Ulang Tahun Ke-29, Johan Buang Imej 'Playboy'


Ewah ewah, diam tak diam jejaka tampan ini kini menginjak usia 29 tahun tepat hari ini. Siapa tidak kenal Johan As'ari, pelakon yang pernah memenangi Artis Baru Popular dalam Anugerah Bintang Popular sedikit masa lalu. Cukup sinonim dalam drama dan filem Juvana dengan watak Botak, lelaki tinggi lampai ini sering terpalit dengan kontroversi membabitkan beberapa artis wanita yang EE rasa tak perlulah diungkit kembali nama individu terbabit. Bagaimana pun, Johan atau nama sebenarnya Johan Arrif Datuk Haji As'ari ini berazam untuk membersihkan imejnya yang pernah dicop 'Playboy' mulai sekarang.

Ikuti perbualan eksklusif EE bersama Johan menerusi telefon.

Apa azam Johan yang belum dapat dicapai tatkala usia 29 tahun dan mesti dicapai sebelum menginjak usia 30?

"Saya betul-betul hendak tercalon dalam mana-mana kategori Pelakon Terbaik pada mana-mana anugerah yang memartabatkan industri perfileman seperti Anugerah Skrin, Anugerah Seri Angkasa atau Festival Filem Malaysia, tidak kiralah untuk filem, telefilem atau drama bersiri. Setakat ini saya belum lagi memenangi mana-mana anugerah dalam acara berkenaan. Itu azam saya kali ini."

Bagaimana pula dengan perancangan untuk berumah tangga? Sesetengah berpendapat usia 29 tahun dikira agak lewat bagi seorang lelaki untuk berumah tangga. Adakah Johan tidak mempunyai perancangan?

"Untuk membina 'masjid' dan menjaga 'anak orang', saya perlu lengkapkan diri saya dulu untuk melengkapi orang lain. Sekarang pun saya sedang bertungkus-lumus untuk lebih fokus dalam kerjaya seni saya dan cari duit banyak-banyak sehingga cukup untuk saya membina mahligai impian saya. Bukan untuk kaya, tapi sekurang-kurangnya sampai saya benar-benar bersedia untuk buat belanja majlis perkahwinan dan perbelajaan sebagai sebuah keluarga."


Selepas terjadi pelbagai insiden mengaitkan hubungan dengan beberapa individu, adakah hati Johan kini sudah dimiliki sesiapa?

"Saya masih ambil masa untuk mengenali sesiapa saja yang mungkin menjadi bakal isteri saya. Jika saya bertemu dengan mana-mana gadis sekali pun, saya tidak mahu terburu-buru lagi. Saya nak kenal hati budi dahulu, biar lebih rapat dan seterusnya ke jinjang pelamin.

Saya sudah banyak belajar daripada kesilapan, dan pada usia 29 tahun saya rasa saya sudah cukup matang untuk menilai setiap tindakan yang saya ambil. Saya tidak mahu mendedahkan pun jika saya ada sesiapa yang menambat hati saya buat masa ini kerana saya percaya 'berdiam itu emas'. Kalau kita tidak pasti dengan pilihan kita, tak eloklah untuk dikongsikan terlebih awal. Bukan apa, kalau tak jadi, macam-macam tohmahan yang akan dilemparkan pula.

"Apa yang pasti, saya kini bukanlah lelaki yang mudah jatuh cinta seperti dulu. Selama ini saya terlalu mudah memberi peluang kepada mana-mana wanita untuk mengisi kekosongan hati saya. Walaupun perkara ini sebenarnya adalah fitrah seorang lelaki, tapi nasihat saya kepada lelaki di luar sana, janganlah mudah untuk jatuh cinta. Saya bercakap berdasarkan pengalaman saya."

Adakah Johan ingin meminta maaf kepada mana-mana pihak yang mungkin pernah terluka dengan perbuatan Johan?

"Saya sentiasa meminta maaf dengan sesiapa saja. Kalau saya ada buat salah sama ada yang lama atau baru, saya harap semua pihak dapat maafkan saya."

Apa perancangan Johan untuk meraikan ulang tahun ke-29 hari ini?

"Saya merancang untuk membawa keluarga keluar dan makan malam bersama. Agak sedih juga kerana inilah kali pertama saya menyambut ulang tahun kelahiran tanpa kehadiran ibu tercinta yang telah meninggal dunia. Saya cukup rindukan senyuman ibu. Selalunya ibulah yang akan buat ucapan kepada saya sebelum adik-beradik lain berbuat demikian," katanya yang sedang menjalani penggambaran drama bersiri ala Korea berjudul Cinta Teruna Kimci yang turut menggandingkannya dengan seorang lagi pelakon lelaki yang sedang meningkat naik, Nazim Othman.

Selamat ulang tahun ke-29 Johan As'ari daripada Ewah ewah!
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan