Fathin Gadis Berani


Ewah ewah, nampaknya industri muzik tanah air masih lagi menjadi tumpuan penghibur dari seberang tambak, Singapura. Terbaru, gadis genit yang berjaya menempatkan diri sebagai peserta Asia Got Talent pula melebarkan sayapnya di Malayisa, mengikut jejak langkah penyanyi seperti Imran Ajmain, Aliff Aziz dan Aishah Aziz. Jika diikutkan, industri muzik Malaysia juga berkembang dari sana ketika zaman Tan Sri P Ramlee, Puan Sri Saloma, Normadiah dan ramai lagi. Kali ini kita berkenalan pula dengan Fathin Amira Zubir, si comel yang berjiwa besar dalam dunia seni suara.

Adakah Fathin tidak berasa ragu apabila mengambil keputusan untuk mencuba nasib di Malaysia?

Rasa ragu itu adalah sifat natural sesiapa pun memandangkan saya masih baru di sini. Malah dalam dunia nyanyian pun saya selalu menganggap diri saya masih baru, apatah lagi saya dikira terlalu junior dalam industri muzik. Saya sedar saya perlu bersaing dengan artis lain. Apa pun, tak salah jika saya juga turut mencuba nasib.

Apa yang membuatkan Fathin begitu yakin?

Saya berani kerana saya yakin genre yang saya perjuangkan berbeza dan memiliki identiti tersendiri. Saya sebenarnya terlebih awal membuat kajian mengenai industri muzik yang mana kebanyakan penyanyi masa kini membawa rentak pop yang mudah didengar, mana kala saya sendiri penyanyi R&B yang jitu. Untuk lagu yang saya pasarkan di Malaysia iaitu Sebenarnya ini sememangnya berbeza kerana bentuk lagu sebegini jarang diperdengarkan. Kalau dulu, Dato' Sheila Majid yang sering membawa muzik seperti ini. Beliau idola saya dan mungkin sukar diterima ramai kerana mereka kurang memahami irama begini. 


Bagaimana perkembangan Fathin di Singapura?

Terus terang saya dapat tawaran di Singapura namun ketika itu sering kali saya berdepan dengan masalah jadual yang begitu padat. Sebenarnya di sana saya sibuk membuat persembahan pada majlis perkahwinan, selain pelbagai urusan peribadi yang menyebabkan saya tidak dapat memberi komitmen sepenuhnya. Selain itu, suasana industri muzik di Singapura juga berbeza dengan Malaysia kerana ada beberapa kriteria yang diambil kira untuk diterima dengan mudah. Apabila ramai penyanyi Singapura berhijrah ke Malaysia, saya juga mengambil keputusan untuk mengambil jalan sama. Mana tahu, nasib saya lebih baik di sini.

Adakah selera pendengar Singapura berbeza dengan peminat industri muzik Malaysia?

Industri muzik Singapura tidak seperti dahulu yang mana mereka lebih gemarkan muzik yang lebih santai. Saya rasa irama yang saya bawakan lebih kepada citarasa pendengar muzik di Malaysia. Saya pula jenis berani dengan prinsip muzik saya, jadi saya ambil kekuatan itu untuk menghasilkan muzik begini. Kalau diikutkan, lagu Sebenarnya ini saya rakamkan pada tahun 2013 sebelum saya menyertai Asia Got Talent. Lagu ini diterbitkan sendiri oleh bapa saya yang sejak dari dulu pemuzik di Singapura. 

Bagaimana Fathin mendapat peluang mencuba nasib di Malaysia?

Ketika Anugerah Planet Muzik, saya bertemu artis Cloudwork Entertainemnt iaitu Mafarikha. Dia ada mendengar lagu saya dan kemudiannya menyerahkan CD saya kepada pihak pengurusan iaitu Aszuad Zakaria. Apabila ditawarkan beliau untuk menjalinkan kerjasama, saya berasa senang hati dan terus bersetuju.


Lagu Sebenarnya oleh Fathin Amira Zubir

Kepada pembaca yang ingin mengenali Fathin dengan lebih lanjut, bolehlah melayari laman Facebook rasmi iaitu Fathin Amira, selain laman Twitter dan Instagram.
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan