Tuah Mentor Legend Jadi Vokalis SAJA?


Ewah ewah, sedap sungguh lagu baru berjudul Dia Cahaya ini. Ketika mula-mula EE mendengar lagu ini, terus rasa jatuh cinta. Cuma, EE tidak dapat cam siapa empunya suara di sebalik lagu yang syahdu ini. Apabila dijeaskan, barulah EE tahu lagu ini rupa-rupanya dinyanyikan oleh Tuah yang bakatnya dicungkil daripada rancangan Mentor Legend yang mana dia juga adalah protege kepada penyanyi dangdut ternama, Mas Idayu. Tetapi, lagu ini adalah lagu kumpulan yang memperkenalkan diri sebagai SAJA. Adakah Tuah kini menjadi vokalis kumpulan berkenaan?

"Sebenarnya ini adalah projek antara saya dan SAJA. Saya masih penyanyi solo, dan gabungan ini hanya untuk lagu ini saja," kata Tuah atau nama sebenarnya Mohamad Farhan Zahi Mohd Zaini yang dihubungi menerusi telefon. Tambah lagi, anak kelahiran Sungai Petani itu juga membuat beberapa perancangan untuk mengembangkan lagi bakatnya dalam dunia nyanyian.


Tuah terus positif



"Apabila Akmal daripada kumpulan SAJA menawarkan kepada sama projek gabungan suara ini, saya terus bersetuju memandangkan saya perlu bergerak pantas supaya tidak ketinggalan. Selepas lagu ini, saya juga akan berduet dengan Mas Idayu dalam sebuah lagu yang mana akan memecah rekod protege berduet dengan mentor dalam sebuah lagu," kata jejaka berusia 23 tahun ini.


Kata Tuah, dia begitu menyukai lagu Dia Cahaya kerana keseluruhan ciptaannya begitu indah, baik dari segi melodi, susunan muzik dan liriknya yang cukup bermakna. Malah, dia juga yakin lagu ini dapat menambat hati ramai kerana SAJA juga adalah sebuah band yang unik dan mempunyai citarasa tersendiri.

"Saya anggap ini kemunculan semula saya dalam dunia seni. Saya bersyukur kerana Mas Idayu tindak mengabaikan saya walaupun Mentor Legend sudah lama berakhir," ujar Tuah.



Proses rakaman 'Dia Cahaya'

Bagi kumpulan SAJA pula, kehadiran Tuah dalam lagu terbaru ini memberi nafas baru kepada kumpulan ini yang pernah muncul dengan dua buah lagu seperti Ku Jatuh Cinta dan Tarapapa Hey. Menggabungkan pemuzik yang mampu bernyanyi secara harmoni beramai-ramai, kumpulan ini dianggotai oleh Muhammad Syafiq Hady Shaarani sebagai pemain gitar utama, Muhammad Faisal Firdaus Manaf (vokalis), Muhamad Faiz Muhamad Arif (pemain dram), Izad Shaharul Nazeron (bes) dan Muhammad Akmaluddin Samsudin (gitaris).

"Lagu ini dicipta oleh saya sendiri tetapi liriknya saya tulis bersama rakan baik saya Encik Mattao. Rakaman lagu ini kami jalankan di Symphony Universal Studio. Ini kerana kami nak hasil yang terbaik kerana saya percaya lagu ini boleh pergi jauh dalam industri muzik. Saya berharap pendengar dan penggemar muzik Malaysia dapat menghayati lirik lagu ini  yang mana saya cuma menceritakan bagaimana untuk melahirkan rasa kesyukuran atas anugerah cinta dan kebahagian yang kita rasai," kata Akmal.


Anggota SAJA

Katanya lagi, lagu ini mengajak orang ramai untuk menghargai kehadiran orang sekeliling, khususnya yang menyayangi mereka. Dia berharap agar lagu ini dapat memperkenalkan lagi SAJA dan Tuah bukan kerana populariti semata-mata tetapi dengan hasil usaha yang dapat memberi inspirasi kepada khalayak.

Kepada yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai SAJA dan Tuah, boleh layari laman utama Facebook mereka di https://www.facebook.com/SAJA.Band dan https://www.facebook.com/farhan.z.zaini
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan