Lebih Popular Daripada Juara, Syamel Anggap Rezeki


Ewah ewah, siapa sangka jejaka bersuara lunak ini kini semakin melakar kejayaan dalam bidang seni suara. Selepas bergelar naib juara dalam program realiti televisyen Akademi Fantasia 2015, penyanyi berasal dari Kuala Lumpur ini semakin popular dengan lagu Hidup Dalam Mati ciptaan penuhnya sendiri. Malah, terbukti kesan lagu itu membuatkannya layak sebagai finalis Anugerah Meletop Era 2016 (AME2016) dalam tiga kategori sekali gus iaitu Lagu Meletop, Penyanyi Meletop dan Artis Baharu Meletop.

Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 23, mengakui tidak menyangka rezekinya begitu mudah. Malah, ramai yang mula membandingkan dirinya dengan sang juara di AF2015, Sufi. Bagaimana pun, jejaka ini tidak mudah melatah sebaliknya bersifat realistik soal rezeki dan takdir. Baginya, apa yang penting dia tidak boleh mendabik dada sebaliknya terus berusaha untuk mempertingkatkan lagi mutu persembahannya dalam dunia seni suara.


"Jika ada yang mengatakan saya lebih menonjol daripada Sufi, saya tidak boleh menidakkan perkara itu tetapi dalam masa sama saya tidak boleh mengatakan yang saya lebih bagus daripada dia. Saya anggap rezeki saya datang dulu dalam dunia seni ini. Kalau diikutkan, rezeki saya semasa di AF2015 dulu lebih perlahan berbanding Sufi. Saya pernah tersingkir dan dimasukkan semula. Malah, saya hanya dapat tempat kedua. Jadi, soal rezeki ini kita tidak boleh jangka," kata Syamel yang ditemui sewaktu majlis sidang akhbar Anugerah Meletop Era 2016.

Katanya lagi, sebagai penyanyi dia bergantung penuh kepada lagu yang dinyanyikan, sama seperti penyanyi lain yang terlebih dahulu berlayar dalam dunia hiburan tanah air. Baginya, lagu adalah pengaruh paling besar dalam meneruskan kelangsungan hidup seorang penghibur. Namun begitu, dia tidak terburu-buru untuk tampil dengan lagu terbaru memandangkan lagu Hidup Dalam Mati masih diputar radio dan terus mendapat perhatian pendengar.


"Saya juga mendapat nasihat daripada pihak pengurusan, lagu ini masih mahu didengari ramai. Tidak dinafikan disebabkan lagu ini mendapat sambutan, tekanan untuk menghasilkan karya berikutnya agak tinggi dan saya tidak boleh ambil mudah dalam menghasilkan lagu kedua. Saya sendiri menulis lagu seperti biasa, tetapi saya tidak mahu terburu-buru dalam pemilihan lagu berkenaan. Nanti jika orang sudah mula bosan dengan Hidup Dalam Mati, barulah saya keluar dengan lagu seterusnya," ujar pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di sebuah institusi pengajian tinggi swasta ini.

Walaupun dia boleh mencipta lagu, jejaka yang selalu menghabiskan masa beriadah dengan bermain futsal dan badminton ini tidak menolak untuk bekerjasama dengan mana-mana komposer sedia ada memandangkan setiap pencipta lagu ada keunikan tersendiri, malah mampu menghasilkan lagu yang sedap didengar berserta lirik yang indah. Antara komposer yang disebut sebagai impiannya untuk berganding bahu antaranya termasuk Omar K, Aepul Drama Band, DJ Fuzz, Aiman (Zul 2by2) dan Hang Nadim (Akim Ahmad).


Menyentuh kejayaannya meloloskan diri dalam lima terbaik dalam tiga kategori AME2016, Syamel begitu menghargai kesediaan peminat mengundinya dan menaruh sepenuh kepercayaan kepadanya untuk terus berjuang. Baginya, sebagai orang baru dia sudah cukup bersyukur walaupun tercalon walaupun hanya dalam satu kategori. Namun, dia menganggap semua pencalonan itu adalah rezeki dan mengalu-alukan peminat untuk terus mengundinya dalam fasa kedua.

"Kalau dulu, saya hanya menonton majlis anugerah sambil bersila di depan televisyen. Siapa sangka akhirnya peminat sudi mengundi saya sehingga tercalon bukan satu, tetapi tiga kategori sekali gus. Kalau saya menang, saya anggap satu bonus buat saya. Kalau diikutkan, perasaan melihat wajah sendiri dalam video pencalonan pun sudah buat saya besar hati," katanya yang sering memuat naik semula video peminat yang menyanyikan semula lagu Hidup Dalam Mati menerusi laman Instagram miliknya.
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan