Dilema Antara Cinta Dan Keluarga


Ewah ewah, semakin jelita pelakon wanita Filipina ini. Kepada yang meminati telenovela dari negara itu, pasti mengenali Heart Evangelista bukan? Kalau nak tahu, anda yang meminatinya boleh menonton siri drama terbaru setiap Isnin hingga Khamis selama sejam, bermula 3 petang menerusi saluran TV3 berjudul Magkano Ba Ang Pag-ibig yang bermaksud 'berapakah harga cinta'. Ditayangkan bermula 4 Januari lalu, drama terbitan GMA Network Inc, Filipina ini turut menampilkan pelakon lain seperti Sid Lucero, Dominic Roco, Alessandra De Rossi, Isabel Oli, dan Katrina Halili.

Bertemakan cinta dan pengorbanan, kisah drama ini bermula di sebuah pekan tua, San Sebastian. Berkisar mengenai kepayahan seorang gadis bernama Eloisa Aguirre dalam memberikan kehidupan yang selesa kepada keluarganya, dia mempunyai kesukaran kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya menjalankan kerja menternak khinzir di ladang kecil milik keluarganya. Ketika dia sibuk menguruskan ladang ternakan keluarganya itulah akhirnya menemukan dia dengan seorang profesor agrikultur, Lucio Aragon. Atas dasar minat mereka dalam bidang agrikultur yang mendalam, Eloisa dan Lucio menjadi kawan rapat sehingga menimbulkan bibit cinta antara mereka.


Eloisa berasa kehidupannya dirahmati dengan rezeki yang ada serta kehadiran Lucio dalam hidupnya. Bagaimana pun, kebahagiaan itu cuma sementara apabila ayahnya, Andoy perlu menjalani pembedahan kaki kerana penyakit kencing manisnkronik. Pemikiran Eloisa semakin buntu memikirkan cara memperoleh wang untuk pembedahan ayahnya itu sehinggalah dia bertemu wanita terkaya di bandar itu, Dona Hilaria dengan harapan untuk mendapatkan bantuan.


Melihat keikhlasan Eloisa, Dona menawarkan pekerjaan di kilang miliknya dan membantu mengeluarkan belanja biaya pembedahan kaki ayah Eloisa. Tanpa berfikir panjang, Eloisa menerima tawaran itu dan memberikan kesetiaan penuh kepada syarikat Dona. Di sebalik kebaikan itu, Dona mempunyai niat tersembunyi iaitu mengahwinkan Eloisa dengan anaknya Bobby, seorang pesakit autism. Dona merasakan hanyalah Eloisa yang layak mewarisi syarikatnya, bukan tiga menantunya yang lain Lualhati, Gigi, dan Margot.


Berbeza dengan tiga menantu Dona yang inginkan kekayaan, Eloisa percaya bahawa cintanya tidak boleh dibeli lalu menolak lamaran Dona. Dengan rasa tidak puas hati, Dona mengugut Eloisa dengan menghalaunya dan keluarganya dari bandar itu serta disuruh untuk langsaikan hutang perubatan ayahnya sekiranya Eloisa enggan mengahwini Bobby. Kerana tertekan dengan keadaan di San Sebastian, Eloisa ke Manila dengan harapan mendapat bantuan Lucio. Setibanya Eloisa di Manila, harapannya hancur melihat Lucio bermesraan dengan perempuan lain.

Penonton pasti mahu mengetahui perjalanan kisah menarik ini. Adakah Eloisa akan berpatah balik untuk menerima tawaran Dona? Masihkah ada cinta Eloisa kepada Lucio? Sejauh manakah Eloisa sanggup berkorban demi keluarganya? Jangan lupa saksikan!
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan