Anak PM Terbit Filem


Ewah ewah, nampaknya industri perfileman Malaysia semakin mendapat perhatian bukan hanya daripada penggiat filem dan drama, malah kini turut menarik minat golongan VIP untuk melabur sama dalam pembikinan filem tempatan. Terbaru, anak Perdana Menteri, Mohd Nazifuddin Dato' Seri Mohd Najib menerusi syarikat Fimtab Unik Sdn Bhd bersama-sama Richard Ung menerbitkan filem Kastil Tua yang bakal ditayangkan 21 Januari depan. Penerbitan filem ini juga nampaknya menjadi sejarah kerana Mohd Nazifuddin menjadi anak perdana menteri Malaysia pertama yang menjadi penerbit filem secara langsung di negara ini.

Filem usahasama Malaysia-Indonesia ini ditayangkan di negara jiran pada Ogos 2015, beberapa bulan sebelum mendapat peluang untuk berada di pawagam tempatan. Menariknya, filem ini menduduki tempat ketiga dalam senarai kutipan terbanyak di sana sekali gus memberi harapan cerah untuk mendapat sambutan luar biasa di negara ini berdasarkan catatan berkenaan. Filem yang diarahkan sutradara dari Indonesia, Chiska Doppert ini turut mendapat sentuhan kreatif daripada pelakon tempatan yang pernah menjadi hero pujaan tanah air era 80-an dahulu, Sabree Fadzil yang bertindak sebagai pengarah kreatif.

Mohd Nazifuddin bersama barisan pelakon dan tulang belakang Kastil Tua

Memaparkan kisah berlatar belakangkan kisah benar mengenai misteri istana lama Kellie's Castle yang terletak di Batu Gajah, Perak, filem ini menggabungkan empat pemain watak utama iaitu dua dari Malaysia dan dua lagi dari Indonesia. Mereka adalah pelakon tempatan berwajah pan-asia Josiah Hogan serta model berasal dari Klang, Selangor iaitu Samantha Keith, selain Kimberly Ryder dan Ajun Perwira dari seberang. Mengisahkan perjalanan empat sahabat yang berkunjung ke istana berkenaan, mereka mengalami pelbagai detik mencemaskan sepanjang mereka berada di dalam istana yang telah ditinggalkan sejak sekian lama.

Filem Kastil Tua bakal ditayangkan 21 Januari 2016

Ada misteri yang menyelubungi di sebalik kejadian gangguan yang diterima watak Tristan, Sarah, Mark dan Angie, termasuk dirasuk roh jahat sehigga ada antara mereka yang hampir menjadi korban. Bagaimana pun, filem berdurasi sejam dua puluh minit ini hampir tidak dapat ditayangkan di tanah kerana pihak Lembaga Penapisan Filem pada asalnya menolak tayangannya memandangkan ada unsur khurafat dan pemujaan yang digariskan oleh badan berkenaan sebagai satu larangan.

"Mujur pelakon kami iaitu Samantha Katie, Kimberly Ryder dan Ajun Perwira bukan beragama Islam, jadi pihak LPF akhirnya tidak membuat pemotongan terhadap filem ini," kata penerbit bersama filem ini, Richard Ung sewaktu sidang media Gala Premier Filem Kastil Tua yang diadakan di pawagam TGV Aeon AU2, Keramat.

Didie Alias dan AR Badul bertindak sebagai pengerusi majlis

Katanya lagi, sememangnya persetujuan pemilihan pelakon berwajah pan-asian dibuat memandangkan kebanyakan penonton di Indonesia mahukan pendokong watak yang mempunyai pakej wajah sedemikian untuk memastikan tiket filem terjual. Untuk tayangan di Malaysia, diharapkan tayangan menerusi 50 pawagam penghujung Januari ini dapat menarik perhatian ramai sekali gus memberi sinar kepada perusahaan filem tempatan.

Dari kiri: Josiah Hogan, Samantha Keith, Ajun Perwira dan Syafiq Dharma

Selain Mohd Nazifuddin dan Richard Ung, turut hadir dalam majlis tayangan perdana filem Kastil Tua termasuklah Ketua Pengarah FINAS, Dato' Kamil Othman, pengarah filem Chiska Doppert, Sabree Fadzil, Josiah Hogan, Samantha Keith, Ajun Perwira dan Syafiq Dharma. Seorang lagi pelakon dari Indonesia, Kimberly Ryder tidak dapat hadir atas faktor komitmen dengan penggambaran lain.
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan