Langit Cinta: Ogy Wajar Terima Anugerah



Ewah ewah, berkesempatan juga akhirnya menonton filem Langit Cinta di pawagam sebagai sokongan terhadap filem tempatan. Walaupun rakyat Malaysia masih lagi 'demam' dengan filem Hindi popular lakonan Dato' Shah Rukh Khan dan Kajol, Dilwale, seharusnya penonton tidak lupakan juga hasil usaha anak tempatan dalam berkarya menerusi layar perak.

Langit Cinta, hasil adaptasi novel tulisan Damya Hanna ini berkisar mengenai percintaan antara Alif Zulkarnain dengan Khadijah. Alif seorang anak yang patuh kepada ibu bapa sejak kecil dan mewarisi perniagaan keluarga. Pertemuan mereka bermula apabila bapa Alif ingin membangunkan hartanah di Pulau Perindu dan ingin membina sebuah pusat peranginan. Alif jatuh cinta dengan gadis kampung iaitu Khadijah yang sangat tegas dengan pendiriannya. Alif mula mengenali erti kehidupan sebenar dan belajar memahami bahawa kesederhanaan itu indah. Biarpun hubungannya ditentang keluarga, namun Alif nekad memperisterikan Khadijah.


Setelah itu, kehidupan Alif dirundung pelbagai dugaan dan cabaran apabila terpaksa meninggalkan Khadijah sementara untuk ke bandar setelah mendapat panggilan kecemasan. Namun setelah Alif pergi dia sudah tidak pulang-pulang lagi bertemu dengan Khadijah. Khadijah nekad ke Kuala Lumpur untuk mencari Alif dan berdepan dengan pelbagai rintangan sehinggalah dia mendapat bantuan rakan baiknya yang telah lama mencintainya, Budiman.


Filem ini dilakonkan Fazura, Keith Foo, Siti Saleha, Farid Kamil, Fauziah Ahmad Daud, Zaidi Omar, Datuk Jalaluddin Hassan, Dian P Ramlee, Normah Damanhuri, Nadzmi Adhwa dan Ammar Alfian Aziz.

Karya ini sebenarnya terlalu ringan, malah penonton boleh mengagak kesudahannya seperti yang sering ditonjolkan dalam drama Melayu. Elemen 'antara dua darjat', kemalangan, surat palsu, hilang ingatan dan 'kahwin tak jadi' turut berada dalam filem ini. EE sebenarnya tidak pernah membaca sinopsis atau novel berkenaan, atau membaca ulasan daripada mana-mana penulis, namun sehingga separuh filem ini bersiaran, EE sudah dapat menjangkakan apa yang berlaku pada penghujung cerita. Berbeza dengan Ombak Rindu yang sememangnya novel popular, garapan Osman Ali lebih kemas dalam filem berkenaan dan pemegang watak juga lebih penghayatannya.


Lakonan Fauziah Ahmad Daud atau Ogy sememangnya wajar dipuji, malah layak dicalonkan sebagai Pelakon Pembantu Terbaik menerusi filem ini dalam mana-mana acara penganugerahan perfileman. Membawakan watak Mak Piah iaitu emak kepada Khadijah lakonan Fazura, lakonan Ogy memang kelas pertama. Penghayatannya sebagai orang buta sampai kepada penonton, ternyata dia menggali watak itu sedalam-dalamnya seolah-olah dia benar-benar buta. EE tercari-cari juga di mana cacatnya lakonan Ogy namun gagal ditemui.

Berbanding lakonan Keith Foo kali ini, nampaknya pelakon ini perlu belajar sesuatu daripada pelakon sedia ada, malah sebagai pemegang watak utama dia seharusnya bijak mengambil peluang untuk mengetengahkan kemampuannya secara maksimum. Kemunculannya dalam setiap babak masih kelihatan kekok berbanding Farid Kamil dan Fazura. Dia bukan berlakon dengan mereka yang tidak hebat, malah filem ini menggabungkan beberapa pelakon yang memang diketahui ramai mempunya penghayatan terbaik dalam setiap lakonan mereka.


Langit Cinta juga nampaknya 'meminjam' beberapa babak yang kelihatan sama seperti filem Hollywood dan Bollywood. Ada kalanya seperti Twilight dalam babak Alif terbayang peristiwa silam, ada juga Kuch Kuch Hota Hai dan Mann ketika Budiman hampir menikahi Khadijah. Bukanlah terlalu menjengkelkan, tetapi ternyata bukan semua karya novel mesti dipindahkan menerusi layar perak. Astro Shaw sebagai penerbit juga perlu memilih novel secara terperinci dan bukan sekadar berdasarkan jumlah jualan semata-mata.


Osman Ali sebenarnya bijak fasal memilih lokasi penggambaran, apatah lagi filem ini berlatar belakangkan keindahan pulau. Anak jati Pulau Langkawi ini menggunakan Pulau Tuba sebagai lokasi penggambaran, ternyata tepat dengan kehendak filem ini. Ada sedikit kelemahan dalam teknik kamera yang dapat dilihat pada beberapa babak, malah kaedah yang diulang pakai beberapa kali menyebabkan penonton berasa jengkel. Begitu juga dengan skor muzik, seolah-olah tiada pembaharuan sejak Ombak Rindu ditayangkan dulu. Seharusnya, Osman Ali tidak perlu menggunakan rencah sama seperti filem sebelumnya itu. Tiada salahnya dengan jalan cerita, tetapi persembahannya sahaja yang perlu dibaiki.
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan