Tunang Cipta Lagu Sheila Abdul


Ewah ewah, bukan main bahagia lagi penyanyi yang pernah popular sekitar 2008 dahulu ini selepas bergelar tunangan orang. Mungkin ramai yang tidak mengetahui pelontar lagu Mungkinkah ini memilih jejaka daripada anak seni juga sebagai bakal suami. Sheila Abdul yang kini berusia 27 tahun sah bergelar tunang kepada pemain gitar Drama Band, Ammar Habir, 26, pada 20 Disember lalu di tanah kelahirannya Johor Bahru. Tetapi ada cerita di sebalik hubungan mereka yang tidak terhad secara peribadi, malah turut bekerjasama dalam bidang seni juga. Apakah 'projek' mereka berdua?

"Alhamdulillah, saya dan Ammar kini sudah melangkah ke satu fasa seterusnya dalam perhubungan selepas kami berkawan sejak sekian lama. Perkenalan kami menerusi dunia seni memang berpanjangan tetapi baru rapat dan mengenali hati budi selama setahun sebelum kami mengambil keputusan mengikat tali pertunangan," cerita Sheila yang juga juara pertandingan Suara Bintang Adnan Abu Hassan 2006 bagi kategori zon selatan sebelum disunting komposer itu menjadi artis rakaman.


Menurutnya lagi, perancangan asal kedua-dua belah keluarga hanyalah sekadar adat merisik, tetapi memandangkan keluarga Ammar datang dari Alor Setar, Kedah mereka mengambil keputusan untuk terus bertunang. Tambah lagi, adalah lebih manis untuk mereka merancang haluan hidup memandangkan selalu bersama-sama khususnya dalam pembikinan lagu terbaru Sheila atau nama sebenarnya Norsheila Abdullah.

"Selepas Mungkinkah ciptaan Faris dan diterbitkan oleh Adnan Abu Hassan, saya ada mengeluarkan beberapa buah lagu daripada album pertama saya seperti Lepaskanlah dan Pengkhianat Cinta tetapi mungkin kurang menyengat, jadi sudah sampai masanya saya keluar dengan lagu baru. Lagu terbaru saya Kata Hati ini sangat istimewa kerana dicipta oleh tunang saya sendiri," kata bekas artis naungan EMI Music yang telah ditamatkan operasinya sedikit masa lalu.



Anak bongsu daripada tiga beradik ini juga turut meluahkan rasa gembiranya kerana penulis lirik tersohor, Habsah Hassan sudi menyumbang karyanya menerusi lagu berkenaan. Walaupun mesej lagu ini kedengaran berat, Sheila percaya sentuhan penulis berpengalaman itu mampu membawa tuah terhadap lagu berkenaan.

"Lagu ini mengisahkan seorang wanita yang terlalu percayakan lelaki sehingga tidak mengendahkan nasihat ibu bapa dan rakan-rakan. Sebaliknya, di penghujung jalan akhirnya wanita itu dikecewakan lelaki berkenaan. Setakat ini, Hot FM sedang memutarkan lagu ini menerusi slot Kita Punya dan masih menunggu radio lain untuk memainkannya," ceritanya lagi yang mengakui cabaran kemunculan semula ini mungkin tidak sama sewaktu dia popular dengan Mungkinkah dahulu.



Sesuatu yang menarik apabila Sheila kini memuat naik klip video lirik lagu Kata Hati dengan cara unik iaitu menggunakan teknik 'lips-sync' berlatar belakang kosong dan penataan cahaya seperti sesi fotografi. Rupa-rupanya, idea berkenaan datang secara tiba-tiba selepas sesi fotografi berlangsung.


Klip video lirik Kata Hati

"Selepas ditatarias oleh Addin Ahmad, saya terfikir untuk merakamkan video mengikut lagu untuk dijadikan video lirik dengan hasil usaha Nizarhafiz. Itulah hasil yang dapat saya kongsikan sebelum pembikinan klip video nanti," kata Sheila.

Gambar: Koleksi Sheila Abdul
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan