"Tak Suka Jangan Tengok!" - Afdlin Shauki



Ewah ewah berkesempatan untuk menyaksikan sendiri program Juara Parodi Khas - Pak Yus Dalam Kenangan yang diadakan di Teater Shah Alam, Selangor untuk mengimbau kenangan bersama pelawak Yussry Edoo yang meninggal dunia 30 November lalu. Program ini mengumpulkan hampir semua sahabat handai Allahyarham sepanjang dia berada dalam dunia seni hiburan tanah air. Program ini adalah inisiatif bersama Vision Works dan Astro Warna bagi menghormati pemergian Pak Yus yang sepatutnya bersama-sama menjayakan acara Juara Parodi. Namun perancangan Tuhan Yang Esa tiada siapa yang boleh menyangkalnya.

Bagaimana pun, ada pihak yang kurang senang dengan penganjuran majlis mengenang Allahyarham yang disifatkan 'meratap' pemergian juara sulung program Raja Lawak itu khususnya laman pojok. Tidak kurang juga individu yang memuat naik status tidak bersetuju dengan cara Astro menayangkan kesedihan keterlaluan serta mencampur aduk elemen keagamaan dan hiburan.

EE mendapatkan kenyataan 'bos' Vision Work, Afdlin Shauki mengenai perkara ini.

"Pada mulanya program ini dianjurkan untuk berkongsi perasaan mengenai kehilangan Pak Yus yang saban minggu bertanding bersama kami dalam Juara Parodi. Saya rasa kalau kita tidak mengenang Pak Yus dan meneruskan program ini seperti tiada apa-apa berlaku, nampak macam kurang ajar dan itu sangat tidak bagus, seolah-olah kita tak ingat yang dia tu kawan kita.

"Saya berbincang dengan pihak pengurusan Astro kerana pemergian Pak Yus menyebabkan pelawak yang terbabit susah untuk berkomedi. Saya sendiri susah nak senyum. Di Johor baru-baru ini orang minta bergambar pun saya sukar nak senyum. Cuba bayangkan, Misha Omar sampai hari ini pun tak boleh nak ditemu bual. Apatah lagi Tauke. Jadi kalau diteruskan akan jadi masalah pada program Juara Parodi. Kita semua kena luahkan dulu sebelum kita teruskannya. Apa pun terima kasih kepada Astro Warna kerana penganjuran acara mengenang Pak Yus ini.


Afdlin sewaktu mengenang Allahyarham Pak Yus


"Saya tak kisah kalau ada yang tutup televisyen separuh jalan apabila menonton rancangan tadi. Kami semua betul-betul nak selesaikan isu dalaman kami dan rasa rindu kami pada Pak Yus. Kita tak nak orang fikir yang kami pelawak ni tak ada perasaan. Tapi kita dah beritahu awal-awal, ini hanya berlaku untuk satu minggu, minggu depan kerja harus kita teruskan. Kita kena buat kerja kita.

"Jujur saya katakan perancangan awal kita langsung tidak mahu tunjuk rintihan atau tangisan. Tetapi apabila dah mula bercakap dan menyanyi, diri mereka (pelawak) sendiri merintih. Sejak mula lagi saya cakap dan tekankan yang kita bukan nak meratap, kita hanya mahu mengenang. Sebab itu semalam ketika latihan saya minta semua keluar menangis siap-siap supaya esok (hari ini) tak menangis lagi di hadapan penonton. Bagaimana pun, apabila nak ke pentas saja mereka mula mengalirkan air mata.

"Saya tak boleh komen mengapa mereka jadi begitu. Saya tak tahu sejauh mana elemen persahabatan antara pelawak dengan Pak Yus.  Kita memang tak tahu. Kita tak tahu macam mana Pak Yus tolong mereka selama ni. Saya berpesan yang kita semua kena bersikap profesional. Apa pun, saya kena maafkan mereka kerana menangis kerana semua yang terbabit betul-betul meluah rasa.

"Saya bayangkan selepas ini kita akan terus kenang Pak Yus dan simpan dia dalam 'arkib' kita.
Kalau tak lalu proses ni, lagi susah. Selalu kita tak ada proses untuk mengenang, hasilnya perkara itu tak selesai. Contohnya ketika Allahyarham Harun Salim Bachik meninggal dunia, orang luar tak boleh nak luahkan. Macam hari ini apabila saya belek laman Twitter rupa-rupanya semua ada perasaan mereka sendiri terhadap pemergian Pak Yus. Tak ada lagi saya nampak kenyataan bahawa program ini membosankan. Kena faham ini bukan rancangan lawak. Apa saja yang terjadi sudah terjadi. Rata-rata semua menghargai solidariti semua pelawak terhadap Pak Yus dan dapat bergabung seperti ini. Saya tak pernah tengok mana-mana stesen televisyen ada rancangan seperti ini selain di Astro Warna hari ini.

"Rancangan ini kita hanya ada skrip pengantaraan saja yang diberikan kepada Najip Ali dan Dina Nadzir. Apa yang pelawak nak ceritakan, terpulang pada mereka kerana itu datang daripada diri mereka sendiri.  Kita tak tahu pergerakan rancangan ini sebenarnya, malah latihan semalam dilakukan bawah dua jam. Tetapi semalam tak ada yang berbual panjang. Hari ni semua ada bercakap. Impak hari ni sangat tulen. Mungkin semalam ketika sesi latihan mereka tak buat sehabis baik. Mungkin mereka simpan dua puluh hingga tiga puluh peratus sebelum dikeluarkan habis malam ini. Yang peliknya semalam saya rasa semua dah tengok masing-masing punya persembahan, tak perlulah menangis lagi. Tetapi kerana kita manusia, perkara itu tidak jadi kenyataan. Semua orang ada perasaan.

 


"Kalau ada yang mendakwa tidak wajar program ini dianjurkan, bagi saya mudah saja. Tak suka jangan tengok, program ni untuk pelawak yang berkawan dengan Pak Yus. Kamilah keluarga dia. Sama juga macam orang lain, jika ada kematian keluarga kita akan duduk ramai-ramai bercerita. Tetapi jika masalah itu tak selesai, keluarga itu memang bermasalah. Acara ini sebenarnya bukan untuk orang luar sebenarnya. Tapi kita setuju untuk kongsi. Saya tak peduli laman pojok. Kita tahu niat kita, dan mereka boleh cakap apa yang mereka nak sebab mereka seolah-olah sudah 'terbiasa' melempar kata-kata seperti itu. Kita di sini tak peduli. Mereka semua tak mahu kenang sahabat kami tak apalah, biar kami yang kenang.

"Berkenaan siapa yang ganti Pak Yus dalam Kobis Pedas, kami masih berbincang. Setakat ini belum ada keputusan untuk mereka menarik diri atau teruskan yang mana kami benarkan kedua-duanya. Saya secara peribadi tak tahu bagaimana mereka nak teruskannya. Saya sendiri terasa beratnya. Tapi terpulanglah. Mungkin Tauke nak teruskan demi Pak Yus. Apa pun dia kena lalui juga semua ni.

"Dari segi semangat peserta, saya tak boleh cakap apa-apa. Saya pun fikir, kalau tak ada rancangan ini mungkin lagi lambat nak bebaskan perasaan ni. Satu Malaysia tahu kita sedang bersedih. Bagaimana pun kita teruskan kerja kita. Kita bukan jenis apabila kawan meninggal dunia kita buat bodoh saja.

"Tema 'Barang Kenangan' kita bawa ke minggu depan. Kalau ada acara lain untuk mengenang Pak Yus, saya tak tahu. Yang kami tahu, Juara Parodi dengan kerjasama Astro sudah melakukan sesuatu untuk mengenang Pak Yus. Yang lain mungkin akan lakukan secara individu, contohnya Tauke yang mahu membukukan sajak yang dihantar kepadanya oleh peminat. Kami semua juga tulis sajak dan hantar ke kumpulan Whatsapp. Tauke kumpul semua itu dan dia kongsi di laman sosial peribadinya. Apabila dia kongsi, tindak balas daripada peminat mencecah jumlah ribuan perkongsian. Mungkin jika dibukukan, kita akan buat jualan amal pula. Mungkin untuk disalurkan kepada rumah anak yatim atau buat upah haji untuknya.

"Kenangan saya dengan Pak Yus cukup banyak. Dia tak pernah berkira dengan saya. Asalkan dipanggil saja untuk menyertai program terbitan kami, dia akan sertai. Dia pernah cakap, saya banyak panggil dia semasa orang tak mahukan dia dulu. Saya cakap saya panggil sebab dia dan Tauke bagus buat kerja. Sebab itu saya selalu panggil, contohnya program Roda Kasi Pecah. Saya suka bekerjasama dengannya. Sekarag saya kehilangan seorang yang sangat berbudi pekerti.

"Selepas Pak Yus meninggal dunia, dua hari lepas saya duduk minum teh dengan Tauke. Tauke menangis depan saya. Oleh kerana saya dah pernah lalu apa Tauke rasa sebab tu saya panggil dia duduk berbual dengan saya. Pemergian Pak Yus dan Abang Harun lebih kurang sama. Kali terakhir kami berjumpa pada hari Jumaat, dan mereka kedua-duanya meninggal dunia hari Ahad. Tauke mengadu, katanya selepas ini tidak ada lagi kumpulan Jambu. Saya kata Jambu masih ada, kena teruskan. Tauke sangat sedih. Pada mulanya dia nampak baik saja, tetapi ada satu ketika dia terus bersedih dan susah nak perbaiki semula. Walhal Tauke yang saya kenal orangnya ceria. Jadi apa pun saya bagi masa pada Tauke untuk menyendiri. Tunggulah masa yang sesuai barulah kami boleh berbincang.

"Apa pun saya minta maaf kalau rancangan tadi terlalu lama durasinya. Bukan mudah nak tahan orang daripada melepaskan perasaan. Kami hanya cuba buat yang terbaik untuk semua," kata Afdlin.

EE akan mengemaskini foto-foto sepanjang acara ini dalam perkongsian berlainan.
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan