Kenapa Hazama 'Ketuk' Rumah Zamani Slam?



Ewah ewah sangat berbangga dengan penyanyi bersuara serak basah ini. Apa tidaknya, setelah sembilan tahun berusaha keras menempatkan diri dalam bidang seni, akhirnya anak kelahiran Keramat, Kuala Lumpur ini berjaya menarik perhatian ramai apabila persembahan solonya di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, malam tadi berjaya mengumpul lebih seribu penonton. Sebanyak 1208 keping tiket berbayar terjual menyebabkan pusat hiburan itu sesak teruk dengan limpahan manusia. Malah, pihak Hard Rock Cafe turut mengakui acara itu berjaya mencatatkan jualan tiket tertinggi tahun ini.


Sedikit sedutan persembahan Hazama menerusi lagu Sampai Mati

Selain aura Hazama Ahmad Azmi, 31, yang juga Juara Akademi Fantasia musim kesembilan menarik minat ramai, penyanyi undangan yang juga 'orang kampung' Hazama iaitu Zamani Slam turut menyumbang kehadiran peminat. Konsep persembahan 'imbau kenangan' sememangnya menjadi, malah turut dihadiri beberapa selebriti termasuk Mia Ahmad, Mawi, Fauzi Nawawi, Maria Tunku Sabri dan Tam Spider.

 

Persembahan Hazama dan Zamani Slam 

Hazama diiringi sekumpulan pemuzik handalan bergelar Penglipur Lara, turut disertai teman wanitanya, pengarah muzik Genervie Kam yang juga bertindak sebagai pengurus acara bagi persembahan berkenaan. Antara lagu yang dipersembahkan termasuk lagu yang pernah dinyanyikan sewaktu Konsert Prelude dan Konsert Akhir AF4, Zakiah dan Bukan Aku Tak Cinta yang pernah dipopularkan oleh Iklim. Selain itu, medley lagu rock terbaik sepanjang zaman turut dipersembahankan selain lagu popularnya sendiri seperti Relakan Jiwa, Pokok, Penglipur Lara, Sampai Mati dan sebuah lagu baru yang pertama kali diperdengarkan.

 

Limpahan penonton di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur

Zamani Slam turut mencuri perhatian dengan menyampaikan Nur Kasih bersama Hazama, selain lagu popularnya lewat tahun 1990-an dulu. Hazama turut mengakui pernah 'mengetuk' pintu rumah Zamani dengan harapan idolanya itu akan keluar, sementelah rumah vokalis Slam itu terletak tidak jauh dengan sekolahnya.


Pelakon Mia Ahmad turut hadir

Hazama yang ditemui selepas persembahan mengakui berasa lega dengan sambutan yang menggalakkan, malah berasa lebih bersemangat dan berazam untuk bekerja dengan lebih ikhlas untuk memperjuangkan seni nyanyiannya. Kekuatan vokal yang ditunjukkan membuktikan penyanyi ini tidak main-main walaupun sibuk dengan Separuh Akhir Muzik Muzik 30 dan rancangan Mentor yang mana dia bakal bergelar mentor.


"Sebenarnya persiapan untuk persembahan malam ini tidak mengambil masa yang lama kerana saya ditawarkan pihak Hard Rock Cafe untuk membuat persembahan kurang daripada tiga bulan. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar," ujarnya yang megakui memilih sendiri senarai lagu persembahannya.

Katanya, himpunan lagu rock lama yang digelarnya 'medley pondok telefon' adalah lagu zamannya membesar. Selain itu, lagu Zakiah benar-benar membawa erti dalam perjalanan kerjaya seninya.

"Selepas AF4 saya terus melangkah masuk ke dalam industri dan langsung tak buat benda lain. Malam ini saya cuba berkongsi kisah hidup saya sejak kecil sampai besar. Sebelum sertai AF9 orang selalu kaitkan dengan lagu Zakiah, jadi saya cuba kembalikan kenangan itu," katanya yang sebelum ini pernah membuat persembahan di Hard Rock Cafe atas undangan Hafiz Suip sempena persembahan Hafiz and Friends.

Mengakui tekanan yang dialaminya berbeza, dia juga tidak dapat menyembunyikan rasa teruja apabila penyanyi Zamani bersetuju untuk membuat persembahan sepentas dengannya.

"Saya pilih Zamani kerana kami sekampung. Sebelum ini saya tak pernah ada peluang untuk membuat persembahan di pentas yang sama dengan Zamani. Saya peminat Slam dan saya suka bakatnya. Bagi saya, kita perlu tolak semua cerita negatif berkenaan Zamani dan fokus pada bakatnya saja. Walaupun ada pihak yang mempersoalkan mengapa saya memilih Zamani, saya sanggup ambil risiko kerana saya sokong Slam bermula tahun 1994 sehinggalah tahun 2000 sebelum dia menghilangkan diri sedangkan rumah kami tak jauh mana pun.

"Saya ada hubungi orang lain juga sebelum itu sebagai jemputan tetapi pada suatu hari ada budak ternampak saya lantas menyanyikan lagu Penglipur Lara. Saya pernah buat perkara sama pada Zamani sehingga sanggup ketuk pintu rumahnya sambil menyanyikan lagu Slam. Tak sangka Zamani sudi terima pelawaan saya.  Saya juga minat Ramli Sarip, Awie, Amy Search dan Dato Hattan. Cuma Zamani paling susah nak jumpa," katanya lagi yang tidak menolak andai dipanggil untuk membuat persembahan pembukaan jika Slam membuat kemunculan semula dengan sebuah konsert.


Apabila ditanya mengenai konsert solo yang berskala lebih besar, Hazama mengakui masih belum cukup lagu untuk membuat konsert solo. Bagaimana pun, jika lagu daripada album keduanya mendapat perhatian, perancangan konsert berkenaan mungkin menjadi kenyataan. Malah album berkenaan turut mendapat sentuhan Taja Meet Uncle Hussein yang sebelum ini pernah dikatakan 'perang dingin' antara mereka.

"Saya dan Meet Uncle Hussein masih berkawan, malah saya menggunakan khidmat Taja untuk rancangan Mentor nanti selaku penggubah muzik. Ini kerana dialah yang menjumpa identiti suara saya. Mungkin dulu ada kedengaran isu antara kami tetapi hal itu sudah lama berlalu dan kami selesaikan secara baik," katanya yang pernah rasa terpinggir kerana tidak pernah memenangi sebarang anugerah walaupun tercalon selama empat tahun berturut-turut dalam beberapa acara anugerah.

"Ini masa untuk saya bangkit dan buktikan pada orang ramai yangs aya boleh mengawal pentas dan penonton dengan baik. Saya benar-benar serius dan bukan menjadi penyanyi untuk glamor. Persembahan malam ini saya rasakan tepat kerana dahulu saya ada perasaan gentar apabila berada di pentas. Jika terlalu lambat pula, usia semakin meningkat sedangkan sekarang inilah tenaga saya berada dalam keadaan terbaik. Saya rasa saya semakin matang dalam dunia nyanyian," katanya yakin.
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan