Istimewa Sangatkah Akim & The Majistret?


Ewah ewah, tahniah diucapkan kepada semua finalis Anugerah Juara Lagu Ke-30 (AJL30) yang berlangsung di Stadium Melawati, Shah Alam Ahad lalu. Seperti setiap tahun penganjurannya, pasti ada yang tidak berpuas hati dengan keputusan juri yang memutuskan untuk memberi kemenangan kepada beberapa lagu yang bertanding. Dalam edisi yang baru saja berakhir, lagu popular Potret ciptaan Hang Nadim dan liriknya ditulis Kamar Empayar itu dinobatkan sebagai juara terkini. Akim & The Majistret sebagai penyampai lagu berkenaan turut memenangi kategori Persembahan Terbaik selain 'anugerah mengejut' iaitu Anugerah Milenia yang diumumkan pengasas penaja utama AJL30, Dato' Seri Vida ketika majlis sidang akhbar. Tempat kedua dimenangi lagu Assalamualaikum ciptaan bersama penyanyinya Faizal Tahir bersama beberapa komposer lain seperti Mike Chan, Omar K, Audi Mok dan Ezra Kong. Ciptaan penuh Edry Abdul Halim menerusi lagu Hanya Namamu dendangan Caliph Buskers dipilih sebagai pemenang ketiga. Kejayaan Dayang Nurfaizah menerusi kategori Vokal Terbaik selepas mendendangkan lagu Tak Pernah Menyerah juga dijangka selepas memberikan persembahan vokal mantap berbanding peserta lain. Selain Akim & The Majistret, penyanyi Hazama juga diumumkan sebagai penerima Anugerah Milenia setelah memberikan persembahan yang menyentuh hati penonton.

Bersama Dato' Seri Vida

Sebenarnya, untuk memenangi anugerah ini bukanlah suatu perkara mudah. Penonton, penggiat industri muzik serta peserta sendiri mempunyai persepsi berbeza dalam menerima keputusan yang diberikan. Penonton khususnya mempunyai citarasa, minat dan pandangan peribadi tersendiri khususnya terhadap penyanyi pujaan mereka. Ada kalanya, mereka tidak berpuas hati apabila kemenangan tidak berpihak kepada penyanyi kegemaran mereka. Penggiat industri muzik juga mempunya pandangan berbeza dalam hal ini, baik pihak media, pemuzik, komposer, penulis lirik, pihak produksi dan pemerhati yang rata-rata mempunyai pengalaman besar dalam industri seni tanah air. Apatah lagi peserta yang berhempas pulas memastikan hasil usaha mereka terpilih sebagai juara.


Ternyata, tidak ada sesiapa pun yang salah dalam melemparkan pandangan mereka. Maklumlah, lain padang, lain pula belalangnya. Tahap pengetahuan dalam ilmu muzik masing-masing nyata berbeza, sama ada mereka yang tidak pernah belajar ilmu muzik secara formal, mahu pun mereka yang berpuluh tahun dalam dunia muzik. Muzik terlalu subjektif untuk diperdebatkan, berbeza aspek teknikal yang lebih mudah untuk diperhalusi. Bagaimana pun, kita tidak harus melupakan pula soal keberkesanan sesebuah lagu dalam mempengaruhi kotak pemikiran manusia yang sentiasa dahagakan karya menghiburkan dan membawa mesej tersendiri. Mengikut teori penyesuaian perhubungan atau Communication Accommodation Theory (CAT) oleh Howard Giles, ternyata seseorang penggiat seni harus menyesuaikan permintaan pendengar untuk mudah diterima dengan lebih mudah. Buktinya, membina karya muzik yang lebih mudah diterima dan sesuai dengan kehendak majoriti akan memberi impak positif kepada pemuzik itu sendiri. Ada kalanya, menyajikan karya terlalu 'pelik' juga menyebabkan 'karya agung' itu mungkin dipandang sepi walaupun kualitinya tinggi seperti yang dinyatakan cendekiawan muzik.

Gabungan 'Hang Nadim' dan 'Kamar Empayar' membuahkan hasil

Inilah resepi yang mungkin digunakan Akim & The Majistret, yang mana cukup berpengalaman dalam dunia muzik tanah air. Semua maklum Akim adalah penyanyi muda yang dicungkil bakatnya menerusi program realiti Akademi Fantasia musim ketujuh. Malah, ramai yang tidak tahu di sebalik kejayaannya merangkul tempat ketiga dalam rancangan televisyen popular itu, dia pernah 'patah hati' untuk mengejar impian sebagai penyanyi selepas tersingkir pada peringkat penyikiran awal program One In A Million musim ketiga. Ketika itu, dia baru berusia 18 tahun. Namun, Akim bukanlah seorang yang mudah mengalah, malah cukup kuat berusaha untuk mencapai cita-citanya. Malah, di belakang pentas abang kepada penyanyi ini, Afham Zulhilmi Ahmad yang juga penulis lirik Potret menggunakan nama samaran Kamar Empayar turut berkongsi berkenaan sifat Akim yang bekerja kuat tanpa mengenal erti penat lelah. Selain daripada kehidupan peribadinya yang lebih banyak dikongsi ramai, kehidupannya sebagai penggiat seni sebelum ini tidak dipandang ramai sehinggalah bersatu dengan rakan-rakannya yang hadir daripada pelbagai band yang terkenal di Malaysia.

Akim & The Majistret bersama Gafimmers dan The Defenders selepas AJL30 berlabuh

Peranan peminat juga memainkan peranan dalam perjalanan Akim dalam dunia seni suara. Sejak 2009, kelab peminatnya Gerakan Penyokong Afiq Hakim atau Gafim yang menggelarkan diri mereka Gafimmers tidak pernah gagal menggalas tanggungjawab sebagai tulang belakang Akim dalam memberi sokongan. Malah, kelab ini juga menamakan The Defenders sebagai penyokong Akim & The Majistret. Ternyata, keluarga Akim sendiri amat rapat dengan anggota kelab ini sejak tujuh tahun lalu bagaikan satu keluarga besar yang sentiasa melindungi dan memelihara kerjaya seni Akim. Mereka bersedia menyumbangkan buah fikiran, tenaga, masa dan wang ringgit demi memastikan kejayaan Akim. Akim juga sanggup membuang rasa letih jika bertemu dengan peminat, membuatkan hubungan mereka begitu akrab dan terpelihara.



Secara peribadi, ini kali kedua Akim berada di pentas AJL selepas tampil solo dengan lagu Bengang, lagu pertama yang dirakamkan selepas bergelar graduan Akademi Fantasia. Selepas itu, beberapa kali dia gagal untuk menempatkan diri sebagai finalis AJL selepas mencipta sendiri lagu dendangannya berbanding Bengang yang dicipta komposer lain. Entah bagaimana, idea untuk bergabung dengan The Majistret benar-benar membawa Akim ke peringkat lebih tinggi sebagai pencipta lagu. Satu perkara yang dapat dilihat di sebalik penggabungan ini, ternyata perkongsian idea dan bakat juga membuahkan perkongsian rezeki yang dapat dikecap bersama rakan-rakan dalam projek berkenaan. Malah, penyatuan mereka memberi nafas baru kepada individu yang terbabit yang selama ini hanya berpuas hati dengan pencapaian band masing-masing. Akim juga meletakkan dirinya sebagai pencipta lagu dengan nama samaran Hang Nadim. Sesuai dengan nama lagenda kanak-kanak yang bijak, ternyata dia juga cerdas dalam merencanakan percaturan dalam dunia seni.



The Majistret sebenarnya adalah pemuzik yang menubuhkan band projek bersama-sama Akim untuk menghasilkan karya yang berbeza daripada band asal mereka. Anggota The Majistret adalah dalam masa sama anggota kumpulan seperti Sofazr, 6ixth Sense dan Hyper Act. Walaupun kini bergelar juara di AJL, ternyata mereka masih setia bersama band asal mereka kerana yakin manisnya kemenangan mereka sedikit sebanyak membawa sama nama band asal lebih jauh dalam persada muzik tanah air. Walaupun mereka pernah merasai kegagalan menerusi lagu Mewangi sehingga ramai yang meluahkan rasa tidak puas hati, ternyata mereka tidak pernah menoleh ke belakang dan meneruskan perjuangan.

Pasukan yang membawa kemenangan Potret

Di sebalik kemenangan Potret, sebenarnya mereka terlalu banyak berkorban untuk menghasilkan persembahan yang mampu diingati ramai. Selain memaparkan konsep visual unik dengan membawakan prop untuk membawa suasana mahkamah ke pentas, mereka juga menghadapi kesulitan khususnya dalam soal teknikal sehingga terpaksa pulang awal pagi setiap kali sesi latihan dijalankan. Mujurlah mereka tidak menukar susunan muzik asal seperti yang dilakukan kebanyakan peserta kerana mereka ingin menghormati susunan asal seperti dalam album. Ini kerana versi asal yang dimuat naik menerusi laman YouTube mendapat sambutan hebat sehingga mempunyai lebih 12 juta pelayar dalam masa hanya sembilan bulan.

Mungkin arah aliran menggabungkan pemuzik daripada pelbagai band boleh diguna pakai pemuzik lain untuk mewarnakan lagi industri muzik tanah air. Bak kata mereka, buatlah apa saja yang boleh difikirkan asalkan dengan niat untuk bermuzik semata-mata. Ternyata di sinilah istimewanya Akim & The Majistret.
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan