AJL30 Tarik 6.2 Juta Penonton


Ewah ewah, nampaknya demam Anugerah Juara Lagu Ke-3- (AJL30) masih menjadi sebutan ramai. Masing-masing masih memperkatakan mengenai keputusan anugerah berkenaan khususnya peminat Akim & The Majistret yang dinobatkan sebagai Juara Lagu yang ke-30 sepanjang penganjurannya. Malah, kemuncak acara muzik paling berprestij itu memberi impak kepada penonton dan kekal sebagai rancangan yang ditonton ramai apabila rating rancangan itu mencecah hampir 6.2 juta penonton berdasarkan kajian sumber iaitu Nielsen.

Selain lapan ribu pentonton membanjiri Stadium Malawati, Shah Alam, untuk menonton secara langsung dari dalam stadium dan di sebuah ruang khas yang disediakan berdekatan acara Karpet Merah Jambu, lima buah dewan panggung wayang penuh dihadiri pengguna laman Tonton bersama selebriti terkenal di Golden Screen Cinemas (GSC), Pavilion, Kuala Lumpur bagi menyaksikan AJL30 yang disiarkan secara langsung selama tiga jam bermula 9 malam.

Selain penangan 12 buah finalis bertanding, persembahan istimewa daripada Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Jamal Abdillah, Yassin Sulaiman, Jaclyn Victor, Hafiz Suip, Rahmad Mega dan Azlan Typewriter turut membawa penonton merentasi zon masa dengan menyampaikan beberapa Juara Lagu terdahulu. Konsep yang dibawa termasuk genre muzik Irama Malaysia atau Etnik Kreatif, Balada dan Rockestra.


AJL30 yang mendapat tajaan Pamoga Qu Puteh membawa tema Tiga  Dekad Mencipta Fenomena turut ditonton secara global dan HD. Secara keseluruhan, 127,313 penonton menyaksikan 'live-streaming' AJL30 serta acara Karpet Merah Jambu menerusi www.anugerahjuaralagu.com dan www.tonton.com.my. Manakala sejak 10 Dec 2015 hingga 26 Januari 2016, laman rasmi AJL telah dikunjungi dan dibuka sebanyak 834,195 kali. Laman sesawang paling kerap dilihat ialah bahagian Peraduan Cover Kami iaitu 355,563, diikuti laman undian Anugerah Qu Puteh Diva iaitu sebanyak 160,523.

Penyumbang utama tontonan secara online pastinya dari Malaysia dengan sejumlah 107,556 penonton. Jumlah itu diikuti dari negara Singapura (7641), United Kingdom (1550), Amerika Syarikat (1032) dan Jepun (787).

Sambutan baik menerusi kaca TV dan secara atas talian juga terbukti apabila hashtag #AJL30 menjadi trending di seluruh dunia pada malam itu, juga beberapa hari sebelum dan selepas siaran langsung acara kemuncaknya. Menerusi laman Facebook pula, lebih enam juta penonton menyaksikan aktiviti perkongsian berkaitan AJL30 yang mana lebih 800,000 maklum balas diterima menerusi laman sosial Twitter. Manakala menerusi Instagram, #AJL30 digunakan 28,935 kali dan dijangka bakal meningkat dari semasa ke semasa.

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia kerana menonton dan menyokong AJL30. Kami pasti membawakan lagi kandungan terbaik menerusi penganjuran Anugerah Juara Lagu seterusnya,” kata Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9, Sherina Nordin yang turut menghargai kru penerbitan serta warga kerja yang berusaha keras dalam merealisasikan AJL30. Dia juga mengucapkan terima kasih kepada Pamoga Qu Puteh atas tajaan, juga Tonton, Hot FM, Harian Metro, ZIP, GSC dan media kerana turut menjayakan dan mempromosikan rancangan anugerah berkenaan.




Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan