantuan semua pihak.

Antara yang hadir di AJL30, Ezad Lazim, Faizal Ismail dan Faradhiya

Ternyata kali ini ramalan juara AJL30 sememangnya sukar memandangkan pertandingan kali itu disertai genre muzik berbeza, meliputi pop, rock dan ‘world music’, selain penyanyinya memiliki kekuatan masing-masing. Pada AJL 30 juga, ada beberapa lagi anugerah iringan disampaikan termasuk kepada dua ikon penting yang bertanggungjawab memperkenalkan rancangan Muzik Muzik dan Anugerah Juara Lagu. Anugerah Khas AJL30 ini dianugerahkan kepada kepada Tan Sri Ahmad Othman Merican iaitu orang yang mencetuskan idea rancangan ini, selain Datuk Ooi Eow Jin yang mencipta lagu tema rancangan terbabit yang mana sehingga kini masih menjadi inspirasi.

Pengacara, Fara Fauzana dan AG bersama penaja utama, Dato' Seri Vida

Trofi Anugerah Qu Puteh Diva juga diberikan kepada Cindai daripada Dato' Siti Nurhaliza, ciptaan Pak Ngah dan lirik Hairul Anuar Harun yang mendapat undian tertinggi menerusi laman web rasmi AJL30. Calon Top 5 daripada 29 buah Juara Lagu (AJL1-AJL29) bagi anugerah ini adalah Jerat Percintaan, Cindai, Menaruh Harapan, Isabella dan Lagu Untukmu. Akim & The Majistret serta Hazama turut mendapat bonus RM6,000 setelah penaja utama, Dato' Seri Vida mengumumkan kedua-dua mereka pemenang Anugerah Millenia sewaktu majlis sidang akhbar berlangsung.

Persembahan Nico dan penari Showdown

Antara pemuzik yang mengiringi persembahan pembukaan

Anugerah Juara Lagu dihoskan oleh Fara Fauzana dan AG. Manakala Acara Karpet Merah Jambu yang berlangsung seawal jam 8.00 malam bersiaran menerusi HIP TV di TV9 bersama pengacara Hani Hatim dan Nana Mahazan. 
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan