Juara Parodi Berehat Mengenang Pak Yus



Ewah ewah kali ini membawa anda semua ke Teater Shah Alam, di mana berlangsungnya Juara Parodi Khas - Pak Yus Dalam Kenangan yang dibawa khas oleh Astro Warna sempena mengingati pemergian pelawak Yussry Edoo, 39, yang meninggal dunia 30 November lalu. Allahyarham yang lebih mesra disapa dengan panggilan Pak Yus meninggalkan terlalu banyak kenangan bukan sahaja rakan artis, malah ribuan peminat yang turut sama bersedih. Acara ini adalah inisiatif Astro selalu stesen penyiar untuk membawa semua penonton bagi mengimbau kenangan bersama Pak Yus dalam program yang berlangsung selama dua jam ini.

  
 

Acara ini dikendalikan oleh Najib Ali dan Dina Nadzir sebagai pengacara.

Pak Yus Dalam Kenangan dimulakan dengan tazkirah oleh PU Taha sebelum diteruskan dengan bacaan surah Al-Fatihah, kemudian kumpulan nasyid popular Rabbani meneruskan persembahan dengan lagu Pergi Tak Kembali. Rakan-rakan di pentas dilihat begitu sugul sepanjang lagu itu dipersembahkan. 

  
 

Pentas diambil alih Mawi,  Daly Filsuf dan The Loyar dengan lagu Al-Nuraa sebelum Dato' AC Mizal menggantikan Daly untuk terus ke lagu seterusnya, Al-Haq... Yang Satu. Usai persembahan, AC menceritakan perbualannya dengan Allahyarham Pak Yus yang bertanyakan sama ada adakah masyarakat akan ingatkannya apabila dia sudah tiada lagi nanti. "Kami ingat hang sampai bila-bila," kata AC sambil menangis.

    

Azlee Senario meneruskan acara dengan bermonolog melalui sebuah puisi. Antara kandungannya termasuk kenangan bersama Allahyarham Pak Yus ketika sama-sama dalam rancangan Sinaran Pasport Kegemilangan yang pernah ditayangkan di TV3. Turut mengiringi persembahan adalah Lan Pet Pet yang dilihat sentiasa mengalirkan air mata sepanjang acara.

 
 

Gabungan Dato' Hattan bersama Ajak Shiro menerusi lagu Kau Yang Satu dan puisi terus menyentak emosi penonton. Dato' Hattan dilihat beberapa kali menehan sebak sambil mengesat air mata, namun nyanyiannya tetap mantap dengan lontaran vokal yang sempurna. Perkongsian Ajak juga menyebabkan seisi auditorium mengalirkan air mata, yang menyatakan Allahyarham Pak Yus pernah memberitahunya tidak mempunyai kawan. "Tapi masa Pak Yus pergi, saya tengok ramai orang yang sayang Pak Yus hantar sampai ke sana," kata Ajak.

 
 

Pelawak wanita Sherry Alhadad dan Zulin turut berpuisi sebelum disertai Zahid dengan lagu Pelangi Petang, sebelum disambung Fad Bocey, Abam dan Waris dengan lagu yang dipopularkan kumpulan Ungu, Bila Tiba. 

 
 

Firman seterusnya menyumbangkan sebuah lagu sebelum disusuli Rahim Raja Lawak dengan sebuah puisi. Turut membuat persembahan ialah Tomok dengan lagu Salam Terakhir yang pernah dipopularkan Allahyarham Sudirman Haji Arshad. Ternyata bukan mudah untuk penyanyi ini menyembunyikan perasaan sedihnya apabila beberapa kali suaranya kedengaran tersekat-sekat menahan sebak.

 
 

Seterusnya, persembahan Shuib Sepahtu yang bergabung dengan Mark Adam berkumandang dengan lagu popular Anuar Zain iaitu Perpisahan, diikuti gubahan khas lagu Teman Pengganti oleh Achey dan Black Hanifah. Menariknya, kali ini Achey yang memiliki keupayaan vokal bernada tinggi mengambil alih bait lagu yang biasa dilontarkan Black, mana kala Black menukar lirik rap yang asalnya dilakukan Malique dengan alunan bernada.


   
   

Joey, Sam Bunckface dan Shuk Balas mengambil inisiatif menggubah semula lirik lagu Dir nyanyian asal Rahim Maarof dengan menukarkannya menjadi 'Yus' sebelum diteruskan dengan bacaan puisi oleh penggerak utama Karoot Komedia, pelawak veteran Sabri Yunus. Kata Sabri, Allahyarham pernah meminta agar hanya watak kecil diberikan. Tetapi kata Sabri," Kau kalau diberi watak besar, kau akan jadi kecil. Sebaliknya, watak kecil kau akan nampak 'besar'."

  

Afdlin Shauki turut berpuisi sebelum Dato' Zainal Abidin menggegar pentas dengan Kau Di Hatiku, lagu yang sering dinyanyikan Pak Yus setiap kali bertemu Dato' Zainal di belakang pentas. Ternyata pertemuan singkat itu turut memberikan kesan mendalam kepada bekas vokalis Headwind itu.

 
 

Kemuncak acara ini diteruskan dengan perkongsian rakan Allahyarham Pak Yus dalam kumpulan Jambu iaitu Tauke. Menurutnya, begitu banyak puisi dititipkan menerusi e-mel oleh peminat dan rakan-rakan artis lain. Beliau berazam untuk membukukan koleksi puisi berkenaan.

  

 
 

Acara tamat dengan nyanyian beramai-ramai Kau Ilhamku nyanyian asal Man Bai sebagai tanda perpisahan.
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan