Najwa Ambil Risiko


Ewah ewah, diam tak diam sudah 10 lagu penyanyi ini berada pasaran sejak berada dalam industri muzik tanah air. Bermula dengan lagu hit Cinta Muka Buku sehingga berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir Juara Lagu, kini anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini semakin mengorak langkah dalam memperjuangkan genre muziknya. Bagaimana pun, pemilik nama Imratul Najwa Abdul Latif ini muncul dengan sebuah lagu yang cukup berbeza dengan sebelumnya.

Lagu berjudul Satu ciptaan gadis berusia 20 tahun ini sendiri, kedengaran begitu berbeza. Tiada lagi lagu santai sebaliknya membawa mesej berat, begitu juga susunan muziknya. Bak kata pengurusnya Azahari Jaafar, gadis itu perlu lari daripada konsepnya sendiri memandangkan semakin ramai penyanyi membawakan imej ala Najwa Latif. Tetapi, apa pula kata pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengkhususan Bahasa Inggeris di Universiti Tun Abdul Razak, Kelana Jaya ini?


"Lagu ini sebenarnya membawa mesej berkenaan sifat memaafkan. Tak salah jika kita beri peluang kepada orang yang pernah membuat kesilapan pada kita. Tidak menujukan kepada sesiapa memandangkan hal ini sangat umum, bukanlah kerana cinta semata-mata," kata Najwa yang lebih mesra dengan panggilan Wawa.

EE yang menghubunginya menerusi telefon sempat bertanyakan adakah Najwa tidak gentar mengambil risiko dengan meninggalkan imejnya yang lebih kepada lagu santai dan menggunakan bahasa mudah. Bagaimana pun, dia yang kini lima tahun menjadi selebriti mengakui ini adalah masa yang sesuai untuknya tampil dengan lagu bercorak sebegini.


"Walaupun ada pihak yang mungkin merasakan beberapa muka baru dalam industri cuba menjadi seperti saya, saya tidak pernah sesekali beranggapan seperti itu. Lagu ini saya cipta ketika berusia 16 tahun lagi, dan pihak pengurusan juga merasakan inilah masa paling tepat untuk saya persembahkan lagu ini kepada khalayak. Semua orang ada keunikan tersendiri, semua orang ada rezeki masing-masing.

"Jika orang cuba bandingkan kita dengan penyanyi lain, kitalah yang sepatutnya tunjukkan sisi hidup kita yang lain dan boleh jadi seorang yang lebih baik," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, penyanyi yang pernah berduet dengan Syamkamarul dan Sleeq menerusi lagu Sahabat ini sempat bercerita tentang azamnya yang berjaya dicapai sepanjang bergelar penyanyi dan sebagai pelajar. Antaranya ialah kejayaan membuat persembahan dalam beberapa acara besar termasuk Anugerah Juara Lagu, Anugerah Industri Muzik, Anugerah Planet Muzik, Anugerah Skrin dan beberapa anugerah lain.


"Sebenrnya saya sangat bersyukur kerana banyak perkara yang sudah dapat saya capai sepanjang bergelar penyanyi. Tapi paling buat saya terharu apabila saya membuat persembahan di kawasan pedalaman termasuk di perkampungan Orang Asal. Mereka menyanyikan lagu saya, tidak ada lebih baik daripada itu.

"Selain itu, saya berjaya mempersembahkan dua lagu baru pada tahun ini selain berjaya mengekalkan prestasi himpunan purata nilai gred dalam peperiksaan," katanya lagi yang bercita-cita untuk menjadi pensyarah Bahasa Inggeris suatu hari nanti.

Kredit Gambar: Terima kasih Seventeen Eleven Entertainment
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan