Kobis Pedas Ungguli Juara Parodi, Bawa Pulang RM325,000


Ewah ewah, tahniah diucapkan kepada Kobis Pedas yang diangkat sebagai pemenang tempat pertama Juara Parodi yang diadakan di Teater Shah Alam, Selangor. Kumpulan yang disertai penyanyi Misha Omar, Tauke Jambu dan Allahyarham Yussry Eedo menewaskan empat lagi peserta berkumpulan termasuk Abang Face yang merangkul tempat kedua dan Juri yang selesa sebagai pemenang tempat ketiga. Dua lagi kumpulan, Selamba Blur dan Righthanded berpuas hati pada tempat keempat dan kelima.

Kobis Pedas yang mempersembahkan lagu parodi Patah Seribu nyanyian Shila Amza dah Siapa Diriku (Ayda Jebat) membawa pulang wang tunai RM300,000 serta trofi, selain turut menerima hadiah Anugerah Pilihan Penonton bernilai RM25,000. Kemenangan Kobis Pedas dijangka sejak dari awal lagi kerana ketika pembukaan acara, mereka mendapat undian SMS tertinggi iaitu 42 peratus berbanding Selamba Blur sebanyak 26 peratus.


Juara Parodi peringkat akhir diadili tiga nama besar industri, Afdlin Shauki dan Dato' Zainal Abidin sebagai juri tetap serta Dato' AC Mizal sebagai juri jemputan, mewakili 70 peratus pemarkahan selain 30 peratus lagi daripada undian SMS daripada penonton. Rancangan ini dibawakan khas menerusi saluran Astro Warna dan pasangan Dina Nadzir dan pengacara sensasi dari Singapura, Najip Ali bertindak sebagai pengacara. Pengacara Yasmin Hani pula memainkan peranan sebagai pengulas iringan. Program ini mendapat sentuhan muzikal daripada pengarah muzik Dr Syed Ahmad Faizal Syed Fadzil Al-Attas atau lebih dikenali sebagai Pacai.


Pemenang tempat kedua, Abang Face yang dianggotai Sam Bunkface, Joey dan Shuk membawa pulang wang tunai RM20,000 dan trofi, begitu juga pemenang tempat ketiga Kumpulan Juri yang disertai Dato' Hattan dan Ajak Shiro. Mark Adam dan Shuib Sepahtu yang mewakili Selamba Blur membawa pulang RM20,000 selepas menduduki tempat keempat, juga Righthanded yang dianggotai Waris, Abam dan Fad Bocey yang mendapat tempat kelima memperoleh wang tunai dengan jumlah yang sama.


Selain itu, tiga lagi kategori turut dipertandingkan yang mana setiap pemenang membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000 setiap kategori iaitu persembahan terbaik dan lirik terbaik yang dimenangi Abang Face, selain vokal terbaik dimenangi Kumpulan Juri.

Pada persembahan malam itu, setiap peserta dikehendaki membuat dua persembahan mengikut tema yang ditetapkan iaitu 'Perkara Paling Menyeramkan Dalam Hidup Aku' dan kata kuncinya 'Taubat Aku'. Manakala pada tugasan kedua peserta bebas memilih apa saja tema tetapi perlu menggunakan kata kunci 'Pitam'.


Pentas persembahan dipanaskan gabungan pemenang Gegar Vaganza musim kedua, Siti Nordiana dan Lan Kristal dengan lagu Paling Comel. Persembahan mereka turut diiringi penari yang memakai Pelikat Pants, jenama milik Afdlin Shauki. Sememangnya pilihan Astro Warna meletakkan mereka sewaktu pembukaan adalah tepat memandangkan persembahan itu berjaya menarik perhatian ramai untuk terus menonton.



Righthanded memulakan pertandingan pada pusingan pertama dengan membawakan parodi lagu Darah Muda yang dipopularkan Bunkface dengan genre Indie Rock.  Ternyata itu persembahan yang baik apabila pelawak membawa genre klasikal sehingga mendapat pujian Afdlin selaku juri. Mark Adam mengejutkan ramai dengan watak lelaki lembut membuatkan ramai penonton di auditorium menjerit. Mewakili Selamba Blur bersama Shuib, mereka membawakan parodi lagu Lelaki daripada Yuna yang juga berirama pop.


Giliran Kobis Pedas membuat persembahan dengan parodi lagu Siapa Diriku oleh Ayda Jebat, mereka terpaksa menukar irama Pop ke Irama Malaysia selepas diminta juri. Ternyata walaupun penuh dengan sketsa, vokal Misha masih mantap dan Tauke dapat menyeimbangkan persembahannya dengan baik. Abang Face muncul selepas itu dengan parodi Lagu Untukmu yang dipopularkan Meet Uncle Hussein. Daripada irama Rock, mereka diarahkan menukar ke irama Latin. Persembahan mereka sangat menjadi, tambah lagi Syuk menukar penampilannya iras vokalis Alleycats, Datuk David Arumugam. Lebih mengejutkan, Sam Bunkface yang dikenali sebagai seorang yang serius mampu berkolobrasi dengan pelawak dan langsung tidak kelihatan kekok.


Pusingan pertama ditamatkan dengan persembahan Kumpulan Juri yang dianggotai Dato' Hattan dan Ajak Shiro. Membawakan genre Pop menerusi parodi lagu Putih Putih Melati lagu asal ST12, mereka kemudiannya dikehendaki menukar genre ke Balada. Siapa boleh nafikan kehebatan vokal Dato' Hattan, namun keupayaan Ajak menyanyi juga tidak dapat dipertikai.


Righthanded kembali membuka gelanggang pusingan kedua dengan parodi lagu Ingatkan Dia yang dipopularkan Wings. Daripada irama Rock, mereka dikehendaki mengubah persembahan ke irama World Music. Nampaknya mereka begitu bersungguh-sungguh dengan bantuan prop batu nesan namun mengekalkan elemen jenaka dalam nyanyian mereka.



Mark Adam sekali lagi mengejutkan penonton apabila berjaya membawa watak parodi Raja Pop Antarabangsa, Michael Jackson menerusi lagu Suci Dalam Debu. Bermula dengan genre Balada, mereka dikehendaki mengubah perembahan dengan irama Disco. Ternyata penyanyi yang popular dengan lagu Pencuri itu bukan sekadar hebat menyanyi dan mengarang lagu, tetapi hebat dalam seni tarian sehingga mendapat pujian ramai.


Memulakan persembahan dengan genre Pop menerusi lagu Patah Seribu nyanyian Shila Amzah, Kobis Pedas kemudiannya dikehendaki menyampaikan lagu berkenaan dalam irama Electronic Dance Music. Masih tidak melupakan rakan anggota kumpulan itu yang meninggal dunia pada 30 November 2015, Allahyarham Yussry Eeedo atau Pak Yus, Misha dan Tauke kelihatan benar-benar melenyapkan seketika kesedihan mereka dan membuat persembahan dengan baik. 



Siapa sangka, Sam Bunkface akhirnya keluar daripada zon selesa sehingga mampu berkarya dalam dunia komedi dan pementasan. Mewakili Abang Facemereka memulakan persembahan dengan irama Balada menerusi lagu Misha Omar, Bunga Bunga Cinta. Namun, mereka kemudiannya diminta membawakan irama Hindi. Masih dengan demam filem Dilwale, mereka menggunakan kesempatan yang ada dengan menggunakan bantuan prop dan menjemput Jihan Muse sebagai watak jemputan, selain penari yang memenuhi pentas. Sam Bunkface yang menggunakan khidmat jurusolek kesan khas profesional Eds Aripin, tampak seperti Hero Hindustan sebenar.


Dari belakang pentas, Eds Arippin membuat persiapan untuk Sam Bunkface

Pertandingan Juara Parodi diteruskan dengan persembahan terakhir Kumpulan Juri menerusi parodi lagu Relaku Pujuk yang dipopularkan Spider. Bermula dengan irama Balada, sungguh mengejutkan apabila Dato' Hattan begitu sporting mengenakan pakaian ala Hip Hop. Malah, dia juga menggantungkan cakera padat di dada seperti yang pernah dilakukan Dato' AC Mizal pada zaman beliau bersama kumpulan rap 4U2C.



Kobis Pedas diangkat sebagai juara selepas mendapat markah sebanyak 62.96 peratus, diikuti Abang Face dengan 62.33 peratus, Juri (60.91 peratus), Selamba Blur (56.01 peratus) dan Righthanded (47.26 peratus). Kobis Pedas turut memenangi kategori Anugerah Pilihan Penonton selepas mendapat undian SMS tertinggi sebanyak 10.96 peratus daripada 30 peratus yang diperuntukkan. Hadiah disampaikan Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anuar Salleh dan Pengurus Saluran Astro Warna, Emarina Mohd Kamal. 
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan