Jejaka Tampan Serbu Menara Kuala Lumpur


Ewah ewah, riuh rendah jadinya apabila kumpulan jejaka kacak ini berkumpul. Maklumlah, masing-masing biasanya sibuk dengan tugas harian, ada kalanya mereka jarang bertemu mata. Seperti biasa, kehadiran mereka pasti menarik perhatian ramai memandangkan mereka adalah pelapis baru dalam dunia peragaan, dan mungkin ada antara mereka yang bakal menjadi pelapis yang akan mewarnai dunia seni tanah air.

Baru-baru ini, sepuluh daripada enam belas peserta Mister Planet Malaysia 2016 (MPM2016) berkesempatan melawat sekitar menara telekomunikasi kebanggaan rakyat Malaysia, Menara Kuala Lumpur. Diiringi Pegawai Perhubungan Awam Menara Kuala Lumpur, Eliey Sahad, serta penyelaras Mister Planet Malaysia 2016, Digun Rahman dan Oda Yunus, kumpulan jejaka kacak yang mewakili semua negeri di Malaysia ini begitu teruja dengan keindahan Kuala Lumpur dari aras tinggi di puncak menara berkenaan. Malah, mereka juga mengambil peluang bergambar di sekitar sana.




Aktiviti bermula di dek pemandangan atau Observation Deck yang berketinggian 276 meter. Di sini, peserta MPM2016 dapat melihat pemandangan keseluruhan Kuala Lumpur secara 360 darjah. Dilengkapi dengan teropong yang disediakan, pengunjung dapat melihat objek, bangunan, pemandangan dan infrastruktur dengan lebih dekat. Ternyata, sesiapa sahaja yang berada di sini pasti teruja dan dapat merasai pengalaman baru. Pengunjung juga boleh mendapatkan cenderahati yang dijual di sini.


Setelah itu, rombongan dibawa ke bahagian lebih tinggi iaitu dek terbuka atau Open Deck yang berketinggian 421 meter. Di sini, kebanyakan aktiviti lasak sering dijalankan memandangkan keadaannya yang terbuka. Antara aktiviti yang pernah dijalankan di aras ini ialah terjun bungee dan payung terjun. Apa yang menyeronokkan di sini ialah pengunjung dapat melihat bangunan KLCC dari aras tinggi. Usah risau, keselamatan di sini terjamin tetapi setiap pengunjung mesti mengisi borang lengkap untuk tujuan pemantauan dan keselamatan.






Setelah itu, kumpulan peserta MPM2016 dibawa untuk 'bermesra' dengan zoo mini yang terletak di bahagian bawah Menara Kuala Lumpur. Masing-masing sungguh teruja melihat haiwan jinak termasuk burung kakak tua, mirkat, arnab, kura-kura, monyet, musang dan banyak lagi. Pengunjung boleh bergambar dan menyentuh haiwan yang dibenarkan. Di sini juga menempatkan spesis buaya yang kecil dan diletakkan di dalam sebuah kolam mini. Malah, pengunjung diberi kesempatan untuk memberi makanan yang disediakan kepada haiwan berkenaan.


Program diteruskan dengan lawatan ke akuarium Blue Coral Aquarium yang menempatkan pelbagai hidupan marin, termasuk hidupan laut dan air tawar. Yang lebih menerujakan, pengunjung dapat melihat sendiri keindahan batu karang yang hadir dalam pelbagai bentuk dan warna. Suasana dalam akuarium ini juga sangat mengasyikkan. Ada sebuah kolam yang besar menempatkan spesis ikan besar dan memiliki kepanjangan lebih satu meter. Lokasi ini sangat menarik dan sesuai untuk dilawat bersama keluarga dan anak-anak.


Sepuluh peserta Mister Planet Malaysia 2016 bergambar kenangan bersama kakitangan Menara Kuala Lumpur dan penyelaras Mister Planet Malaysia 2016

Kepada yang berminat untuk mendapatkan lebih banyak lagi maklumat mengenai Menara Kuala Lumpur, bolehlah melayari laman sesawang rasmi iaitu Menarakl.com.my. Untuk mengenali lebih rapat lagi peserta Mister Planet Malaysia 2016, layari laman Facebook rasmi mereka, Mister Planet Malaysia.
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan