Konsert Festival AJL30 Tarik 80 Ribu Pengunjung



Ewah ewah, bukan main ramai pengunjung khususnya orang Melaka yang meriuhkan Festival AJL30 yang berlangsung dengan jayanya pada Sabtu lalu.  Acara yang dianggarkan dihadiri lapan puluh ribu orang daripada pelbagai lapisan masyarakat, bermula pada jam 2 petang dan tamat sekitar jam 11 malam. Namun yang paling dinantikan ialah kemuncak acara festival itu iaitu Konsert Festival AJL30 yang berlangsung secara langsung menerusi saluran TV3, tepat jam 9 malam. Malah, konsert berkenaan juga ditonton secara global dalam siaran definisi tinggi (HD) menerusi portal video www.tonton.com.my.

Noraniza Idris membuka persembahan

Konsert berkenaan dibuka secara penuh warna-warni, bersesuaian dengan sambutan 30 tahun AJL oleh Ratu Pop Etnik, Noraniza Idris.  Melontarkan lagu hit Dikir Puteri dan Hala Timur, penyanyi itu membawa penonton mengimbau kembali persembahan mantapnya setiap kali beraksi di pentas AJL. Dia turut berduet dengan Ihab yang juga anak didiknya dengan lagu Puncak Gapura.

Kaka tidak ketinggalan menyanyikan lagu popularnya

Finalis AJL30, Kaka Azraff turut membuktikan keunikan vokalnya dengan membawakan lagu Janji Manismu yang juga Juara Lagu 1990. Berbeza dengan versi penyanyi asal Aishah, Kaka menyampaikan lagu berkenaan dengan rendisinya tersendiri, sebelum diteruskan dengan medley lagunya Bawa Daku Pergi dan Terpulanglah.

Rahmad Mega masih mengekalkan persembahan berbisa

Rahmad Mega turut menggamatkan pentas malam itu dengan lagu Takdir & Waktu. Juara AJL1991 itu juga turut membawakan lagu hit Nina Karina serta Bayangan Gurauan.

Drama Band mendapat sorakan bergema daripada penonton

Konsert Festival AJL30 semakin hangat dengan kemunculan Drama Band dengan lagu Cerita Dia dan medley lagu tema drama Juvana (TV3), Babak Pertama. Kumpulan itu turut membawakan lagu yang memenangi Juara Lagu AJL23 nyanyian Meet Uncle Hussain berjudul Laguku Untukmu, sebelum penganjur menayangkan klip pendek bagi mengimbau semula saat gemilang pentas AJL untuk beberapa generasi.

Dayang Nurfaizah menggegar pentas dengan kemantapan vokal

Pemenang vokal terbaik AJL29, Dayang Nurfaizah turut membawakan lagu 'berhantunya' Di Pintu Syurga dan Juara Lagu AJL 28 yang dipopularkan Hafiz Suip, Bahagiamu Deritaku. Suasana semakin gamat apabila Nash muncul dengan lagu popular Pada Syurga di Wajahmu, Kamelia, Di Halaman Rindu dan Tiada Lagi Kidungmu. Pengunjung ternyata tidak melepaskan peluang untuk turut bernyanyi lantas memeriahkan lagi konsert berkenaan.

Nash mencuri perhatian penonton dengan lagu popular

Penutup Festival AJL30 yang juga acara pembuka tirai 2016 ditutup meriah dengan persembahan Kumpulan Bunkface. Mereka menyampaikan lagu Tanya Sama Itu Hud-Hud yang juga Juara Lagu 1994, selain medley Darah Muda dan Situasi. Ternyata kemeriahan konsert bukan sahaja dirasai di tapak acara, kaca televisyen dan portal Tonton sahaja. Hashtag #AJL30 juga mendapat trending tinggi di Malaysia menerusi laman sosial Twitter.





Suasana pada sebelah petang bersama artis popular dan pengunjung

Selain berhibur, pengunjung turut mengambil kesempatan mendapatkan barangan eksklusif AJL30 seperti kemeja-T, kalendar dan kompilasi poster mini 12 finalis yang mana kesemuanya habis dijual pada malam berkenaan. Acara yang turut mendapat kerjasama daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah itu turut disertai artis Tasha Manshahar, Azmil Karim, Ronnie Hussein, Sarah Fazny, Monalyssa, SIR, Masweera serta kunjungan Harian Metro Rovers Hot FM Zoomers pada sesi sebelah petang. Malah edisi khas rancangan Muzik Muzik Sakan AJL30 turut bersiaran secara langsung dari pentas utama pada jam 6 petang.

Dato' Seri Vida turut bersama hos, AG dan Fara Fauzana

Kini sama-samalah kita nantikan debaran seterusnya, Anugerah Juara Lagu 30 yang bakal dipancarkan Pamoga Qu Puteh pada Ahad 24 Januari 2016, secara langsung dari Stadium Malawati, Shah Alam. Eksklusif menerusi TV3, acara kali ini bakal membuktikan penganjuran anugerah muzik paling berprestij, selari motto ‘3 Dekad Mencipta Fenomena’ dalam meraikan kegemilangan dan kemeriahan 30 tahun pertandingan ini.
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan