Iqbal Dianiaya WeChat Palsu


Ewah ewah, diam tak diam anak muda berbakat besar ini kelihatan semakin matang. Penampilannya juga cukup berbeza berbanding ketika berjuang dalam pertandingan Ceria Popstar terbitan Astro pada 2014. Kini, remaja yang menginjak usia 17 tahun ini semakin positif dalam langkahnya walaupun terpaksa berdepan dengan beberapa insiden yang merubah perjalanan hidupnya.

Ahmad Iqbal Iqnada yang bergelar naib juara dalam pertandingan yang memperkenalkan dirinya dalam dunia seni suara pernah menjadi mangsa fitnah sehingga keluarganya terpaksa mengambil keputusan untuk menjalani proses pendidikan secara tidak formal di rumah. Menurutnya, ada individu memburukkan namanya dengan mengaktifkan satu akaun aplikasi sosial WeChat menggunakan namanya dan mengeluarkan kenyataan negatif terhadap sebuah institusi pendidikan.

"Kejadian itu sebenarnya masih menghantui saya sehingga keluarga mengambil keputusan untuk saya belajar sendiri di rumah. Bukan saya tak mahu bersekolah seperti sebelum ini tetapi kami sekeluarga memilih jalan terbaik bagi mengelakkan kejadian sama berulang. Saya juga selesa begini kerana saya juga perlu memberi komitmen kepada kerjaya seni dalam masa sama," kata Iqbal yang pernah muncul dengan sebuah lagu berjudul Ibu ciptaan sepenuhnya Omar K. Lagu ini berjaya menarik minat lebih 700,000 pendengar menerusi laman YouTube.

Ternyata tidak mudah bagi penyanyi bawah naungan Astro ini setelah bergelar selebriti, apatah lagi dia juga masih baru dan terpaksa menghadapi pelbagai dugaan setelah dikenali ramai. Bukan itu saja, seperti penggiat muzik lain, dia juga pernah melalui detik ditipu penganjur persembahan sehingga menyebabkan dia terpaksa menghadapi rintangan lain dalam perjalanan pulang.


Iqbal terus positif

"Bukan sekali dua saya ditipu penganjur, malah ada yang membatalkan persembahan ketika saya sudah sampai ke Kuala Lumpur dari Kedah. Tapi bagi saya, pengalaman ini sangat berharga dan saya terimanya dengan positif," ujar anak muda ini lagi.

Berkesempatan berbual dengan bapa remaja ini, Omar Baqi Ahmad, walaupun pelbagai dugaan yang melanda anak kesayangannya itu, sebagai bapa sokongan yang tidak berbelah bagi tetap diberikan walaupun ada kalanya timbul rasa kecewa. Kata orang, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.

"Saya sebagai bapa tidak mahu anak saya berputus asa walaupun apa yang dilaluinya tidak semudah yang disangkakan. Mungkin ramai pihak menyangka perjalanan dalam dunia seni ini mudah, tetapi hakikatnya pelbagai cabaran perlu ditempuh. Apa pun saya yakin Iqbal mampu untuk pergi lebih jauh dalam dunia seni suara," katanya positif.


Pelbagai perancangan diatur sempena kedatangan tahun 2016, termasuk beberapa perbincangan dengan beberapa buah institusi pengajian tinggi yang menawarkan beberapa program untuk disertai Iqbal khususnya persembahan yang melibatkan pelajar dan beberapa jabatan di sana. Malah, kini dia juga turut mengintai peluang yang lebih luas termasuk dalam bidang lakonan yang juga salah satu cabang minat yang diidam sejak sekian lama. Kepada yang inginkan maklumat lanjut mengenai undangan persembahan, bolehlah berhubung terus dengan Iqbal menerusi laman Facebook miliknya.
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan